Ahad, 28 Jun 2009

Saya dan Syamail Muhammadiyah

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Syukur pada Allah taala diberikan kesempatan hidup dimuka bumi yang penuh dugaan milikNya..Sudah seminggu saya tidak mengemaskinikan isi blog ini...Kesibukan demi kesibukan melanda ,benar-benar menguji kekuatan saya untuk meneruskan perjuangan melalui penulisan..

Saya biarkan golongan salafi jadian terus-menerus memberikan hujah ulangan mereka di dalam penulisan terdahulu..Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang terus menjadi pembela kepada sunnah sebenar..Biarlah mereka mengatakan kita adalah golongan yang menyebarkan bid'ah..sedang mereka yang berfikiran sedemikian tidak menyedari bahawa bid'ah paling besar yang berlaku sekarang adalah bid'ah pecah belah dan bid'ah mengeluarkan diri daripada ijma' ummah..Moga niat mereka benar-benar ikhlas agar Allah taala boleh meletakkan sedikit peluang buat mereka kembali bersama para ulama Islam khususnya al-Azhar memperjuangkan gagasan aqidah ahlussunnah wal jamaah al-Asyai'rah wal Maturidiyah...
Mereka mungkin ikhlas, cuma cara dan pengajian yang kurang tepat menyebabkan mereka tidak dapat membezakan mana satu perkara yang benar dan mana satu yang jauh daripada kebenaran tetapi bersulam emas di mata kepala mereka..

Kebenaran yang kita dapati bilamana membaca penulisan mereka, jelas menunjukkan mereka benar-benar ingin menyalahkan orang lain yang mengikut kepada selain daripada manhaj yang mereka pegangi..Menghukum permasalahan khilaf fiqhiyyah dan memasukan kesemuannya seolah-olah ianya permasalahan aqidah sehingga seolah-olah boleh menyebabkan semua orang boleh terkeluar daripada agama dengan melaksanakan perkara yang berlaku khilaf fiqhiyyah di dalamnya...Ya Allah , Engkau berikanlah kekuatan untuk kami menyampaikan dakwah para anbiya'Mu dan ulamaMu...

Persoalan berkenaan Aminah Wadud menjadi imam ditanyakan berhujahkan ianya juga tidak dilaksanakan pada zaman Nabi sallallahu alaihi wasallam, maka adakah ianya juga boleh dilaksanakan pada zaman sekarang..Saya tidak pasti samaada persoalan tersebut bertujuan sinis atau benar-benar ingin bertanya...Saya berbaik sangka bahawa yang bertanya benar-benar inginkan penjelasan...Jawapan ringkas saya terhadap persoalan tersebut ialah..Perbuatan Aminah Wadud tertolak kerana menyalahi ijma' para ulama..Perempuan hanya dibenarkan untuk menjadi imam kepada sesama mereka . Tetapi ijma ulama meletakkan bahawa wanita tidak dibenarkan menjadi Imam kepada golongan lelaki..Boleh merujuk kepada [laman ini] bagi mendapatkan jawapan lengkap tentang permasalahan ini..Para salafi wahabi tentu pandai membaca di dalam bahasa Arab bukan?? Maka sebab itu saya tidak akan menterjemahkan apa yang terdapat di dalam laman tersebut...Baca dan fahami seperti para ulama memahaminya..

Jika masih ingin memerlukan dalil al-Quran dan Hadis, maka jelas yang bertanya tidak faham apakah dalil yang diterima oleh para ulama...Dalil bukan hanya tertumpu kepada Al-Quran dan Hadis... Ijma Ulama dan Qias juga merupakan dalil yang disepakati penerimaannya dikalangan para ulama Islam...Golongan wahabi yang datang selepas menyalahi ijma, sering menyebarkan fahaman cukuplah dua dalil ini iaitu al-Quran dan Hadis..Mengapa perlu lagi kepada Ijma dan Qias?? Ini jelas merupakan satu pemikiran pelik yang sering melanda masyarakat..khususnya mahasiswa yang semangatnya begitu kuat menyayangi Islam, namun cara pengajiannya tidak tepat...

Saya akan menjawab segala tohmahan yang diberikan..Cuma masa diperlukan..bukan tidak mahu menulis, tetapi kesibukan seperti yang saya katakan.. Saya sekarang berada di Mansurah dan sekarang di rumah Ust Alif salah seorang exco Mansurah..Dijemput oleh Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah untuk menyampaikan Daurah Kitab Syama'il Muhammadiyah (Kitab Hadis yang membincangkan tentang hal peribadi Baginda sallallahu alaihi wasallam)..Daurah bermula seawal 7.30 pagi dan akan berakhir jam 2.30 petang...

Kata Guru Kami yang mulia Syeikhuna Yusri hafizahullah... Seseorang yang ingin membaca kitab ini perlulah ada tiga perkara:

1. Perlu meletakkan rasa Ta'dzim kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam
2. Perlu meletakkan rasa kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda
3. Perlu beradab dengan kitab yang dibaca dan para ulama

Tiga perkara ini perlu ada kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari dan membaca kitab ini.. Moga Allah taala memberikan petunjuk kepada kita semua...

Ibu agak bimbang dengan keselamatan saya.. Beliau bimbang saya diapa-apakan golongan salafi jadian .. Saya tertawa bila berbicara dengan ibu saya.. Saya katakan pada Ibu...

" Mak jangan bimbang, Allah taala ada bersama dengan anak mak.. Lagipun golongan salafi nie baik je..mereka cuma bincang dalam penulisan je.. Di luar mereka baik jika berjumpa dengan anak mak nie.."

Moga Allah taala menjaga kita semua daripada bala bencana dan perpecahan sebegini..Kembali kepada kefahaman ulama yang sebenar sahajalah membolehkan untuk kita bersama semula..

Wallahu a'lam..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Ust Alif Mansurah,
Mansurah , Mesir...

Ahad, 21 Jun 2009

Selamat Hari Bapa kepada Ayahandaku Tercinta..

Assalamualaikum...dikesempatan yang ada ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ayah kepada ayahanda saya yang tercinta ...Abd Nasir Hj Abdullah...

Seorang yang sangat banyak memberikan kesan mendalam terhadap diri saya..seorang yang bersahaja namun disebaliknya terselit ketegasan..Ketegasan Ayahanda bukanlah meruntuhkan semangat anak-anak,malah semakin memberikan semangat kepada permata-permata miliknya...

Kadang-kadang ayahanda juga seorang yang melucukan..Pernah satu hari, saya makan bersama ayah di dapur, kebetulan ayah habis dahulu..Saya masih lagi meneruskan sisa yang berbaki.. Tiba-tiba ayah meletakkan secawan air dihadapan saya..Terkejut bercampur terharu bila ayah melakukan sedemikian..Tak pernah ayah buat macam tue.. Kemudian selesai makanan di dalam pinggan, saya pun minum air yang diberikan ayah..Ketika itu jugalah tersembur mulut saya, rupa-rupanya air yang diberikan adalah air garam..serentak dengan semburan air dari mulut saya..terdengarlah ketawa lucu daripada ayah dan emak yang asyik melihat keletah saya dan menantikan saat-saat itu tiba...Saya pun turut sama tertawa..

Kenangan ini selamanya tidak akan saya lupakan...amat manis sekali...

Ayahanda,

Sebenarnya, bagi saya setiap hari adalah hari bagi ayahanda..kerana diri ini tidak pernah melupakan utk menyebutkan namamu ketika setiap kali selepas menunaikan solat...Tanpa ayah, saya dan adik-adik tidak akan dapat menghirup udara milik Allah taala dan berusaha untuk menjadi anak yang soleh dan solehah...

Ayahanda, kalam nasihatmu tidak sesekali akan kulupakan..sentiasa ianya tersemat di jiwa ini...
Moga kita sekeluarga dapat bersama di syurga kelak..

Cuma satu permintaan dari anakandamu..kahwinkan diri anakandamu ini secepatnya..hehe..

Saya tujukan lirik ini buat ayahanda..Lirik ini dipetik daripada lagu kumpulan Nasyid Inteam..Terimalah Sentuhanmu:

Terpanar aku pada sentuhan keramatmu
Mengheret aku mentafsir memori silammu
Dulu ku ragu apa terbungkam dibenakmu
Kini ku tahu apa yang terbuku di hatimu

Surut dedarku pada usapan manteramu
Tunduk ungkalku pada ketegasan dirimu
Terpasak semangat pada keyakinan tekadmu
Keakuranku pada tunjuk dan titah arahanmu

Oh ayah,
Tak pernah ku tanya
Kemana tumpahnya keringatmu
Oh ayah,
Tak pernah ku hitung
Berapa banyak kerutan di dahimu
Yang ku pinta hanyalah kemahuan hatiku
Yang sedaya ayah laksanakan

Kau pendorong bukanlah pendesak
apalagi memaksa diriku
Aku terlorong bukan terdesak
apalagi rasa terdera

Tak terkuis dugaan menduga
Apalagi takdir yang menerpa
Aku mengharap bukan menolak
Apalagi cuba melupa

Lestari kasihmu tanpa batasan
Sempadan waktu yang memisahkan
Abadi hingga ke hujung usia akhiran masa
Sentuhanmu amat bermakna..

Dirimu sangat berharga buat kami anak-anakmu..Aku amat-amat merindui gurauanmu..

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR...

Sabtu, 20 Jun 2009

Adakah Bilamana Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam Meninggalkan Sesuatu Perkara Bermakna Ianya Haram Dilakukan Oleh Kita??

Kali ini kita akan sama-sama membincangkan berkenaan masalah yang sering ditimbulkan oleh golongan salafi jadian @ wahabi. Masalah yang sering mereka laungkan dan sering kita dengari perkara ini ialah berkenaan sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam maka ianya merupakan bid’ah dan haram dilakukan. Perkataan-perkataan sebegini sering kali kita dengari daripada mereka:

“ Jika perkara ini baik, mengapa ianya tidak dilakukan oleh para salafussoleh terdahulu?”

Kesalahfahaman mereka di dalam memahami ilmu usul fiqh menyebabkan mereka tidak dapat membezakan mana satu hukum yang diguna pakai oleh para ulama umat Islam. Perlu diingat dan difahami, saya dan sahabat-sahabat yang menulis sebegini bukanlah berniat menghentam golongan wahabi atau salafi jadian . Sebaliknya tujuan kami tidak lain hanyalah semata-mata ingin memberikan kefahaman yang sebenar. Biarlah kita memahami sepertimana para ulama terdahulu faham. Janganlah dengan kesilapan kita menyebabkan kita telah mengheret golongan yang baru ingin mengenal hukum jauh daripada kebenaran. Kami tidak sesekali membenci wahabi, malah saya sendiri menyayangi mereka. Golongan wahabi juga merupakan golongan muslimin. Mereka bukanlah Kafir sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian golongan masyarakat Muslimin yang begitu tegar menghentam wahabi. Islam tidak mengajar kita berkhilaf sehingga mengeluarkan seseorang Muslim tersebut daripada Islam. Wahabi tetap Muslim. Cuma mereka tersalah di dalam memahami manhaj sebenar yang diletakkan oleh para ulama. Maka golongan yang tersalah, perlu ditunjukkan jalan yang sebenar. Kami tidak memaksa untuk kamu semua menerimanya. Akal dan iman yang ada pada kamu telah diberikan oleh Allah taala untuk menilai perkara ini semasak-masaknya. Kami bukan berhujah dengan akal dan emosi. Maka kamu juga perlu bersikap demikian. Walau berbeza pendapat, namun saling berlapang dada itu penting. Kebenaran itu lebih berhak diikuti. Jika kami salah, maka tunjukkan dimanakah kesalahan kami dan jika kamu benar, tunjukkan hujah bahawa kamu adalah benar.

Kembali kepada perbincangan asal.

Adakah sesuatu perkara yang ditinggalkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam menunjukkan bahawa perkara itu menjadi haram untuk dilakukan oleh umatnya??

Menurut Guru Kami yang mulia Fadhilatul al-Allamah Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah : Telah sepakat para ulama salaf dan khalaf samada yang berada di timur atau barat mengatakan bahawa perkara yang ditinggalkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam bukanlah boleh untuk dijadikan satu sumber pengambilan hukum untuk mengatakan bahawa ianya menjadi haram jika dilaksanakan.

Jika kita mempelajari ilmu usul Fiqh, hukum taklifi yang terdapat di dalam Islam yang disepakati oleh para ulama hanyalah 5 perkara:

1. al-Wujub ( sesuatu perkara yang jika ditinggalkan akan mendapat dosa, dan jika dilaksanakan akan mendapat pahala- juga dikenal dengan nama wajib)

2. al-Nadbu (sesuatu perkara yang jika ditinggalkan tidak akan mendapat dosa, dan jika dilaksanakan akan mendapat pahala- juga dikenal dengan nama Sunat)

3. al-Ibahah ( sesuatu perkara yang jika ditinggalkan tidak mendapat dosa dan jika dilaksanakan tidak mendapat pahala- juga dikenali sebagai Harus)

4. al-Karahah (sesuatu perkara yang jika ditinggalkan akan mendapat pahala, dan jika dilaksanakan tidak akan mendapat dosa- juga dikenali sebagai Makruh)

5. al-Hurmah ( sesuatu perkara yang jika ditinggalkan akan mendapat pahala dan jika dilaksanakan akan mendapat dosa- juga dikenali sebagai Haram).

Jika kita pelajari dengan teliti dan sebaiknya, maka kita tidak akan mendapati para ulama salafussoleh dan khalafussoleh tiada seorang yang mengatakan bahawa perkara yang ditinggalkan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan hujah mengatakan perkara tersebut haram dan bid’ah.

Dakwaan golongan wahabi sebegini merupakan dakwaan yang tiada bukti kukuh. Malah tiada dalil yang menguatkan hujah mereka. Perkataan seperti yang saya sebutkan diatas menjadi bukti bahawa mereka tidak memahami usul fiqh dan hukum hakam dengan baik. Persoalan sebegitu hanya dilafazkan oleh orang awam yang tidak benar-benar mendalami ilmu agama dengan para ulama muktabar.

Perbuatan Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara dengan keadaan baginda tidak menerangkan sebab mengapa perkara tersebut ditinggalkan maka ianya seolah-olah seperti sesuatu yang sengaja didiamkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam .

Diamnya Baginda sallallahu alaihi wasallam bukanlah bermaksud mengabaikan hukum. Malah diamnya Baginda sallallahu alaihi wasallam terhadap sesuatu perkara adalah kerana untuk memberikan kesenangan kepada umatnya serta tidak ingin memberatkan umatnya. Ini sesuai dengan sifat Nabi sallallahu alaihi wasallam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah taala di dalam surah al-Anbiya ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

ما أحل الله فهو حلال و ما حرم فهو حرام و ما سكت عنه فهو عفو , فاقبلوا من الله عافيته , فإن الله لم يكن لينسي شيئاً

Maksudnya: Apa sahaja perkara yang dihalalkan Allah taala maka ianya menjadi halal, dan apa sahaja perkara yang diharamkan oleh Allah taala maka ianya menjadi haram,dan apa sahaja yang didiamkan (tidak diterangkan hukumnya samada halal atau haram) maka ianya dimaafkan. Maka terimalah rahmat ini daripada Allah taala. Sesungguhnya Allah taala tidak pernah melupakan sesuatu perkara sekalipun.

Jadi, perbuatan mengharamkan dan menuduh golongan yang melakukan perkara yang didiamkan oleh syarak sebagai haram dan bid’ah adalah satu tuduhan yang melulu dan membuta tuli.

MENGAPAKAH BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM MENINGGALKAN SESUATU PERKARA? APAKAH SEBABNYA?

Al-Alim al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya “ حسن التفهم و الدرك لمسألة الترك”:

Jika Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara maka ianya terdapat beberapa kemungkinan :

1. Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan perkara itu kerana tidak sesuai dengan adatnya. Ini seperti hadis yang menceritakan tentang Dhob (Biawak pasir) yang dihidangkan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.Hadis ini disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim.

2. Terkadang Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara kerana terlupa . Baginda sallallahu alaihi wasallam pernah terlupa di dalam solatnya.Maka ditanya oleh para sahabat: Adakah terdapat syariat yang baru tentang solat? Maka jawab Baginda sallallahu alaihi wasallam:

إنما أنا بشر أنسى كما تنسون فإذا نسيتُ فذكرونى

Maksudnya: Sesungguhnya aku juga manusia seperti kamu, maka aku juga terkadang lupa sepertimana kamu lupa. Jika aku lupa, ingatkanlah aku.

3. Baginda sallallahu alaihi wasallam juga meninggalkan sesuatu perkara kerana bimbang perkara tersebut menjadi kewajipan kepada umatnya. Ini jelas seperti Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan solat tarawih secara berjemaah . Baginda hanya melaksanakannya selama tiga hari sahaja dan kemudian Baginda tidak lagi melaksanakannya dengan para sahabat.

4. Terkadang Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara kerana tidak terlintas di dalam fikiran Baginda sallallahu alaihi wasallam untuk melakukan perkara tersebut. Ini seperti dijadikan mimbar sebagai tempat untuk berkhutbah. Disebutkan di dalam Majma’ Zawaid jilid 2/180:

فقال رجال في أصحابه: يا رسول الله نجعل لك شيئا تقوم عليه يوم الجمعة حتى ترى الناس أو قال: يراك الناس حتى يسمع الناس خطبتك قال: نعم فصنعوا له ثلاث درجات فقام النبي صلى الله عليه و سلم كما كان يقوم فخار الجذع حتى تصدع و أنشق فمسحه بيده حتى سكن, ثم رجع إلى المنبر

Maksudnya: Salah seorang sahabat berkata kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam: Ya Rasulallah, Apakah pandanganmu jika kami membina sebuah tempat untuk kamu berdiri memberikan khutbah pada hari Jumaat sehingga kamu boleh melihat hadirin (di dalam riwayat yang lain) : Hadirin yang hadir dapat melihat kepadamu sehingga mereka boleh mendengar dengan jelas khutbahmu. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Baik juga cadangan tersebut. Maka para sahabat pun membina sebuah mimbar yang terdapat 3 anak tangga padanya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdiri di atas mimbar tersebut sepertimana biasa. Seketika itu juga terdengar bunyi batang tamar tempat Baginda berkhutbah dahulu berbunyi (seumpama bunyi lembu mengerang) sehingga ianya terbelah dan pecah, maka Baginda sallallahu alaihi wasallam pun mengusap-usap batang tamar tersebut sehinggalah ianya diam kemudian Baginda pun kembali ke mimbar tersebut.

5. Terkadang baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara kerana ianya telah pun disebutkan di dalam ayat yang menyuruh kita melakukan apa sahaja perkara yang baik yang tidak bercanggah dengan syarak. Firman Allah taala di dalam surah al-Haj ayat 77:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah dan beribadahlah kepada tuhanmu dan lakukanlah perkara yang baik moga-moga kamu beroleh kejayaan.

6. Terkadang Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara kerana bimbang akan terasa hati sebahagian sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam . Ini jelas disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim berkenaan keinginan Baginda sallallahu alaihi wasallam untuk membina kaabah pada tempat asas yang diletakkan oleh Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam.

Menurut Syeikhuna al-Allamah Dr Umar Abdullah Kamil hafizahullah, terdapat banyak lagi sebab yang menyebabkan Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara.
Jika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ingin melarang sesuatu perkara dan ingin menunjukkan bahawa perkara itu haram, maka tidak cukup dengan hanya meninggalkan perkara tersebut tanpa menerangkan bahawa ianya dilarang. Baginda sallallahu alaihi wasallam pasti akan menerangkan bahawa perkara tersebut adalah haram. Mustahil Baginda sallallahu alaihi wasallam mendiamkan diri tanpa menerangkan bahawa perkara tersebut adalah haram.

Allah taala berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

Maksudnya: Apa sahaja yang diarahkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam maka wajiblah kamu melaksanakannya, dan apa sahaja perkara yang dilarang oleh Baginda maka tinggalkanlah.

Jelas di dalam ayat ini menyebutkan kita perlu meninggalkan perkara yang dilarang oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam. Allah taala tidak pula menyebut:

و ما لم يفعله فانتهوا

Maksudnya: Apa sahaja perkara yang tidak dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam maka tinggalkanlah perkara tersebut.

Inilah kefahaman para ulama terdahulu terhadap permasalahan ini. Jika bukan kerana kefahaman ini maka tidaklah kita dapati ada sahabat yang melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.

CONTOH PERBUATAN SAHABAT YANG MELAKUKAN PERKARA YANG TIDAK PERNAH DILAKUKAN OLEH RASULULLAH

1. Perbuatan sahabat yang menambah doa selepas mengangkat kepala daripada rukuk di dalam solat.Hadis ini disebutkan oleh al-Imam Ahmad jilid 4 mukasurat 340, al-Imam Bukhari di dalam Sahihnya jilid 1 ms 275, al-Imam Abu Daud di dalam Sunannya jilid 1 ms 204, al-Imam Nasa’ie jilid 1 ms 222, al-Imam Malik di dalam Muwatta’ jilid 1 ms 211, al-Imam Baihaqi di dalam Sunan Kubra jilid 2 ms 95.

Golongan wahabi yang tidak memahami perkara ini mengatakan bahawa perkara ini diikrarkan oleh Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam selepas solat tersebut. Maka ianya dikira sebagai pengiktirafan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam. Kita pada masa sekarang tiada siapa lagi yang akan mengiktiraf perbuatan kita samaada boleh atau tidak. Maka secara jelas perkara tersebut ditolak.

Hujah sebegini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak memahami maksud sebenar perbuatan sahabat ini. Saya ingin bertanya, jika sahabat tersebut memahami bahawa melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah haram, maka tentulah mereka lebih dahulu meninggalkan perkara tersebut. Mengapa sahabat tersebut tidak bertanya terlebih dahulu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam sebelum melakukannya. Adakah sahabat tersebut tidak takut termasuk di dalam golongan yang melakukan bid’ah?

Maka jelas menunjukkan bahawa para sahabat tidak memahami bahawa apa yang baginda diamkan dan tidak lakukan bermakna ianya haram dan termasuk perkara bid’ah. Malah mereka memahami bahawa ianya termasuk di dalam kaedah syarak yang tidak melarang melakukan perkara tersebut. Ini kerana solat adalah tempat untuk kita berdoa. Maka kerana itulah para fuqaha membahaskan adakah kita dibenarkan membaca doa apa sahaja di dalam solat. Ini kerana mereka memahami maksud sebenar hadis tersebut dengan jelas.

2. Perbuatan Saidina Bilal radhiyallahu anhu melakukan solat sunat wudhuk. Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak pernah melakukannya. Maka ini jelas bahawa Saidina Bilal memahami bahawa bilamana Baginda sallallahu alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara dan mendiamkannya bukanlah bermakna ianya haram.Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari di dalam Sahihnya jilid 1 dan 3 pada mukasurat 366 dan 1371.

3. Perbuatan Saidina Umar radhiyallahu anhu mengumpulkan untuk melaksanakan solat tarawih secara berjemaah ketika bulan Ramadhan. Perkara ini jelas tidak dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini bermakna Saidina Umar radhiyallahu anhu memahami bahawa apa yang tidak dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam bukanlah bermaksud perkara itu haram.

4. Perbuatan Saidina Uthman radhiyallahu anhu menambah azan Jumaat sebanyak 2 kali.

5. Perbuatan Saidina Bilal bin al-Harith al-Muzani radhiyallahu anhu pergi ke Maqam Saidina Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengadu tentang kemarau yang menimpa Madinah ketika tersebut. Jika perbuatan Saidina Bilal tersebut bid’ah maka tentulah Saidina Umar radhiyallahu anhu akan mengambil tindakan ke atasnya. Namun perkara tersebut tidak berlaku, malah diiktiraf oleh Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu anhu.

Banyak lagi perkara yang dilakukan oleh para sahabat yang ianya tidak dilakukan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam sebelumnya.Cukuplah hujah yang saya berikan ini buat orang yang inginkan kebenaran.Benarlah kata-kata hukama’:

مريد حق كفاه نص

و ألف لا تُقنِع المعاند

Maksudnya: Orang yang inginkan kebenaran cukuplah baginya satu hujjah, manakala orang yang keras kepala jika diberikan seribu hujjah sekalipun tetap tidak akan menerimanya.

Sekali lagi saya berpesan, jika ingin berhujah datangkanlah dengan hujah yang bernas dan kukuh. Jangan dahulukan emosi. Sudah kerap kali golongan sebegini melakukannya di dalam laman saya ini. Tidak mendatangkan hujah, cuma celaan dan cemuhan yang dihamburkan. Mereka menuduh orang tidak beradab, sedang diri sendiri dilupakan. Kita berbincang dengan cara yang baik. Saya bersikap berlapang dada dengan orang yang mahu meraikannya. Tiada guna melayan orang yang sombong tidak sedarkan diri.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Husnu al-Tafahhum wa al-Darki li mas’alati al-Tarki oleh Al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari rahimahullah. Cetakan Maktabah Kaherah.Tahqiq Syeikh Safwat Judah Ahmad.

2. Al-Tarku la Yuntiju Hukman oleh Al-Allamah Dr Umar Abdullah Kamil hafizahullah. Cetakan Darul Mustafa

3. Al-Bayan li Ma Yusghilu al-Azhan oleh al-Allamah Dr Ali Jum’ah hafizahullah cetakan al-Muqattam lil Nasyri wa al-Tauzi’

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR.

Rabu, 17 Jun 2009

Majlis Khatam Kitab Kharidah Bahiyah Di Masjid al-Imam Dardir rahimahullah

Alhamdulillah syukur pada Allah taala dengan inayahnya pada hari ini kami bersama Guru Kami yang mulia Fadhilatul Syeikh Dr Jamal Faruq al-Daqqaq al-Hasani hafizahullah telah berjaya menamatkan pembacaan kitab Syarah Kharidatul Bahiyah. Majlis dijalankan berhampiran Maqam al-Imam Dardir pengarang kitab tersebut.

Kitab ini dikarang oleh al-Imam al-Allamah al-Arif billah Ahmad bin Muhammad al-Adawi wafat pada 1201 hijriyah yang dikenali sebagai al-Imam al-Dardir rahimahullah. Ini merupakan antara kitab asas yang membahaskan tentang ilmu tauhid ahlussunnah wal jamaah mengikut mazhab al- Asya’irah.

Saya bersyukur pada Allah taala kerana mengikuti pengajian ini sejak mula dibacakan di Masjid al-Azhar di dalam Anjung al-Atrak pada 24 November 2007. Saya tidak menafikan ada juga kelas yang saya tidak dapat hadiri kerana keuzuran atau pulang ke Malaysia. Namun kebanyakkan pengajian kitab ini bersama dengan Syaikhuna Jamal Faruq saya ikuti dengan teliti.Antara sahabat-sahabat yang mengikuti pengajian kelas ini sejak mula pengajian ialah al-Fadhil Ustaz Juzaili Juhan dan beberapa sahabat Malaysia yang lain. Semoga Allah taala memberikan saya dan sahabat-sahabat sekalian kefahaman sepertimana kefahaman yang diberikan kepada para auliya’ dan ulama.Amin Ya Rabbal A’lamin.Saya mengambil catatan tarikh pengajian daripada sahabat saya, Badr al-Misri. Beliau mencatat satu persatu tarikh setiap kali habis sebuah bab pembacaan dengan Syaikhuna.

Menurut catatan beliau, kami habis membaca bab Ilahiyat (Sifat-sifat Wajib, Mustahil , dan Harus bagi Allah) pada 31 Disember 2008.

Bab Nubuwwat @ Nabawiyat ( Sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi Rasul) pula habis dibaca dan dipelajari pada tanggal 21 Januari 2009.

Pengajian kami tamat pada hari ini tanggal 17 Jun 2009.

Beginilah pengajian yang sering kami ikuti di Masjid al-Azhar al-Syarif. Bilamana mula membaca sesebuah kitab dengan Syeikh maka jangan ditanya bilakah akan habis bacaan kitab tersebut. Ini adalah pesanan yang kami terima daripada Syaikhuna al-Alim al-Allamah Dr Ahmad Tayyib hafizahullah , Rektor al-Azhar sekarang. Ini diucapakan oleh beliau semasa mengajarkan kitab al-Mustasfa karangan al-Imam al-Ghazali rahimahullah di Anjung al-Abbasi.

Kelas pengajian kami bersama dengan Syeikh Jamal Faruq hafizahullah bermula selepas solat Asar pada setiap hari Ahad dan Rabu setiap minggu. Cuma ketika minggu peperiksaan Syeikh memberikan kelonggaran kepada kami dengan hanya menjalankan kelas pada hari Ahad sahaja. Kefahaman yang Allah taala berikan kepada Fadhilatul Syaikhuna Jamal Faruq hafizahullah amat luar biasa. Bukan saya mereka-reka cerita, tetapi jika sesiapa yang selalu mengikuti pengajian bersama Syeikh maka akan dapat merasakan nikmatnya dan betapa luasnya ilmu para ulama al-Azhar al-Syarif.

Beliau bukan hanya pakar di dalam bidang Aqidah al-Islamiyah, tetapi juga hebat di dalam ilmu al-Quran seperti Tajwid dan Qiraat. Syeikhuna juga hebat di dalam ilmu Tafsir dan Tatabahasa Arab.

Disebabkan saya sering mengikuti pengajian bersama dengannya. Maka Syeikhuna berkenan untuk mengijazahkan Sanad pengambilan ilmu beliau daripada guru-guru beliau kepada saya dan murid beliau yang lain pada 2 Safar 1430 H bersamaan 28 Januari 2009 di Masjid al-Azhar al-Syarif. Majlis tersebut tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Di dalam Ijazah tersebut beliau menyenaraikan nama-nama guru yang telah memberikan ijazah ilmu kepada beliau. Antara guru-guru Syeikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq hafizahullah ialah :

1. Syeikhuna Sayyid Ibrahim bin Abdullah ali Khalifah al-Husaini hafizahullah.( Syeikhuna Sayyid Ibrahim ali Khalifah juga pernah memberikan ijazah umum kepada saya pada awal bulan Jumadil Ula 1428 Hijriyah ketika beliau menghadiri majlis ihtifal Maulid Sayyidina Hussain radhiyallahu anhu).

2. Al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Ibrahim bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumari rahimahullah.

3. Al-Muhaddis Ahmad bin Muhammad Nur Saif hafizahullah

4. Al-Allamah al-Murabbi al-Muhaddis Syeikh Muhammad Zakiyuddin bin Ibrahim al-Khalil bin Ali al-Azhari dan lain-lain.

Guru-guru beliau mencapai puluhan orang yang tidak dapat saya senaraikan di sini. Ini adalah sebahagian daripada apa yang terdapat di dalam Risalah Ijazah Umum yang beliau berikan kepada kami yang bernama al-Marmuq fi Asanid al-Allamah al-Sayyid Jamal bin Faruq .Risalah ini disusun oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk terus menerus mempelajari ilmu Allah taala di muka bumi ini. Selepas ini Syaikhuna akan mula membaca kitab Syarah al-Imam Showi rahimahullah a’la Jauharatul Tauhid . Ramai-ramailah kita menghadirkan diri ke kelas pengajian ini .

Saya dan para sahabat yang lain bukanlah semata-mata belajar untuk diri kami sendiri. Tiada istilah seseorang yang belajar ilmu Agama untuk kepentingan diri. Saya belajar untuk membantu perjuangan Islam bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) kelak. Semoga Allah taala memberikan kekuatan kepada kita semua.[Di sini]saya letakkan gambar majlis tersebut yang di adakan di Masjid Imam Dardir rahimahullah(pengarang kitab yang kami pelajari).

Saya juga menerima berita sedih pemergian salah seorang guru saya ketika saya kecil dahulu, Allahyarhamah Ustazah Mariam bt Hussain. Ibu saya menghantar mesej pesanan ringkas pagi 17 Jun 2009 kepada saya memberitahu bahawa Ustazah telah tiada. Perkara ini amat mengejutkan saya kerana saya sempat bertemu dengan Allahyarhamah ketika pulang ke Malaysia baru-baru ini dan beliau sihat seperti biasa. Allah lebih menyayanginya. Moga Allah taala menempatkan beliau bersama para solihin. Al-Fatihah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir,
17 Jun 2009

Isnin, 15 Jun 2009

Mengapa Perlu Terburu-Buru??

Teringat saya dengan cerita pedoman menarik yang ingin saya kongsi bersama dengan semua . Kisah ini saya petik daripada siri pengajian saya bersama dengan Fadhilatul Syeikhuna Al-Allamah Al-Adib Dr Fathi Abd Rahman Ahmad Hijazi hafizahullah , salah seorang ulama al-Azhar al-Syarif. Kami belajar kitab Syarah Qatrunnada (Ilmu Tatabahasa Arab @ Nahwu) dan Kitab Balaghah Wadihah setiap minggu bersama beliau di sebuah tempat pengajian bertentangan dengan pintu hadapan Universiti al-Azhar al-Syarif.

Kelas pengajian bersama beliau sangat menarik kerana guru kita yang mulia ini bukan sekadar memberikan input pengajian yang sangat bermanfaat , malah turut menyampaikan cerita-cerita menarik buat tatapan. Hebatnya guru kita ini, setiap cerita yang disampaikannya pasti ada kaitan dengan tajuk perbincangan yang akan dibincangkan di dalam kitab yang akan dibacakan.Walaupun Syeikhuna merupakan tenaga pengajar di Kuliyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar, namun kehebatan beliau terserlah di dalam semua bidang ilmu Islam.Baik Fiqhnya, Tafsirnya, Hadisnya , Tasawufnya dan lain-lain. Inilah hasil keluaran al-Azhar terdahulu yang belajar satu persatu ilmu Islam bukan hanya sekadar berpada dengan silibus-silibus pelajaran yang sebahagiannya dibaca untuk peperiksaan semata-mata.

Oleh sebab itulah, kata-kata sebahagian penuntut di Universiti al-Azhar “ al-Azhar hanya menekankan manhaj Faham dan Hafaz” adalah merupakan ungkapan yang paling tidak enak didengar oleh telinga penuntut seperti saya. Konsep Faham dan Hafaz bagaimana yang golongan ini maksudkan saya tidak pasti. Hasil daripada konsep kefahaman sebeginilah menyebabkan seseorang tersebut tidak benar-benar memahami Manhaj sebenar al-Azhar.

Bukan ini yang saya ingin ceritakan sebenarnya. Sampai masanya kita akan bincangkan tentang manhaj al-Azhar . Kembali kepada cerita yang ingin saya sampaikan.

Saya kira cerita ini sangat elok untuk difikirkan bersama kerana ianya berkisar tentang konsep dakwah secara berhikmah. Mungkin boleh juga saya klasifikasikan cerita ini seperti tajuk yang diletakkan oleh al-Fadhil Ustaz Hasrizal Jamil @ SaifulIslam.com “ Jiwa Dai’e , Otak Faqih”.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“ Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“ Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye “ jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“ Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “ Sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “ Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?”Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“ Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“ Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?”Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“ Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“ Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahwa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi , apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“ Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad.Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?”.Ahmad menjawab dengan yakin : “ Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar menunaikan janjimu.”

“ Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”

“ Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?”Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“ Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“ Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan , kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“ Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

“ Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“ Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“ Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.”Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“ Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?”Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“ Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami.Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

Kenapa perlu terburu-buru? Biar berperingkat tapi hasilnya Allah sahaja yang tahu.

Kami menantikan lagi kisah tauladan daripadamu wahai Syeikhuna Yang Mulia.

Wallahu a’lam.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu 10,
Kaherah Mesir

Ahad, 14 Jun 2009

Pemergian Yang Menyentak Kalbu....

Kehilangan seorang tokoh pejuang di dalam dunia Islam amat menyentak jiwa peribadi saya..

Al-Fadhil Al-Allamah al-Dai'eyah Dr Fathi Yakan rahimahullah , satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.. Seperti kaedah yang diletakkan oleh para ulama :

المعروف لا يُعرف

Maksudnya: Seseorang yang telah dikenali , maka tidak perlu diperkenalkan lagi.

Moga roh perjuanganmu wahai Syeikhuna akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan kami yang akan menyusulmu...

Engkau tidak hilang wahai Syeikhuna, Engkau tetap hidup bersama kami..Engkau tidak hilang malah Engkau cuma pergi bertemu Yang Maha Agung...Engkau tetap hidup di sisiNya.. Diberi rezeki dan seluruhnya ..Amin Ya Rabbal Alamin...

Al-Fatihah buat Syeikh Dr Fathi Yakan rahimahullah..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah,Mesir

Sabtu, 13 Jun 2009

Bicara tentang RINDU

Alhamdulillah diberikan juga peluang oleh Allah taala untuk tulis post yang terbaru ini. Kali ini kita akan berbicara tentang rindu. Pada post yang lepas saya telah bicarakan tentang cinta dan hakikatnya.

Kesinambungan daripada cinta maka akan terbit perasaan rindu pada yang dicintai. Para pejuang Allah taala yang mencintai Tuhannya pasti akan merindui syahid. Seorang suami yang mencintai isterinya pasti akan merindui isterinya jika berjauhan. Begitulah seterusnya.

Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh Syarak.

Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.

Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.

Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an , seorang perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti radhiyallahu anhu :

“ Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat”.

Biar kefahaman lebih jelas, elok kiranya saya terangkan pembahagian syahid di sisi para ulama. Terdapat tiga jenis syahid seperti yang diterangkan oleh para ulama yang mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid .

Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah(berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah taala, malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah taala di akhirat kelak.

Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan Allah taala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.

Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan Allah.Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah taala.

Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.

Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.

Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan seseorang.

Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.

Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu, akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada orang yang tidak membenci cinta sepertinya.

Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak.Apa itu rindu yang sebenar. Cinta dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.

Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah taala ciptakan cinta. Bukan untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui . Fikir-fikirkanlah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

Rabu, 10 Jun 2009

Bicara Tentang Cinta

Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang selalu terlalu prejudis terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu perkara yang buruk dan menjijikkan. Golongan yang paling ramai berpandangan sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja jugalah yang menyalah ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan perkara-perkara maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina dengan pasangannya hanya dengan menggunakan istilah “ cinta” dan “rindu”.

Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta , maka golongan remaja yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang serong terhadap cinta.

Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah taala. Seseorang akan menjadi musuh terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau ingin membenci cinta maka sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu rindu terlebih dahulu.

Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang. Ianya juga banyak membantu di dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah taala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan perkara itu ada tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari hikmahnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh berlaku kejam terhadap keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa sinar.

Kerna kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam terhadap saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang boleh membiarkan kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka seorang isteri akan membiarkan suaminya bermain kayu tiga dan tanpa cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya dipermainkan orang lain.

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita mendapat manfaatnya.

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kepada seseorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan rindu.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah radhiyallahu anhu katanya:

خطبت امرأة فقال لي رسول الله صلى الله عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : لا , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما

Maksudnya: Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan.

Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح

Maksudnya: Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan.

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta seperti yang dilakukan oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang tak terbendung. Ini satu kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan menuju redha Allah taala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan dosa dan noda yang mereka lakukan ketika bercinta.

Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap golongan yang berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka telah jauh daripada Allah taala dengan membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai sesuatu yang jijik untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.

Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan hati tidaklah dikira dosa selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya menghalang kecenderungan hatinya terhadap seseorang.

Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah taala adalah perbuatan orang bercinta itu. Jika perbuatan yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka inilah yang akan dinilai dan disoal oleh Allah taala kelak.

Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai dosa dan noda ialah dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke arahnya. Perkahwinan adalah satu cara yang terbaik untuk menyemai cinta sebenar yang dikehendaki syarak.

Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh sebab itulah syarak meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua pasangan tersebut. Batasnya perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa kemudharatan dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.

Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah membaca sebahagian daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah 384H-456H . Kitabnya yang berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah adalah Guru Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya diterjemahkan oleh Habiburrahman al-Syirazy , penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca buku ini. Sesiapa yang pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus mendapatkan pemahaman tentang cinta daripada karangan al-Imam Ibn Hazm rahimahullah sendiri.Moga kalian lebih memahami tentang cinta.

Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang. Doakan moga diberikan kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung. Wallahu a’lam.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

Sabtu, 6 Jun 2009

Apakah Maksud Ummiy Yang Disandarkan Kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam??



Saya telah diminta oleh seorang sahabat untuk memerhatikan perbahasan berkenaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam digelar al-Ummiy yang diterangkan oleh Doktor Mashitah Ibrahim dan Ustaz Hj Ashaari Muhammad(Pengasas al-Arqam).

Setelah saya telitikan maksud perbahasan mereka berdua di dalam link [klik di sini], kesimpulan yang dapat saya berikan ialah kedua-duanya menunjukkan adab dan rasa ta’dzim yang tinggi pada Baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini merupakan pujian yang patut diberikan kepada mereka berdua di dalam membahaskan perkara ini.

Sedikit kritikan saya terhadap jawapan yang diberikan oleh Ustaz Hj Ashaari Muhammad ialah berkenaan penafiannya terhadap maksud Ummiy itu ialah tidak pandai membaca dan menulis secara total. Seolah-olah beliau mengatakan bahawa orang yang berpandangan sedemikian menganggap bahawa baginda sallallahu alaihi wasallam sebagai seorang yang bodoh dan tidak pandai. Penafsiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad tentang ummiy dengan mengatakan maksud sebenarnya ialah orang yang belajar dengan cara yang luar biasa, tidaklah menjadi masalah. Tetapi mempersalahkan dan melabelkan maksud ummiy seperti yang diterangkan oleh para ulama Islam adalah salah adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau. Ini seolah-olah tidak meraikan khilaf yang baik dalam memberikan sesuatu pendapat.

Kita perlu memahami bahawa membandingkan Baginda sallallahu alaihi wasallam dengan manusia biasa maka sebenarnya satu perbandingan yang tidak tepat. Mana mungkin kita ingin menyamakan ketidakpandaian kita membaca dan menulis dengan sifat ummiy yang ada pada baginda sallallahu alaihi wasallam.

Ini yang dipegang oleh jumhur ulama Islam. Tiada seorang pun yang mengatakan bahawa sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam melambangkan kebodohan. Malah sepakat para ulama mengatakan sesiapa yang mengatakan sedemikian maka boleh dihukumkan kafir.

Sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan satu tanda kebesaran Allah taala kepada kekasihNya. Ini dapat mengelakkan daripada tohmahan bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam yang menulis al-Quran, atau menukilkan daripada kitab-kitab terdahulu seperti Taurat dan Injil. Firman Allah taala di dalam surah al-Ankabut ayat 48:

وَمَا كُنْتَ تَتْلُوا مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ

Maksudnya: “Dan kamu (Muhammad) tidak pernah membaca satu kitab pun sebelumnya dan tidak pernah menulis satu kitab pun dengan tangan kananmu”

Firman Allah taala lagi di dalam surah al-A’raf ayat 157:

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آَمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang mengikuti Rasul, seorang nabi yang ummi yang mereka temukan (namanya) tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka kepada yang maaruf dan melarang mereka dari yang mungkar, yang menghalalkan bagi mereka semua yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Ayat pertama yang kita sebutkan menjadi dalil bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam sebelum diturunkan wahyu merupakan seorang yang Ummiy iaitu tidak pandai menulis dan membaca.

Manakala ayat kedua menjadi dalil bahawa golongan ahlul kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani mengenali Baginda sallallahu alaihi wasallam melalui sifat sebegini melalui kitab-kitab mereka. Maksudnya, jika benar nabi yang diutuskan selepas Saidina Musa dan Saidina Isa alaihimassalam bersifat sedemikian maka tiada alasan untuk mereka mengingkari Baginda sallallahu alaihi wasallam.

ADAKAH TERDAPAT PENDAPAT ULAMA YANG MENGATAKAN BAHAWA BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASSALAM PANDAI MEMBACA DAN MENULIS SELEPAS DITURUNKAN WAHYU?

Menurut Syeikhuna Atiyyah Saqr rahimahullah dan Syeikhuna Murabbi Yusri Rusydi hafizahullah, terdapat sebahagian ulama yang berpendapat sedemikian. Antaranya ialah al-Imam Baaji al-Maliki rahimahullah. Tiga dalil yang digunakan oleh ulama-ulama yang berpendapat sedemikian ialah:

1. Baginda sallallahu alaihi wasallam memadamkan perkataan Muhammad Rasulullah kepada Muhammad bin Abdullah ketika peristiwa Sulh Hudaibiyah(perjanjian damai antara Kaum Muslimin dan Kafir Quraisy)tetapi tidak berupaya menulisnya. Ini disebutkan oleh al-Imam Bukhari di dalam Kitab Sahihnya.

2. Baginda sallallahu alaihi wasallam membacakan lembaran perjanjian yang termeterai tersebut kepada Uyainah bin Hisni dan menerangkan maksudnya.

3. Baginda sallallahu alaihi wasallam menerangkan tentang sifat Dajjal dengan menyebutkan bahawa di tulis di antara kedua matanya dengan perkataan KAFIR. Ini bermakna Baginda sallallahu alaihi wasallam pandai membaca perkataan tersebut.

Jumhur ulama menjawab semula dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama yang berpendapat sedemikian dengan mengatakan bahawa :

1. Menurut Syeikh al-Allamah Muhammad Said Ramadhan al-Buti hafizahullah di dalam kitabnya Fiqh Sirah, Baginda sallallahu alaihi wasallam meminta Saidina Ali karramallahu wajhah untuk memadamkan perkataan Rasulullah. Tetapi Saidina Ali tidak mahu melakukannya. Al-Imam Muslim radhiyallahu anhu menerangkan lagi dengan jelas bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam meminta agar Saidina Ali menunjukkan dimanakah perkataan Rasulullah itu tertulis. Maka ditunjuk perkataan mulia itu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam dan Baginda memadamnya dengan tangannya yang mulia. Ini dalil yang jelas bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak tahu membaca dan menulis.

2. Dalil kedua yang digunakan oleh mereka adalah daripada hadis yang tidak Sahih. Maka Hadis yang Dhoif tidaklah boleh untuk menafikan hadis yang Sahih yang bertentangan dengannya.

3. Dalil ketiga yang digunakan oleh mereka dijawab oleh para ulama jumhur dengan mengatakan bahawa pengetahuan Baginda sallallahu alaihi wasallam terhadap sebahagian huruf tidaklah menafikan bahawa Baginda tetap ummiy.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN UMMIY?

Menurut Profesor Dr Abdul Shobur Marzuq, perkataan ummiy di sini kemungkinan disandarkan kepada perkataan الأمية yang bermaksud tidak pandai membaca dan menulis. Mungkin juga ianya disandarkan kepada perkataan الأممية . Berdasarkan istilah yang digunakan oleh golongan Yahudi laknatullah, perkataan الأممية dilabelkan kepada sesiapa yang bukan daripada bangsa mereka.

Jika perkataan Ummiy disandarkan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam di ambil daripada salah satu atau kedua-duanya maka tetap tidak menjadi suatu keaiban kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dengan hikmah yang telah kita terangkan sebelum ini. Al-Imam Fakhruddin al-Razi rahimahullah menerangkan di dalam Tafsirnya bahawa sifat ummiy yang ada pada baginda sallallahu alaihi wasallam ini merupakan mukjizat yang sangat besar kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam mengajarkan kepada para sahabat ayat al-Quran secara berkali-kali tanpa berlakunya perubahan walaupun satu huruf. Ini merupakan perkara yang luar biasa. Jika seseorang tersebut membacakan sesuatu dihadapan pendengar secara berkali-kali, maka tentulah akan berlaku sedikit perubahan. Ini berbeza dengan al-Quran yang dibacakan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam. Walaupun dibacakan dan diajarkan berkali-kali, tetap tidak berlaku berubahan walaupun satu huruf padanya.

Menurut al-Imam Qurtubi, Ibn Hajar al-Asqallani, Abu Hayyan, Ibn Atiyyah, al-Alusi dan lain-lain ulama rahimahumullah perkataan Ummiy tersebut disandarkan kepada Ummah Ummiyah yang bermaksud Kaum yang tidak pandai membaca dan menulis. Ini disebutkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadisnya yang mulia:

إنا أمة أمية لا نكتب و لا نحسب

Maksudnya: Sesungguhnya kami berasal daripada kaum yang Ummiy yang tidak pandai menulis dan tidak pandai melakukan pengiraan bintang (untuk menilik).

(hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ahmad bin Hambal rahimahumullah)

Ramai yang salah menterjemahkan perkataan لا نحسُب dengan memberikan maksud tidak pandai ilmu kira-kira (ilmu hisab). Ini jelas bertentangan dengan pendapat para ulama Muhaqqiqin. Al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani dan al-Imam Manawi rahimahumallah menerangkan bahawa maksud sebenar perkataan itu ialah tidak pandai melakukan perkiraan bintang.

Al-Nuhhas rahimahullah mengatakan bahawa perkataan Ummiy tersebut disandarkan kepada Ummul Qura iaitu Makkah tempat baginda sallallahu alaihi wasallam.

Terdapat juga para ulama yang mengatakan bahawa perkataan Ummiy ini disandarkan kepada Ummi(ibu) yang membawa maksud disandarkan kepada keadaan Baginda yang tidak pandai membaca dan menulis seolah-olah seperti baru dilahirkan oleh Ibunya yang mulia.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat saya berikan, sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam tidaklah menjadi suatu keaiban pada Baginda kerana ianya merupakan satu mukjizat dan bukti bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah benar-benar utusan Allah taala.

Sesiapa yang mengatakan ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam itu merupakan satu kebodohan, jika yang mengatakan itu seoarang yang jahil maka perlulah ditunjuk jalan yang benar. Jika yang mengatakan perkara tersebut seorang yang mengetahui bahaya perkataannya, maka jelaslah bahawa dia telah jatuh kafir.

Kritikan saya terhadap perkataan Ustaz Hj Ashaari Muhammad bukanlah bermaksud saya menafikan seratus peratus pendapatnya. Sikap taasub membuta tuli dan tidak boleh menerima pendapat orang lain bukanlah prinsip yang kita pelajari daripada para ulama kita di al-Azhar al-Syarif. Kebenaran itu lebih berhak diikuti. Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Tafsir al-Qurtubi jilid 9 cetakan Muassasah Risalah.

2. Tafsir Ruhul Ma’ani oleh al-Imam Alusi rahimahullah jilid 9 cetakan Darul Ihya’ Turaths al-Arabi


3. Tafsir Bahrul Muhith oleh al-Imam Abu Hayyan al-Andalusi rahimahullah jilid 4 cetakan Darul Kutub Ilmiyah.

4. Tafsir Mafatihul al-Ghaib oleh al-Imam Fakhruddin al-Razi rahimahullah jilid 15 cetakan Darul Fikr Beirut

5. Tafsir Muharrar al-Wajiz oleh al-Imam Ibn Atiyyah rahimahullah jilid 2 cetakan Darul Kutub Ilmiyah

6. Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani jilid 3 cetakan Maktabah Abikan

7. Faidhul Qadir Syarah al-Jami’ al-Shagir oleh al-Imam Manawi jilid 2 cetakan Darul Kutub Ilmiyah

8. Fiqh Sirah al-Nabawiyah oleh Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti hafizahullah cetakan Darul Salam Kaherah

9. Haqa’iq al-Islam fi Muwajahah Shubuhat al-Musyakkikin cetakan kedua di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir.

10. Fatawa Ahsanul Kalam oleh Syeikhuna Al-Allamah Atiyyah Saqr rahimahullah jilid 1 cetakan Maktabah Taufiqiyah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR ,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH, MESIR

Khamis, 4 Jun 2009

Berus Gigi Adakah Sama Dengan Siwak??



Soalan

Adakah penggunaan berus gigi pada zaman sekarang menyamai fadhilat menggunakan siwak?Harap penjelasan daripada ustaz.

Jawapan

Terima kasih kepada yang bertanya.Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu:

لو لا أن أشق على أمتي لأمرتكم بالسواك عند كل الصلاة

Maksudnya: Kalaulah tidak menjadi keberatan kepada ummatku, maka aku akan mewajibkan bagi mereka bersiwak setiap kali ingin menunaikan solat.

(hadis riwayat Bukhari no.847, Muslim no.252, Abu Daud 1/11, al-Baihaqi 1/35)

Berdasarkan hadis ini, penggunaan siwak adalah merupakan perkara sunnah. Ini kerana syarak sangat-sangat menekankan perkara ini. Siwak merupakan perkara yang dituntut di dalam semua keadaan. Lima keadaan yang sangat-sangat dituntut kepada seorang Muslim untuk bersiwak ialah :

1. Ketika ingin menunaikan solat

2. Ketika sedang berwudhuk

3. Ketika gigi berubah menjadi kekuningan

4. Ketika ingin membaca al-Quran (sebagai adab yang dituntut)

5. Ketika berubah bau mulut disebabkan bangun daripada tidur ,meninggalkan makan, terlalu lama berdiam diri,atau memakan sesuatu yang mengubah bau mulut seperti petai, jering, bawang dan lain-lain yang berbau.

Waktu yang makruh untuk seseorang berpuasa (samaada sunat atau wajib) untuk bersiwak menurut Mazhab al-Imam Syafie ialah selepas tergelincir matahari. Tetapi menurut al-Imam Nawawi rahimahullah, tidaklah menjadi makruh kepada seseorang yang berpuasa untuk bersiwak walaupun setelah matahari tergelincir.

Saya masih belum menjawab persoalan yang ditanyakan. Baiklah sebelum itu sama-sama kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan siwak.

SIWAK DAN MAKSUDNYA

Siwak menurut istilah syarak ialah penggunaan kayu siwak atau yang seumpama (seperti berus gigi pada zaman sekarang)dengannya bagi membersihkan gigi dan apa-apa yang berada disekitarnya seperti lidah dan gusi bagi menghilangkan kesan , bau makanan dan sebagainya yang mengubah bau mulut.

Jika kita perhatikan dengan baik maksud siwak menurut syarak, maka secara langsungnya berus gigi yang digunakan pada zaman sekarang juga termasuk di dalam penggunaan siwak.
Hatta para ulama Islam membahaskan adakah boleh seseorang tersebut menggunakan hujung kain yang kesat bagi bersiwak. Para ulama mazhab Syafie menyebutkan bahawa perkara ini juga boleh dianggap bersiwak.

BERSIWAK MENGGUNAKAN JARI

Menggunakan jari sendiri untuk bersiwak tidak dianggap sebagai siwak menurut syarak.Menurut al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah, menggunakan jari sendiri dan jari orang lain yang terputus(dengan syarat jari tersebut kesat) untuk bersiwak adalah dikira bersiwak menurut syarak. Tetapi menurut al-Imam Ramli rahimahullah, menggunakan jari sendiri dan jari orang lain yang tidak terputus juga boleh dianggap bersiwak(dengan syarat jari tersebut kesat).

KESIMPULAN

Jelaslah bagi kita segala perkara yang kesat maka ianya boleh digunakan untuk bersiwak. Sebaiknya kita mengambil cara baginda sallallahu alaihi wasallam bersiwak iaitu dengan menggunakan kayu uud yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Tetapi penggunaan berus gigi pada zaman sekarang juga fadhilatnya sama.

Perlu diambil perhatian, siwak memerlukan niat ketika kita menggunakannya. Jika kita tidak berniat untuk mengikut sunnah maka perkara tersebut tidak akan beroleh fadhilat dan pahala.Menurut al-Imam Syamsuddin al-Ramli rahimahullah, jika siwak dilakukan bersama perkara ibadah yang lain seperti ketika berwudhuk dan ingin mendirikan solat, maka tidak lagi perlu berniat ketika itu.

Wallahu a’lam

Rujukan:

1. Hasyiyah al-Imam Baijuri jilid 1 cetakan Darul Kutub Islamiyah

2. Mu’tamad fi fiqh al-Syafie oleh Syeikh Dr.Muhammad al-Zuhaily cetakan Darul Qalam jilid 1

3. Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masa’il Mufidah oleh Syeikh Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf ,cetakan ke-4 ,2006/1427.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, Mesir

Selasa, 2 Jun 2009

Pengajaran Buat HambaNya

Peristiwa yang menimpa tempoh hari banyak memberikan kesedaran kepada saya. Dua perkara serentak berlaku pada hari yang sama. Paginya, ayah ada menghantarkan mesej pesanan ringkas memberitahu bahawa nenek tiri saya sebelah ibu ( yang saya panggil Tok Ngah) telah kembali ke rahmatullah. Kali terakhir bertemunya ialah ketika saya pulang bercuti baru-baru ini. Semoga Allah taala merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman.

Malamnya pula, ketika saya dalam perjalanan pulang daripada kelas pengajian Kharidah Bahiyyah (Tauhid) bersama Syeikhuna Jamal Faruq al-Hasani hafizahullah berlaku sesuatu yang diluar jangkaan saya.

Setelah hampir 5 tahun berada di bumi Anbiya’ yang penuh dengan keberkatannya, inilah kali pertama peristiwa ini menimpa saya. Cerita begini. Saya kebetulan baru sahaja mengambil duit di Bank HSBC berdekatan al-Azhar, dan pulang menaiki motosikal bersama al-Fadhil Ustaz Juzaili Juhan. Ustaz Juzaili cuma menghantar saya berdekatan Hayyu Sabiek sahaja. Ketika saya berjalan berhampiran dengan Suq Sayarat ( Tempat Penjualan Kereta Terpakai), tiba-tiba Ustaz Abdullah Mukhlis (salah seorang sahabat saya yang sering menghadiri majlis pengajian bersama Syeikhuna Murabbi Yusri Rusydi hafizahullah) menelefon saya bertanyakan permasalahan fiqh.

Memang keadaan pada waktu itu sunyi kerana kebanyakkan orang berada di masjid-masjid berdekatan( ketika itu hampir masuk waktu Isya’). Saya menjawab persoalan yang ditanyakan dan sebaik sampai berdekatan rumah Terengganu, tiba-tiba seorang lelaki arab bersenjatakan parang turun daripada kereta mengacukan parangnya kepada saya sambil meminta telefon yang berada di tangan saya ketika itu. Saya yang masih belum habis bercakap dengan Ustaz Mukhlis agak terkejut. Lebih mengejutkan datang seorang lagi temannya yang juga berparang memegang saya di sebelah kiri dan kanan. Mereka cuba merampas telefon yang berada di tangan.

Pada mulanya, saya ada juga memikirkan untuk memberikan sahaja telefon tersebut. Tetapi perasaan pada ketika tersebut lebih menjurus untuk menyelamatkan harta yang satu-satunya saya miliki ketika itu. Telefon ini pemberian daripada adik saya, Siti Naddia. Saya bergelut juga dengan kedua-dua lelaki arab yang berparang itu. Sempat juga mereka menumbuk rusuk dan lengan saya. Lebih mengejutkan tiba-tiba datang seorang lagi arab mengacukan pistol ke arah saya. Jadi bilangan mereka sekarang sudah tiga orang. Memang tidak adil perbuatan mereka, seorang yang kosong tangannya daripada senjata, dikepung oleh tiga orang yang kesemuanya bersenjata. Saya masih lagi bergelut ketika itu, dan ketika itu barulah terfikir untuk melaung meminta tolong. Tak terdaya saya menentang kudrat Arab yang kesemuanya lebih besar dan tinggi daripada saya. Alhamdulillah laungan saya berjaya merungkaikan mereka, sempat lelaki berpistol menendang saya dan sempat juga saya membalas tendangannya(tetapi saya tidak pasti sama ada tendangan saya mengenainya atau tidak).

Kemudian saya berlari ke arah tong sampah besar di sebelah rumah Terengganu untuk mencari batu buat senjata bagi melontar kepada kereta yang mereka naiki. Tapi batu yang di cari ketika kekalutan walaupun besar di depan mata sekali pun, sudah tidak ketahuan lagi. Ramai juga sahabat-sahabat yang mendengar laungan saya turun. Lebih mengesalkan, saya tidak sempat mengecam wajah perompak-perompak tersebut.

Allah..setelah sampai dirumah, barulah saya terfikir. Kalaulah perompak tadi menetak saya dan menembak saya? Kalaulah, kalaulah…dan pelbagai lagi yang bermain di kotak fikiran saya. Saya bersyukur pada Allah taala kerana menyelamatkan saya daripada musibah tersebut.
Bolehkah saya sebutkan perkara ini sebagai musibah atau bala’? Sebaiknya saya sebutkan perkara ini sebagai peringatan daripada Allah taala buat saya yang sering alpa. Mungkin Allah taala ingin berkata kepada hambaNya “ Wahai hambaku, kamu pandai sekali memberikan nasihat dan pengajaran kepada orang lain, sedangkan diri sendiri, terkadang kamu terlepas pandang”. Ujian ini bagi saya mungkin sebagai muqaddimah. Sekelumit sangat kalau dibandingkan dengan ujian yang menimpa sahabat-sahabat di Palestin dan lain-lain Negara yang bergolak.Mereka bukannya setakat digertak, malah sudah dicincang dan dibunuh.

Ujian ini saya anggapkan sebagai ujian menentukan tahap keimanan saya. Maksudnya tahap iman saya masih rendah. Ya Allah, malu aku denganMu ya Allah. Kala aku dirundung masalah, masih sempat aku memohon kepada selain daripadaMu. Baginda sallallahu alaihi wasallam, ketika diacukan dengan pedang oleh seorang arab Badwi ketika pulang daripada sebuah peperangan.Ketika itu Baginda sallallahu alaihi wasallam tidur bersendirian di bawah pokok yang agak jauh daripada para sahabat radhiyallahu anhum ajma’ien. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, mengambil pedang dan menghunuskan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam lalu berkata “ Wahai Muhammad, nah siapakah yang akan menyelamatkan kamu tika ini? Sahabat-sahabatmu jauh daripadamu sekarang?” Maka jawab Baginda sallallahu alaihi wasallam dengan tenang: “ ALLAH”.

Apa kesannya? MasyaAllah besar sekali kesan daripada jawapan yang bukan daripada mulut semata tetapi saduran iman yang melangit tinggi bisa mengetarkan jiwa orang yang mendengarnya. Jawapan “ ALLAH” daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam, mengetarkan si Badwi dan dia yang tersangat takut ketika itu tidak menyedari pedang yang dipegangnya sudah terjatuh daripada tangannya. Saat itu Baginda sallallahu alaihi wasallam mengambil pedang tersebut dan mengacukan pula kepada Si Badwi lalu bersabda: “ Nah sekarang siapa pula bisa menyelamatkan kamu daripada pedangku ini?” Maka Islamlah Si Badwi pada ketika itu juga kesan kekuatan iman daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Ya Allah ..Aku mengaku mencintai NabiMu, aku mengaku bahawa aku ingin mengikuti jejak langkahnya, namun perkara sebegini aku masih tidak mampu kerana imanku terlalu lemah. Ampunkan dosaku Ya Allah. Jika ini peringkat imanku, engkau tambahkan lagi ianya kedalam sanubariku Ya Tuhanku.

Sejarah para ulama dan solihin dirompak banyak sekali dirakamkan oleh sejarah. Al-Imam Ghazali rahimahullah pernah dirompak , kesannya setelah itu beliau tidak lagi membaca kitab semata, sebaliknya terus menghafal keseluruhan kitab yang dibacanya. Al-Imam Suyuti rahimahullah juga pernah dirompak, namun bilamana si perompak nampak tasbih yang ada di tangannya ,maka terus dilepaskan Sang Imam kerana mereka mengatakan “ Mustahil orang yang memegang tasbih ini seorang yang jahat” . Al-Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah, bukan dirompak tetapi beliau mulanya adalah seorang ketua perompak terkenal ketika tersebut namun hidayah Allah merubah beliau menjadi seorang ulama terkemuka malah digelar Sayyidul Tho’ifah.Al-Imam Ibrahim al-Adham rahimahullah pernah dituduh mencuri di pasar, beliau dipukul kerana pencuri yang mencuri menuduh beliau yang tidak bersalah mencuri. Ketua polis ketika itu datang dan memukul kepala Sang Imam. Setelah menyedari yang dipukulnya adalah Ulama dan Tokoh terkenal, beliau meminta maaf. Apa jawab sang Imam: “ Aku tidak menyalahkanmu yang memukul aku, aku menganggapkan pukulan itu sebenarnya daripada Allah taala yang ingin menegurku. Seolah-olah Allah taala ingin mengatakan kepadaku “ Wahai Ibrahim, kamu masih lagi memerlukan kepada barang dagangan di pasar untuk memenuhkan perutmu sedangkan Aku TuhanMu bisa memberikan kepadamu tanpa perlu kamu ke pasar”.Beliau menganggap pukulan itu sebagai pengajaran buatnya bukannya azab.

Maksudnya semua mengambil ibrah dan pengajaran daripada perkara yang menimpa. Moga Allah taala memasukkan saya dan para sahabat saya di dalam golongan sebegini. Tidak memandang sesuatu bala’ dan ujian dengan pandangan bala’ sebaliknya memandang bala’ dan ujian dengan pandangan Ibrah dan pengajaran buat diri.

Mungkin Allah taala ingin berteka-teki dengan HambaNya..al-Fatihah buat Nenek Saya..al-fatihah

Wallahu a’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...