Rabu, 4 Mei 2011

Pengumuman : Penyertaan Utk Melaksanakan Umrah Bersama Ustaz Mohd Nazrul telah DiTutup


Sekadar Pengumuman kepada sidang pembaca sekalian, buat pengetahuan semua tarikh penyertaan untuk melaksanakan umrah bersama Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir telah ditutup dan penyertaan juga telah mencukupi kuota..Diharap semua dapat mengambil perhatian dan segala kesulitan amat dikesali.. Semoga dikesempatan yang lain akan diadakan lagi pakej sebegini..

Antara aktiviti sampingan yang akan dijalankan adalah :

- Menziarahi kawasan bersejarah di sekitar Madinah dan Mekah
- Menziarahi madrasah dan ulama tempatan di sana
- Eksplorasi ke kawasan bersejarah yang jarang dikunjungi
- Rakaman video di sepanjang perjalanan

Harga anggaran untuk pakej ini adalah USD 1120 iaitu bersamaan LE 6660 (1 USD bersamaan LE 5.94).
Bayaran ini merangkumi :

- Penginapan di Madinah (7 hari 6 malam) dan di Mekah (7 hari 7 malam)
- Tiket penerbangan Cairo-Jeddah-Cairo. Untuk mereka yang berhasrat untuk pulang terus ke Malaysia selepas umrah, kami boleh menguruskan tiket penerbangan anda. Anda akan diminta untuk menambah bayaran, tertakluk kepada harga tiket penerbangan pulang ke Malaysia anda.
- Pengangkutan Jeddah-Madinah-Mekah-Jeddah beserta jaulah
- Makanan 7 hari di Madinah. Untuk di Mekah, kami menyarankan kepada peserta untuk menguruskannya sendiri berdasarkan dua sebab. Pertama, makanan berbuka dan sahur di kawasan Masjidil Haram sendiri sudah terlalu banyak untuk dimakan. Kedua, para peserta tidak perlu terikat dengan masa makan di hotel, malah bebas menyusun masa sendiri dan memberikan tumpuan kepada ibadah terutamanya di waktu malam Ramadhan.
- Mutawwif yang berpengalaman dan berthaqafah luas di dalam ibadah umrah.
- Pengurusan visa umrah

Para peserta juga akan mendapat khidmat dan cenderahati percuma daripada kami iaitu :

- Kursus bimbingan dan panduan umrah sebelum berlepas ke Haramain
- Penerangan dan penceritaan berkenaan sejarah Islam di setiap tempat yang dilawati
- Penerangan cara-cara umrah semasa mengerjakan umrah
- Buku panduan umrah
- Air Zamzam 10 liter
- Beg sandang umrah
- Salinan gambar dan video rakaman sepanjang perjalanan secara percuma

Pembayaran boleh dilakukan dengan mata wang USD atau EGP (lebih digalakkan). Wang pendahuluan hendaklah diberikan semasa mendaftar iaitu sekurang-kurangnya USD 420 atau LE 2500. Manakala bayaran penuh hendaklah diserahkan sebelum atau pada 1 Jun 2011 beserta dengan dokumen yang akan disenaraikan di bawah.

Perhatian, harga yang tertera masih dalam anggaran. Kami akan berusaha mengekalkan harga ini untuk mengelakkan beban kepada para peserta. Kepada mereka yang memilih untuk membayar dalam EGP, jumlah muktamad yang perlu dibayar adalah mengikut kadar nilai mata wang EGP berbanding USD pada 1 Jun 2011.

Dokumen yang perlu diserahkan beserta bayaran penuh adalah :

- Borang umrah yang akan kami sediakan

- Pasport Antarabangsa yang masih sahlaku sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh jangkaan berlepas. Juga visa Mesir yang masih sahlaku sekurang-kurangnya 2 minggu dari tarikh jangkaan pulang dari umrah (khususnya bagi mereka yang ingin pulang semula ke Mesir selepas tamat umrah)

- 3 keping gambar berukuran besar sedikit daripada saiz gambar passport. Background putih, muka memenuhi 75% gambar dan bertudung gelap (bagi wanita)

Setiap mereka yang berminat dan sebarang pertanyaan, hendaklah menghubungi saudara Mohd Azrul Azuan di talian +2011 1053999 dan mendaftarkan nama anda dengan segera. Umrah ini terbuka kepada lelaki dan wanita, namun tempat adalah terhad.

Sekian dimaklumkan.
Sumber : Akhuna Azrul Azuan ( Klik Di Sini )

Ahad, 17 April 2011

Layakkah Diriku Bergelar al-Azhari ? & Majlis Ilmu Di Maktab Tuanku Bainun


Rasa segan dan sangat tidak layak untuk digelar al-Azhari..Namun saya terima sangka baik daripada sahabat sahabiah sekalian sebagai satu doa yang tulus buat saya...Amin Ya Rabbal A'lamin..

Teringat kisah al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu. Satu hari ketika beliau sedang berjalan, tiba-tiba ternampak oleh beliau seorang kanak-kanak sedang berjalan dengan memakai kasut kayu. Beliau seraya menegur budak tersebut dengan mengatakan :

" Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti "

Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya. Budak itu tiba-tiba bertanya :
"Wahai Tuan, siapakah nama tuan?"

Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab : 
"Namaku Nu'man "

"Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A'dzam ( Imam Yang Sangat Hebat) itu?"budak itu bertanya kembali kepada al-Imam Abu Hanifah.

al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab : 

"Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku meletakkannya"

Budak itu lalu menjawab :
"Wahai Imam, janganlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia semata-mata.. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah taala lantaran angkuh dan berbangga-bangga"

Menangis al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut.
Allahu Allah..Moga saya juga dapat mengambil akhlak dan peribadi al-Imam Abu Hanifah al-Imam al-A'dzam ini...

Terima Kasih atas baik sangka kalian kepada saya..

Sabtu, 16 April 2011

Catatan Di Hari Lahir Mohd Nazrul

Hari ini merupakan hari lahir saya yang pertama setelah bergelar suami. Alhamdulillah diberikan peluang oleh Allah taala untuk terus hidup dan menyampaikan dakwah dengan baik. Juga bersyukur dapat bersama mengharungi hidup dengan isteri tercinta , Ummi Kalsum binti Ramlee, seorang isteri yang cukup tabah bagi saya. Semoga ketabahannya akan dibalas syurga oleh Allah taala kelak. Ummilah hadiah terbesar buat abang.

Terima kasih kepada ayah dan bonda yang bersusah-payah membesarkan anakanda. Kalian berdua adalah kunci pintu syurga anakanda kelak. Ampunilah anakanda di atas segala kesilapan yang pernah anakanda lakukan pada ayah dan bonda.

Mampukah saya menjadi seorang anak seperti Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu yang seringkali dibanggai oleh ibunya. Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu seringkali mengucapkan salam pada ibunya dengan lafaz :


Allahu Akbar, saya sering tertanya-tanya sendiri, adakah ayah dan ibu saya gembira dan berbangga dengan saya sekarang? Ya , saya tidak punya apa-apa. Tidak punya sijil pengajian lagi, masih bertatih dalam pengajian. Cuma sekeping hati yang terlalu cintakan agamaNya sahajalah yang menjadi hadiah buat mereka berdua.

CERITA AL-IMAM HAIWAH BIN SYURAIH

Saya memang tidak akan dapat menjadi anak sehebat al-Imam Haiwah bin Syuraih rahimahullah ( wafat 159 H), seorang ulama hadis yang sangat agung dan dimaqamkan di Mesir. Majlisnya dihadiri ribuan murid yang menuntut tinggalan agung Baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun ketinggian budinya dengan ibunyalah yang menyebabkan beliau disebut-sebut di dalam sejarah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama besar ini :

“ Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukku”

Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut?

Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut. MasyaAllah. Tidak hairan namamu disebut-sebut sehingga sekarang.

Tahukah kalian berapakah pendapatan Sang Imam ini berkat mentaati ibunya? Pendapatannya sebulan adalah sebanyak 60 dinar bersamaan RM 687 × 60 = RM 41220.

Namun, kesemuanya akan disedekahkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan. Kesemuanya disedekahkan tanpa tinggal walau satu dirham sekalipun. Tetapi, setelah pulang ke rumah, jika Sang Imam menyelak hamparan tidurnya maka 60 dinar itu kembali ada kepadanya. Digantikan oleh Allah taala berkat ketaatannya kepada Allah dan kebaikannya kepada ibunya.

Pernah sekali beliau dilihat di dalam keadaan yang sangat dhoif. Tiada makanan yang mampu untuk beliau beli kerana ketiadaan wang. Maka seorang lelaki mengatakan kepada beliau :

“ Wahai Imam, mengapa engkau tidak berdoa kepada Allah taala semoga diberikan rezeki kepadamu?”

Beliau terus mengambil segenggam pasir ditangannya lalu melemparkannya ke arah lelaki tersebut. Pasir itu bertaburan dan yang kekal di tangannya telah bertukar menjadi emas.  Lalu beliau berkata kepada lelaki itu:

“  Kamu nak lagi suruh aku berdoa kepada Allah taala setelah melihat perkara sebegini boleh berlaku?”

Maksudnya, Sang Imam ingin mengajar kepada lelaki tersebut agar jangan memandang kefakiran tersebut sebagai bala Allah taala kepadanya. Sedangkan kefakiran tersebut adalah cara untuk Sang Imam lebih berharap dan mengingati Allah taala.

Bagaimana Sang Imam boleh mendapatkan nikmat dan kelebihan sedemikian rupa? Tidak lain hanyalah kerana ketaatannya kepada Allah dan Rasul serta kebaikkannya kepada Ibu dan Bapa beliau.

Semoga saya mampu menjadi seperti para ulama tersebut. Mentaati ibu bapa tanpa berbelah bahagi. Umur semakin meningkat maksudnya perjalanan kita menuju Allah taala semakin hampir. Semakin umur meningkat, semakin hampir kita merendah ke dalam bumi.

Amal yang ada sudah tentu tidak mencukupi untuk membeli syurgaMu Ya Allah. Hanya cinta kepadaMu dan Baginda Rasul sallallahu alaihi wasallam serta ketaatanku kepada kedua ibu bapaku sahajalah yang mungkin melayakkan aku ke sana. Amin Ya Rabb..

P/S: Terima kasih kepada semua sahabat yang sering mendoakan saya dan isteri serta keluarga. Semoga kita semua dapat bersama di dalam syurga Allah taala kelak di dalam Majlis Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Tidak dilupakan kepada adik-adik abang yang tercinta Naddia, Naqiyah, Naufal, Nuqman dan Natrah. Semoga kalian semua dapat sentiasa menggembirakan ibu dan ayah. Gembirakan mereka dengan akhlak dan peribadi yang soleh dan solehah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Mak dan Ayah Di Pedu,
Jam 2:34 Pagi ( 17 April 2011)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...