Sabtu, 17 Oktober 2009

"Tunjukkan Jalan Islam Kepadaku".. Peristiwa yang Tidak Akan Saya Lupakan Selamanya

Hari ini merupakan hari yang sangat bahagia buat diri saya. Selesai majlis pengajian bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah, saya bersama Farhi ( Along) pulang bersama-sama. Tujuan kami adalah untuk ke Maktabah Darul Salam di Hayyu Sabiek. Saya perlu terlebih dahulu mengambil wang di HSBC kerana poket sudah kekeringan.

Mengecewakan, kerana mesin HSBC di Stesen Minyak berhampiran dengan Masjid Nuri al-Khattab telah ditutup.Maka kami terpaksa berjalan kaki sejauh 300 meter untuk ke Stesen Minyak berhampiran Darul Salam.

Semasa di dalam perjalanan, tiba-tiba saya ditegur oleh seorang lelaki Arab.Melihat perwatakannya, umurnya mungkin sudah mencapai 50-an. Beliau menegur saya sambil bersalaman.

Terdetik di dalam hati saya, ini selalunya taktik yang Arab gunakan untuk meminta sedekah.Namun saya tersentak kerana perkataan yang keluar daripada mulutnya membuatkan hati saya benar-benar rasa bersalah di atas buruk sangka saya sebentar tadi.

Beliau mengatakan kepada saya, “ Bolehkah kamu tunjukkan kepada saya jalan kepada Islam, Saya sangat-sangat ingin memeluk Islam”. MasyaAllah, inilah kali pertama di dalam hidup saya seorang lelaki yang beragama Kristian datang kepada saya untuk memeluk agama Allah taala.

Azan Asar berkumandang ketika kami sedang berbual. Seretak beliau memberitahu kepada saya “ Demi Allah, Saya tidak mampu mendengar azan ini. Tunjukkanlah kepada saya jalan Islam”

“ Saya ada seorang guru Murabbi yang mampu untuk menerangkan Islam kepada kamu secara lengkap.Guru saya, Syaikhuna Dr Yusri hafizahullah insyaAllah mampu menunjukkan jalan Islam kepada kamu” saya menjawab.

“Kalau begitu, tolonglah bawa saya bertemu dengannya” beliau benar-benar bersungguh untuk memeluk Islam.

Perjalanan untuk ke Masjid Syaikhuna Yusri hafizahullah agak jauh.Lagipun saya punya kerja yang sangat penting untuk dilaksanakan.Maka saya memberikan cadangan kepadanya untuk berjumpa semula selepas solat Isya’.Namun sedetik saya terfikir, haram hukumnya melambat-lambatkan pengIslaman seseorang.Ini kerana, seolah-olah kita redha dengan kekufuran yang ada pada dirinya.

Maka saya terus memberikan cadangan kepadanya untuk beliau masuk terlebih dahulu bersama dengan saya ke dalam Masjid Nuri al-Khattab.Saya masuk bersama beliau dan kami duduk dihujung penjuru Masjid.Beliau bertanya serba sedikit tentang Islam dan saya menerangkan seadanya tentang Islam.Alhamdulillah, akhirnya saya mentalqinkan kalimah Syahadah kepadanya sambil diikuti olehnya.

Hanya Allah taala yang mengetahui betapa sangat gembira hati ini dengan bertambahnya umat Islam di muka bumi Allah taala ini.Saya berpelukan dengan lelaki tua ini.

Namanya Mansur.Beragama Kristian dan berasal daripada Kafr al-Syeikh ( sebuah kampung di kawasan pendalaman). Saya akan terus mengingati peristiwa bersejarah ini. Ya Allah , moga dengan sedikit amal yang aku lakukan ini mampu menjadi amal jariah untukku di akhirat kelak.

Sedikit sangat amal yang aku lakukan jika dibandingkan dengan al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah.Beliau menyebutkan , tangannya itu pernah mengislamkan hampir 20 000 orang Yahudi dan Nasrani. Jika mengingati semula kalam beliau, terasa amat kerdil berbanding para ulama terdahulu. Moga Allah taala memberikan kekuatan Islam kepada Mansur dan meneguhkan imannya serta mampu memberikan kecintaan sepenuhnya kepada Allah taala dan RasulNya.


Doakan moga kita semua terus berada di atas Jalan Kebenaran ini.Amin Ya Rabbal A’lamin.Saya masih terfikir, dimanakah keistimewaan saya sehingga Beliau tertarik untuk memeluk Islam ? Namun segalanya adalah ketentuan Allah taala, Demi Allah ini antara nikmat yang sangat besar buat diri saya dan muslimin umumnya. Ya Rabb.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
Penuntut al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

4 ulasan:

  1. Tahniah Nazrul.. Barakallahu fik.. Khairun laka min mercedes hitam (hehe, ni version zaman sekarang).. Moga sama2 kita dapat sebarkan lagi cahaya Islam ini.

    BalasPadam
  2. hehe.. Syukran ust.. rindu kat Ust nie.. lama tak jumpa ye.. doakan selalu kami kat sini moga dapat istiqamah di atas jalanNya..

    BalasPadam
  3. "Bersegeralah apabila datang peluang untuk beramal" . Beramallah dan jangan menunggu kekosongan waktu dari halangan.Menurut kalam hikmah Ibnu Athailah Askandary yang ke 23, "jangan anda tunggu habis selesai segala halangan,kerana sesungguhnya itu memutuskan anda dari perhatian kepada Allah pada sesuatu masa di mana Dia mendirikan anda pada sesuatu itu"

    Menunggu-nunggu waktu dari kekosongannya dari kesibukkan atau mencari-cari dan menanti waktu yang tenang dalam mengerjakan amal kebajikkan adalah bererti mengosongkan ibadah pada waktu yang sedang dihadapi.

    Sekadar renungan, bagaimana jika orang tua itu meninggal sebelum isya' sedangkan dia telah berniat minta di Islamkan, tapi ustaz yang menangguhkan ...

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah..Syukur sgt2 pd Allah atas anugerah pd akhi Nazrul ni..harap2 ana akan dapat peluang yg sebegini di satu masa nanti..jeles sgt2 laa dgn akhi..Syukri Che Mat.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...