Sabtu, 30 Mei 2009

Bacalah, Fahami dan Tadabburkan...



Allah… Sudah beberapa hari saya tidak menulis..Peperiksaan benar-benar menguji kesabaran dan tumpuan saya. Peperiksaan jugalah menyebabkan sudah beberapa hari saya tidak dapat menghadirkan diri ke kelas pada waktu pagi bersama Syeikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah.

Tetapi, adakah peperiksaan ini benar-benar mengganggu atau keyakinan saya yang kurang? Peperiksaan tetap akan berlaku. Persediaan dan tumpuan kita yang akan menentukan sama ada kita akan bergembira menanti hari peperiksaan atau sebaliknya kita akan berasa resah gelisah dan sentiasa menghitung-hitung bilakah akan berakhirnya waktu yang penuh dengan azab ini.

Bila saya fikir-fikirkan semula dengan lebih mendalam, hal ini samalah keadaannya bilamana kita akan menghadapi hari yang lebih mencabar pada masa akan datang..hari yang akan menentukan sama ada kita akan berada bersama para anbiya’ dan orang-orang yang soleh, atau kita akan merasai barang sebentar azab bersama golongan yang dimurkai oleh Tuhan pemilik hari tersebut. Hari yang mana telah disebutkan oleh Allah taala di dalam al-Quran di dalam surah al-Infithar ayat 19:

يَوْمَ لَا تَمْلِكُ نَفْسٌ لِنَفْسٍ شَيْئًا وَالْأَمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ

Maksudnya:Hari itu ialah hari yang yang seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah taala sahaja.
Bagi golongan manusia yang tidak bersedia untuk menghadapi kedatangan hari ini, maka mereka akan berasa resah dan gelisah.Sebaliknya jika seseorang itu bersedia, maka sudah tentu dia akan merasa lapang dan tenang menghadapinya. Ketenangan bukanlah bermaksud tidak langsung meletakkan di dalam hati pengharapan kepada Allah taala. Malah pengharapan dan takut kepada Allah taala diletakkan di tangga pertama di dalam hidup sebelum yang lain.

MAQAM TAWAKKAL

Hamba Allah yang sebenar ialah seorang hamba yang meletakkan sepenuhnya kepada Allah taala. Ini dinamakan maqam tawakkal. Tawakkal berbeza dengan tawakul.Kata guru kita yang mulia, Syeikh Yusri Rusydi hafizahullah: Tawakkal ialah berusaha tanpa memikirkan apa kerja dan perancangan yang Allah letakkan kepada kita.Manakala Tawakul ialah meninggalkan sesuatu perkara tanpa usaha terlebih dahulu. Tawakkal adalah perkara terpuji manakala Tawakul adalah dikeji.

Ini kerana segala yang diletakkan oleh Allah kepada kita hakikatnya adalah kebaikan untuk kita. Walau perkara yang kita lihat di depan mata kita adalah perkara yang kita rasakan terlalu menyusahkan kepada kita. Jika kita berfikir dengan maqam dan kedudukan tawakkal maka kita akan menyerahkan kepadaNya kerana Dialah pemilik dan pemberi perkara tersebut. Kalau kita berpegang dengan fahaman sebegini maka kita tentu tidak akan menyalahkan Allah taala jika memberikan perkara yang sebaliknya kita harapkan kepadaNya. Kerjaan memberi bukanlah tugas kita, itu tugas Tuhan. Kenapa perlu kita menyibukkan diri dengan memikirkan apakah yang Allah akan berikan kepada kita? Sebaiknya menyerahkan kepadaNya tanpa meninggalkan usaha yang bersungguh-sungguh.

Ada orang melihat dosa sebagai sesuatu yang jijik.Hakikatnya, dosa juga punya sebab kenapa Allah menjadikannya. Jika sesuatu dosa itu boleh menyebabkan seseorang itu bertaubat dan lebih hampir kepadaNya , maka dosa yang pada mulanya dipandang jijik akan menjadi mulia.
Begitu juga dengan perkara kebaikan, terkadang kebaikan juga boleh menjadi keji dan jijik jika disulami dengan riya’, sum’ah, takabbur dan pelbagai sifat mazmumah. Hakikat luarannya cantik sekali, bila diselami, masyaAllah ..jauh daripada hakikatnya yang sebenar.

Bukanlah saya bermaksud untuk menyuruh orang melakukan dosa dan meninggalkan kebaikkan. Tidak sama sekali. Tujuan saya adalah untuk menyedarkan diri saya dan sidang pembaca agar tidak cepat menghukum dengan mata kasar kita terhadap seseorang yang berdosa dan pernah melakukan sesuatu dosa.Mungkin dosa itu akan menjadi jambatan untuknya menuju Redha Allah taala dengan syarat dia bertaubat dengan taubat nasuha. Perkara ini tidaklah menafikan amar makruf dan nahi mungkar.

TAFAKKUR DAN TADABBUR

Semalam saya bertemu dengan sahabat merangkap guru saya,al-Fadhil Ustaz Fakhrulrazi (penuntut Master di Jordan). Perbincangan dan perkongsian bersama beliau elok sekali dikongsi bersama semua. Beliau banyak menekankan berkenaan hakikat sebenar kita hidup di bumi Allah taala sebelum bertemu denganNya. Amat benarlah firmanNya di dalam surah alBaqarah ayat 269:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya:Dan Allah memberikan ilmu kebijaksanaan (ilmu yang berguna)kepada sesiapa yang dikehendakinya(menurut aturan yang ditentukanNya).Dan sesiapa yang diberikan hikmah ini maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikkan yang banyak.Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran(dan peringatan) melainkan orang-orang yang diberikan akal fikiran.

Beliau menyebutkan bahawa segala kerja buat kita di muka bumi ini tidak lain hanyalah semata-mata untuk Makrifatullah. Bagi mencapai makrifatullah , dua elemen penting perlu untuk digerakkan iaitu tafakkur dan tadabbur.

Apakah kaitan antara Tafakkur dan Tadabbur ini? Saya melihat di dalam Tafsir Syeikh Sya’rawi rahimahullah berkenaan dengan tafakkur dan tadabbur ini. Menurut Syeikh Sya’rawi rahimahullah, tafakkur ialah kita menggunakan akal pemikiran untuk memikirkan tentang kebenaran sesuatu perkara. Manakala tadabbur pula ialah hasil daripada pemikiran tersebut maka kita melanjutkan dengan memikirkan akibat jika kita tidak mengamalkan perkara yang ditafakkurkan.Kesimpulannya tafakkur ialah peringkat pertama, dan tadabbur ialah peringkat kedua.

Apakah perkara yang sepatutnya ditafakkurkan dan ditadabburkan?

Al-Fadhil Ustaz Fahkrulrazi menukilkan pemikiran Syeikh Ratib Nablusi hafizahullah berkenaan apakah tanda-tanda kebesaran Allah yang boleh ditafakkurkan dan ditadabburkan. Kata beliau, terdapat tiga perkara yang menjadi tanda-tanda kebesaran Allah taala.

1. Kauniyah (Alam penciptaan Milik Allah)
2. Takwiniyah ( Gerak kerja dan Perbuatan Allah kepada kauniyah)
3. Quraniyyah (Kalamullah)

Antara contoh kauniyah ialah bukit-bukau,gunung-ganang, lautan, manusia dan sebagainya. Manakala Takwiniyah ialah bantuan Allah pada Sahabat pejuang di Ghazzah, gagalnya ekonomi riba’ di barat, gagal dan berjaya di dalam kehidupan dan sebagainya. Manakala Quraniyyah pula adalah kalam Allah yang sering kita baca pagi dan petang.

Bila dilihat pembahagian ini, maka manusia juga boleh kita bahagikan dengan pembahagian sebegini. Ada yang melihat dengan kauniyah maka terus pasak di dalam hatinya keimanan yang jitu kepada Pemilik Alam tersebut. Ada yang melihat dengan takwiniyah, dan ada yang melihat dengan Quraniyyah. Peringkat Quraniyyah inilah yang tertinggi.

Tidak salah jika saya menambah, ada yang mampu menggabungkan ketiga-tiga bagi menguatkan lagi imannya. Sepertimana Saidina Ibrahim alaihissalam yang menggabungkan ketiga-tiganya bilamana meminta untuk diperlihatkan bagaimana Allah taala yang Maha Perkasa menghidupkan makhluk yang telah mati. Permintaan tersebut bukanlah kerana tidak meyakini akan kebesaran Allah taala. Tetapi sekadar menguatkan keyakinan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah taala. Allah taala merakamkan kisah ini di dalam surah al-Baqarah ayat 260:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:dan (Ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu)dengan berkata : Wahai tuhanku,Perlihatkanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati.Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu?)Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan(Aku percaya dan yakin)akan tetapi aku memohon yang demikian ialah supaya tenteram hatiku (yang sangat-sangat ingin menyaksikannya).Firman Allah taala: ambillah empat ekor burung kemudian kumpulkanlah olehmu(dan cincanglah semuanya).Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya.Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera.Dan ketahuilah Sesungguhnya Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Apakah kaitannya dengan kehidupan kita? Ya, tentu sekali ianya punya kaitan rapat dengan kehidupan seharian kita. Kita beriman bahawa Allah taala tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia bukan? Kita beriman bahawa kerja tuhan tidak perlu kita campur kerana itu bukan tugas kita. Kita beriman dan beriman dengan segalanya yang kita dapatkan di muka bumi ini adalah daripada Allah yang Maha Esa.

Kita sering mengatakan bahawa kita adalah orang-orang yang beriman dengan perkara ini. Tetapi hakikat yang berlaku ,bila kita ditimpa masalah,dibenci,dimarahi,dimusuhi dan sebagainya maka kita tanpa sedar mengeluh dan rasa gundah-gulana. Mana iman yang kita letakkan sebelum ini? Kenapa kita tidak merasakan bahawa segalanya adalah daripada Allah taala untuk mengetuk pintu hati kita seolah-olah mengatakan “ Wahai Hambaku, ujian yang Aku timpakan kepada kamu bukanlah untuk merendahkanmu, sebaliknya ingin meninggikanmu. Jika engkau sabar dan berlari semula ke arahku, Aku juga akan menyambut kedatanganmu kepadaku dan memberikan ganjaran yang lebih baik daripada apa yang engkau sangkakan”.

Bagi yang mendapatkan kejayaan pula, terkadang tidak sedar bahawa kejayaan yang diperolehinya daripada Allah taala. Seolah-olah merasakan bahawa kejayaan itu diciptakan oleh dirinya dengan usahanya semata-mata. Maka ketika ini, jelas bukan Allah tuhannya,sebaliknya dia sendiri tanpa sedar seolah-olah mengaku sebagai tuhan. Nau’zubillah.
Perlu kita letakkan di dalam benak sanubari kita, bila diuji, maka sebelum ini para Anbiya’ lebih berat ujiannya daripada kita. Bila kita perolehi kejayaan, maka perlu kita sedari bahawa kejayaan hakiki adalah bila dapat bersama dengan Allah taala kelak. Dunia hanya sementara.Bukan selamanya kita akan berada di sini.

Inilah maksud tafakkur dan tadabbur yang ingin saya terangkan. Bila dirundung masalah, cepat-cepat kita tafakkur dan tadabbur apakah hikmah disebaliknya, mungkin Allah taala ingin berteka-teki dengan kita agaknya(meminjam kalam Ustaz Fakhrulrazi).Cepat-cepat kita adukan kepada pemilik masalah tersebut. Kerana Dialah satu-satunya yang akan menyelesaikannya.

Benarlah kata-kata Saidina Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari rahimahullah di dalam Hikamnya yang ke-6:

لا يكن تأخر أمد العطاء مع الإلحاح في الدعاء موجبا ليأسك فهو ضمن لك الإجابة فيما يختار لك لا فيما تختار لنفسك و في وقت الذي يريد لا في الوقت الذي تريد

Maksudnya: Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu,padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan engkau patah harapan.Sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia kehendaki untukmu,bukan menurut kehendakmu, dan pada waktu yang Dia tentukan bukan pada waktu yang engkau tentukan.

Menuju makrifatullah bukanlah perkara yang mudah.Terkadang memerlukan masa yang amat panjang. Terkadang Allah taala memberikan anugerah dapat mencapainya dengan masa yang singkat. Bergantung pada kita yang meyakini perkara tersebut dan bagaimana kita mencarinya.

Saya dan Abang Fakhrulrazi di hadapan Bangunan Masyikhah al-Azhar

Saya ternanti-nanti lagi kalam hikmah daripadamu wahai Saudaraku dan Guruku Ustaz Fakhrulrazi.Moga Allah taala mempertemukan kita lagi..Wallahu a’lam.

Isnin, 25 Mei 2009

Berfikir Dahulu Sebelum Menghukum


Baru-baru ini ana(Ukhti alFaqihah) ada dapat mesej tentang hukum berzina kemudian kahwin..

Tapi ana musykil, betul ke hukumnya memang haram??..ana sertakan sekali mesej yang ana dpt..harap ustaz boleh tolong jelaskan ..syukran..

Sesungguhnya, permasalahan ini berat. Perhatikan soalan 1 - 5.

Perkahwinan seumpama ini pada zaman sekarang, memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung luar nikah, maka cepat- cepat dikahwinkan.

Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila... .

Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama ustaz di sini kerana ianya amat penting:

Soalan 1 : Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?

Jawapan 1 : Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?

Jawapan 2 : Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin?

Jawapan 3 : Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakana ayah kepada bayi yang dikandung itu.

Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?

Jawapan 4 : Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.

Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?

Jawapan 5 : Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah

Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?

Jawapan 6 : Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.

Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?

Jawapan 7 : Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.

Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?

Jawapan 8 : Mereka mesti tinggal berasingan segera Dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.

Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini,apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?

jawapan 9 : Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.

Kesimpulannya: Ibubapa, saudaramara, orang-orang kampung, tuan-tuan Imam, tuan-tuan Kadi dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung azab Dan seksaan samada didunia atau pun diakhirat... .
tamat

Saya Menulis ....

Persoalan sebegini memang sering kali ditanyakan kepada para Ustaz, Tuan Guru dan Alim Ulama. Ini bermakna memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa zaman sekarang adalah zaman yang terlalu banyak fitnah. Terima kasih kepada Saudari alFaqihah yang mengajukan soalan ini kepada saya. Sengaja saya paparkan persoalan tersebut kerana ianya menarik untuk di baca oleh semua. Terima kasih sekali lagi kepada Saudari alFaqihah kerana menyediakan soalan berbentuk begini. Padat dan menarik untuk diperhatikan.

Saya tidaklah ingin memberikan komen berkenaan jawapan Imam tersebut. Cuma saya akan memberikan jawapan yang saya petik daripada kitab-kitab rujukan para ulama sebagai maklum balas kepada jawapan yang diberikan tersebut. Para pembaca akan menilai sendiri jawapannya. Saya memohon kepada Allah taala agar dipermudahkan bagi saya untuk menyusun jawapan yang terbaik buat tatapan semua.

Sepakat para ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah mengatakan bahawa dihalalkan bagi penzina lelaki berkahwin dengan penzina wanita (yang dia berzina dengannya). Ini bermaksud dibenarkan kepada si penzina lelaki untuk berkahwin dengan si penzina wanita walaupun di dalam keadaan wanita tersebut sedang hamil. Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Jumhur ulama.

Titik perselisihan dikalangan para ulama bukanlah pada permasalahan perkahwinan antara penzina lelaki dengan penzina wanita tersebut. Para ulama berselisih pendapat pada perkahwinan yang berlaku di antara penzina wanita dengan lelaki lain yang tidak berzina dengannya.

HUKUM PERKAHWINAN PENZINA WANITA DENGAN LELAKI YANG TIDAK BERZINA DENGANNYA

Kata Imam Hassan al-Basri : Perkara ini memfasakhkan nikah tersebut. Manakala Jumhur para ulama mengatakan bahawa harus bagi lelaki tersebut mengahwini wanita penzina itu.
Titik perselisihan tersebut berlaku berdasarkan pemahaman terhadap penafsiran ayat 3 di dalam surah al-Nur. Allah taala berfirman :

الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
Imam Hassan al-Basri rahimahullah memahami bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa perkahwinan itu akan menjadi terfasakh kerana zahir ayat ini menunjukkan bahawa haram bagi golongan mukmin mengahwini wanita penzina.Manakala Jumhur para ulama pula memahami ayat ini bukanlah bermaksud haram tetapi sebaliknya suatu kejian dan sangat tidak layak bagi seorang mukmin mengahwini wanita penzina. Kejian tersebut bukanlah bermaksud tidak boleh dikahwini.

Menurut Syeikh al-Mufassir Muhammad Ali Shabuni hafizahullah: Para ulama mentakwilkan ayat ini dengan mengatakan bahawa kebiasaannya lelaki dan perempuan penzina tidak akan berkenan untuk mengahwini lelaki yang soleh atau wanita yang solehah. Mereka tentu lebih menggemari lelaki dan wanita yang seumpama dengan mereka.

Jumhur para ulama juga menggunakan dalil yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Majah dan Imam al-Baihaqi daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar dan Saidatina Aisyah radhiyallahu anhuma:

لا يحرم الحرام الحلال

Maksudnya: Perkara yang haram (zina) tidak akan mengharamkan perkara yang halal( nikah).

Hadis ini bermaksud, penzinaan tidaklah menghalang seseorang tersebut berkahwin dengan wanita yang berzina tersebut.

Para ulama berbeza pendapat sekiranya wanita yang ingin dikahwini tersebut mengandung. (Perlu diingat, perbahasan yang kita bahaskan sekarang bukanlah perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita tetapi perkahwinan diantara penzina wanita dan lelaki yang suci daripada zina.).

Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahumullah berpendapat jika wanita tersebut mengandung tetap sah aqad nikah lelaki tersebut dengannya.Tetapi dengan syarat lelaki tersebut tidak menyetubuhinya sehinggalah wanita tersebut melahirkan anak itu.

Manakala Imam Abu Yusuf dan Zufar ( Ulama Hanafiyah) berpendapat mengatakan bahawa diharamkan untuk berkahwin dalam keadaan wanita itu masih mengandung.

Para ulama Malikiyah pula berpendapat mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk mengahwini wanita penzina selagi wanita tersebut tidak suci daripada 3 kali haid.

Para ulama Hanabilah pula berpendapat , jika seoarang wanita berzina maka tidak dihalalkan kepada sesiapa yang mengetahuinya untuk mengahwininya melainkan setelah selesai dua perkara. Pertama, setelah selesai melahirkan kandungan tersebut. Kedua, setelah memastikan bahawa wanita tersebut telah bertaubat.

Manakala permasalahan nasab bagi anak zina, saya telah bahaskan pada masa yang lalu. Bagi sesiapa yang ingin merujuknya maka bolehlah melihat di [klik di sini].

KESIMPULAN

Setelah kita bahaskan dengan ringkas, maka jelaslah bahawa perkahwinan tersebut sah.Tiada masalah padanya. Saya berpandangan mungkin Imam tersebut bercampur permasalahan di antara perkahwinan penzina lelaki dengan penzina wanita dan permasalahan perkahwinan penzina wanita dengan lelaki yang suci. Ini memerlukan pengkajian yang teliti.Islam adalah agama yang mudah dan memberikan rahmat kepada umatnya.Sayugialah bagi seorang alim untuk mengkaji terlebih dahulu sebelum menjawab segala persoalan. Bimbang akan menyusahkan masyarakat. Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr Syria Jilid 9 mukasurat 6648-6650

2. Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Shabuni cetakan Darul Shabuni Jilid 2.

3. Fatawa Darul Ifta’ Misriyah jilid 8

4. Fatawa Syeikh Ali Jum’ah Jilid 1

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir

Sabtu, 23 Mei 2009

Hukum Wanita Haid Membaca al-Quran


Terima kasih kepada yang bertanyakan masalah berkaitan perkara ini. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

عن ابن عمر رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لا تقرأ الحائض و الجنب شيئا من القرآن

Maksudnya: Diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar radhiyallahu anhuma katanya: Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Seorang wanita yang didatangi haid dan seorang yang berada di dalam keadaan junub tidak boleh bagi mereka membaca sedikitpun daripada al-Quran.
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)

Menurut para ulama bermazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali , diharamkan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid membaca al-Quran. Perkara ini juga diharamkan bagi seorang wanita yang bisu yang menggerak-gerakkan bibirnya dengan tujuan membaca al-Quran. Ini adalah seperti yang difatwakan oleh al-Qadhi Hussain rahimahullah di dalam Kitab Fatwanya.

Perkara ini diharamkan jika wanita tersebut berniat bahawa perkara yang dibacakannya tersebut adalah al-Quran. Sebaliknya jika wanita itu tidak berniat sedemikian seperti meniatkan bahawa apa yang dibacanya sebagai zikir, maka hukumnya adalah harus. Contohnya seperti membaca ayat 156 surah al-Baqarah:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Dengan meniatkan bahawa apa yang dibaca tersebut sebagai ucapan ketika ditimpa musibah.Ataupun membaca apa-apa sahaja ayat yang terdapat al-Quran yang mengandungi maksud doa tanpa meniatkan perkara yang dibaca tersebut sebagai al-Quran maka hukumnya adalah harus.

Manakala menurut Mazhab Imam Malik radhiyallahu anhu, diharuskan bagi wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca al-Quran dengan syarat tidak menyentuh al-Quran itu sendiri sama ada dibimbangi jika dia tidak membacanya maka dia akan lupa al-Quran (bagi yang menghafaz al-Quran) ataupun dia memang langsung tidak bimbang akan lupa jika tidak membacanya. Kedua-dua keadaan tersebut diharuskan bagi seorang wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas membaca al-Quran. Ini kerana wanita tersebut tidak mampu mengelakkan diri daripada haid dan tidak mampu menghilangkan haid secara serta-merta.

Di sisi Mazhab Imam Ahmad radhiyallahu anhu juga terdapat satu pendapat yang mengatakan bahawa diharuskan bagi wanita yang didatangi haid dan nifas membaca al-Quran. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah.

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah menukilkan daripada Syarah Shagir oleh al-Imam Dardir rahimahullah dan Syarah al-Khurasyi dengan menyebutkan bahawa Mazhab Imam Malik mengharuskan bagi wanita yang didatangi haid memegang al-Quran jika dia merupakan seorang tenaga pengajar al-Quran dan orang yang sedang belajar al-Quran.

KESIMPULAN

Bagi seorang wanita yang didatangi haid dan dia juga merupakan seorang penghafaz al-Quran bagaimanakah cara terbaik yang perlu dilakukan olehnya bagi mengelakkan hafalannya terganggu?

Perkara yang terbaik ialah mengeluarkan diri daripada khilaf ulama. Kita telah mengetahui bahawa sebahagian ulama membenarkan dan kebanyakkannya mengharamkan wanita yang didatangi haid dan nifas membaca al-Quran di dalam keadaan tersebut. Maka sebaiknya kita elakkan diri daripada membacanya dengan mengeluarkan suara ketika dalam keadaan tersebut.
Para ulama membenarkan wanita yang berada di dalam keadaan haid dan nifas untuk membaca al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidahnya sehingga boleh menyebabkan keluar suara yang mampu didengari oleh dirinya sendiri. Tetapi jika dia mengerakkan lidahnya tanpa mengeluarkan suara dan hanya menyebutnya di dalam hati maka ianya dibenarkan.

Tetapi jika dia tetap tidak mampu melakukan sedemikian dan perkara ini boleh menyebabkan hafalannya akan tetap terganggu maka dibenarkan kepada wanita tersebut mengikut pendapat yang disebutkan di dalam Mazhab Imam Malik rahimahullah.

Benarlah kata-kata Baginda sallallahu alaihi wasallam : Ikhtilaf dikalangan ulama umatku merupakan suatu rahmat.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh Imam Nawawi rahimahullah jilid 2, cetakan Darul A’lam Kutub

2. Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran oleh al-Imam Nawawi rahimahullah cetakan Darul Ibn Hazm

3. Bujairimi a’la Khatib oleh Imam Sulaiman Bujairimi al-Syafie jilid 1 cetakan Maktabah Taufiqiyah.

4. Al-Ihatah oleh Syeikhuna al-Allamah Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki hafizahullah

5. Fathu Bab al-Inayah bi Syarhi Kitab al-Nuqayah oleh Mulla Ali Qari rahimahullah, Tahqiq al-Allamah al-Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah.Cetakan Maktab al-Matbu’ah al-Islamiyah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,
Kaherah Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...