Khamis, 29 Oktober 2009

“ Apakah Yang Akan Kamu Lakukan Jika Diberi Peluang Sebentar Jua Bersama Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam?”

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Layakkah kiranya diri ini berada walau sebentar di hadapan tubuh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia itu?

Adakah Baginda sallallahu alaihi wasallam akan memandang kepada wajah yang penuh dosa dan noda ini?

Pagi ini, hati al-Faqir sebak bilamana melihat satu siaran televisyen Arab melalui internet. Soalan yang ditanyakan oleh jurubicara rancangan tersebut begitu menggugah jiwa. Soalannya mudah dan ringkas namun jawapannya amat sukar diungkapkan. Soalannya :

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Demi Allah, Tuhan Sekalian Alam, al-Faqir benar-benar rindukan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sewaktu menulis perkara ini. Seseorang tidak malu untuk menungkapkan sayang dan rindunya kepada kekasihnya. Tapi mengapa perlu malu untuk kita mengungkapkan rindu dan sayang kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam? Malah Baginda sallallahu alaihi wasallam lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada alam keseluruhannya.

Ya Rasulallah, Demi Allah, al-Faqir benar-benar cemburu dengan para Sahabatmu yang setiap masa dan ketika menatap wajahmu yang mulia disamping memberikan khidmat kepadamu.


Al-Faqir benar-benar cemburu dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu anhuma yang seringkali berada di sampingmu. Berlapar dan dahaga bersamamu, mengikat perut dengan batu bersamamu, bersusah senang bersamamu. Ingin benar al-Faqir menjadi orang yang mula menghunuskan pedang mempertahankanmu bilamana dirimu dipersenda. Ingin sekali al-Faqir membantu puterimu Saidatina Fatimah al-Zahra’ kekasihmu dan kekasih umat seluruhnya membuang kotoran daripada perut kambing yang diletakkan diatas tengkukmu ketika dikau solat di Kaabah al-Musyarrafah.Ingin sekali al-Faqir memancung kepala lelaki cabul Quraisy yang meletakkan kotoran itu di atas badanmu yang mulia.

Ya Rasulallah, Setiap kali membaca kalammu, al-Faqir membayangkan seolah-olah dirimu sedang berbicara dengan diri yang penuh noda ini.Namun , terkadang al-Faqir terfikir, layakkah mulut kotor ini membaca kalammu yang mulia? Layakkah hati kotor ini menyimpan khazanahmu yang mulia?

Al-Faqir tahu, Dikau mengetahui apa yang al-Faqir rintihkan pada hari ini. Kami hari ini tidak mampu untuk masuk ke maqammu dan meletakkan pipi kami yang hina di atas maqammu yang mulia sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Abu Ayyub al-Ansori radhiyallahu anhu dek kerana terlalu rindukan dirimu Ya Habiballah.

Terlalu banyak yang ingin al-Faqir rintihkan dan maklumkan kepadamu Ya Rasulallah.Namun coretan terlalu ringkas dan hati tidak mampu meluahkan semuanya.

Al-Faqir sangat-sangat berharap sebelum mata ini terpejam rapat moga dapat walau sekejap jua dapat menatap wajahmu . Hanya itu sahajalah yang mampu menenangkan jiwa kosong al-faqir ini sebelum dijemput bertemu Rabbul Jalil.

Moga cinta dan sayangku kepadamu Ya Rasulallah , cinta yang berbalas. Janganlah Dikau palingkan wajahmu yang mulia daripada al-Faqir ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir

7 ulasan:

  1. Subhanallah, Maha Suci Allah Yang memiliki kekayaan kasih sayang dan limpahan Rahmat kepada hambaNYA, jika berpeluang berada di Masjid Nabawi, carilah peluang untuk sentiasa ikikaf di Masjid Rasullulah , pasti hati sebab dan hiba kerana terasa kita terlalu hampir dengannya. Pasti air mata akan sentiasa tumpah kerana rindu Rasullulah. JIka berkunjung ke Medan Tempur Uhud, pasti mata terbayang bagaimana Siti Fatimah membakar tikar untuk mengubati pipi ayahandanya yang luka dalam pertempuran itu. Berada di Medan Uhud, mata pasti terbayang bagaimana Rasullulah berjuang mempertahankan agama Kekasihnya.
    Memang sukar untuk kita mengungkap dengan kata-kata betapa hati ini terlalu rindu pada Rasullulah. Semoga kita semua tergolong dalam kumpulan yang bernaung dibawah panji-panji syafaat Nabi Muhammad SAW di Padang Mahsyar nanti.

    BalasPadam
  2. kesalahan ejaan * ikkikaf ~ iktikaf
    * sebab ~ sebak

    BalasPadam
  3. Ya Allah, aku mencintai agama-Mu

    Aku mencintai Rasul yang membawa risalah agama-Mu

    Aku mencintai hamba-Mu yang menyintai Rasul-Mu

    Saksikanlah ya Allah, aku mencintai hamba-Mu ini kerana-Mu..

    Assalamualaikum.. Uhibbuka fillah hubban syadidan ya ustaz.. Semoga Allah menggolongkan kita dalam salah satu golongan hamba-Nya yang memperoleh naungan Allah, di hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya..

    BalasPadam
  4. Waalaikumussalam Ust Ahmad Kamil.. Moga kita termasuk dikalangan hambaNya yang cinta keranaNya..

    Doakan hamba yang dhoif ini selalu semoga diteguhkan iman dan taqwa..

    BalasPadam
  5. Ya Allah anugerahkan kepada kami cinta kepada RasulMu dan Ahlul baitnya

    BalasPadam
  6. assalamualaikum ya ustaz

    Ana baru dapat tahu, tuan nak datang mansurah esok insyaAllah (hari ni jumaat 20/11/09)

    Alhamdulillah. Ana teringin sangat jumpa ust. Mudah-mudahan Allah temukan kita besok insyaAllah.. :)

    Assalamualaikum wrt.. :)

    BalasPadam
  7. subhanallah! tawadhuknya ustaz ni...Allahu akbar!!
    kalo ustaz yg tinggi ilmunya tp sgguh merendah diri ini sudah mdrasakan btapa tak lyknya nk brjmpa habibullah itu..betapalah aku ni yg jahil dan pendosa tegar ini nk jmpa kekasih Allah tu. tp kalo dgn rahmat Allah dpt brjmpa gak dgn sayidul mursalin..bg pndosa ini itulah puncak kebahagiaan yg sebenar dan tidak boleh ditukar dgn dunia dan seisinya.
    kalo la Rasulullah sollalahu alaihi wassalam ibarat menaiki krtapi klas prtama, para sahabat r.hum klas kedua, para tabi'en klas ketiga menuju syurga..aku yg byk dosa ni dpt jd skru kt gerabak paling blkang pun jadilah. dpt jugak smpai kt syurga wpun lmbt.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.