Beliau menjawab persoalan yang diajukan oleh seseorang berkenaan sejauh mana kebenaran dakwaan golongan Salafi Wahabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu Hassan Ash’ari rahimahullah sebenarnya telah kembali semula kepada pemahaman aqidah seperti yang dipegang oleh golongan Hanabilah Mujassamah (seperti mana yang dipegang oleh Salafi Wahabi sekarang) sebelum beliau wafat. Malah mereka juga mengatakan bahawa al-Imam bermimpi sekali lagi bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam setelah beliau kembali kepada pemahaman aqidah Hanabilah Mujassamah tersebut dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memuji tindakan beliau dan mengatakan bahawa jalan yang dipilih sekarang adalah benar.
Jawapan Syeikh Nuh Ha Mim Keller ringkas dan padat. Saya akan cuba memberikan isi penting jawapan yang diberikan oleh Fadhilatul Syeikh buat tatapan umum.
Menurut Fadhilatul Syeikh Nuh Ha Mim , dakwaan al-Imam Ash’ari rahimahullah ( wafat 324 H/936 M) kembali kepada pegangan asal Hanabilah Mujassamah sebelum wafat bukanlah satu dakwaan yang baru dicipta pada zaman sekarang. Sebaliknya perkara ini telah dilakukan oleh golongan Hanbali Mujassim sejak dahulu lagi.Al-Imam al-Hafiz Abi al-Qasim Ali Ibn Asakir (wafat 571H) telah mengkaji secara terperinci sejauh mana kebenaran tersebut berdasarkan ilmu sanad (chains of narrators) yang direka oleh golongan tersebut.Hasil kajian yang dilakukan oleh al-Imam al-Hafidz Ibn Asakir rahimahullah jelas menunjukkan bahawa segala dakwaan dan sanad yang dibawa dan dijadikan hujjah oleh golongan Hanbali Mujassim tersebut (yang mendakwa bahawa al-Imam Ash’ari kembali semula kepada Mazhab mereka)ternyata satu penipuan dan dongengan semata-mata.Perkara ini dijelaskan secara terperinci di dalam kitab beliau yang bertajuk Tabyin Kazbi al-Muftari Fima Nusiba ila al-Imam Abu Hassan al-Ash’ari.Kitab ini ada terdapat di pasaran dan kepada sesiapa yang ingin membuat kajian dengan lebih lanjut maka bolehlah merujuk kepada kitab ini.
Kita juga sering mendengar golongan Salafi Wahabi ini mengatakan bahawa sebelum al-Imam Ash’ari rahimahullah wafat beliau ada menulis kitab al-Ibanah an Usuli al-Diyanah.Golongan salafi mendakwa bahawa tulisan ini menjelaskan secara langsung bahawa Imam Ash’ari benar-benar mengikuti manhaj pemikiran yang mereka inginkan.Adakah benar pernyataan ini?
Al-Imam Zahid Kawthari rahimahullah (wafat 1371 H) menjawab persoalan ini dengan mengatakan bahawa :
“Kitab Ibanah adalah merupakan antara penulisan pertama al-Imam Ash’ari rahimahullah setelah keluar daripada Mazhab Muktazilah.Penulisan kitab ini juga bertujuan memberikan kesedaran dan menerangkan kebenaran kepada Barbahari (salah seorang yang berfahaman Hanbali Mujassim wafat pada 328 H)berkenaan aqidah Ahlussunnah wal Jamaah.Sesiapa yang mengatakan bahawa kitab ini adalah kitab yang terakhir maka sebenarnya telah melakukan kesilapan.Lebih-lebih lagi setelah berlakunya perubahan demi perubahan daripada kitab asal Ibanah yang dilakukan oleh para pengikut Barbahari terutamanya setelah berlakunya fitnah aqidah di Baghdad pada ketika itu.Para ulama Syafie’ dijatuhkan dan golongan Hanabilah Mujassamah berkuasa dan menjadikan aqidah mereka sebagai pegangan ketika tersebut.(perkara ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Asakir di dalam kitabnya al-Kamal fi al-Tarikh jilid 7 :114)Oleh kerana itulah berlakunya banyak perubahan dan pengkhianatan terhadap kitab al-Imam Ash’ari (Sayf al-Saqil mukasurat 108)."
Hujjah mimpi yang digunakan oleh golongan Salafi Wahabi untuk membenarkan percakapan mereka adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.Ini kerana para ulama bersepakat mengatakan mimpi orang biasa selain para Nabi dan Rasul tidaklah boleh menjadi hujjah.Al-Imam Zahid Kawthari rahimahullah menyebutkan:
“Golongan Mujassimah ini yang mereka-reka cerita mimpi tersebut.Mereka tidak dapat membuktikan dengan mencari hujah secara nyata maka mereka pun tidur dan setelah terjaga maka mereka pun mengatakan bahawa sebenarnya Imam Ash’ari bermimpi bertemu Rasulullah dan memuji mazhabnya yang baru(yang didakwa oleh golongan Wahabi).Ini semua dilakukan semata-mata untuk memenuhkan isi kitab mereka dengan hujah-hujah dangkal mereka”
Pelik kan? Golongan wahabi sering mengatakan bahawa ahlussunnah wal-Jamaah Asha’irah dan Maturidiyyah menerima hujah berdasarkan mimpi.Sedangkan hakikat yang berlaku sekarang sudah jelas.Siapa sebenarnya yang suka mereka-reka cerita dan melakukan pembohongan kepada umat Islam lainnya?.Melakukan penyelewengan sejarah dan ilmu adalah kerja-kerja mereka sejak dahulu.Pemuka-pemuka mereka telah wujud sejak sebelum Ibn Taimiyah rahimahullah dilahirkan lagi.
Saya akan menerangkan tentang kitab Ibanah dan menyenaraikan serba sedikit penyelewengan golongan ini terhadap Nas asal kitab Ibanah yang ditulis oleh al-Imam Ash’ari rahimahullah pada tulisan yang akan datang.Doakan moga Allah taala memberikan kelapangan waktu dan kesempatan masa untuk menulis.
Sudah jelas lagi bersuluh golongan Salafi Wahabi ini sebenarnya sejak dahulu lagi seperti cacing kepanasan.Bila hujah tidak dapat dijawab dengan baik dan jelas maka mereka akan menghina dan mencaci maki para ulama yang menolak mereka serta menghina peribadi para ulama tersebut.Inikah sikap kita sebagai seorang pengkaji(konon-kononnya)?
Antara hujah dangkal mereka bagi menolak hujah yang diberikan oleh Syeikh al-Allamah Zaini Dahlan rahimahullah ialah dengan mengatakan bahawa sebenarnya Syeikh Zaini Dahlan suka menghisap rokok. Di sebabkan Syeikh Muhammad Abd Wahab mengharamkan rokok maka Syeikh Zaini Dahlan menulis kitab bagi menolak golongan Wahabi.
Beginikah hujah ilmiyah yang mereka canangkan? Inilah yang kita katakan, sudah bodoh sombong pula.Kebenaran sudah didepan mata, tapi kita hairan golongan ini suka mencari publisiti murahan dengan mengikuti golongan-golongan pinggiran yang tinggi di mata mereka.Moga Allah memberikan rahmat dan hidayah pada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mohd Nazrul Abd Nasir ,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir.
Salam.. saya juga ada membaca perkara yg sama. Kononnya Imam Abu Hasan Al-Ash'ari mengalami 3 peringkat kehidupannya. Peringkat pertama ketika berada dalam mazhab muktazilah. Peringkat kedua, mazhab Ashairah dan peringkat ketiga kononnya kembali kepada mazhab salaf (sebagaimana yg difahami wahabi sekarang).
BalasPadamSaya membacanya dalam kitab Ahlu Sunnah Al-Ashairah. Kitab ini ditaqriz oleh 10 ulama tersohor dunia antaranya Dr. Ali Jum'ah, Dr. Ramadan Al-Buti, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Habib Ali Al-Jifri, Syeikh Abd Fatah Bizm dll..
Teruskan usaha ustaz membanteras penipuan dan penyelewengan golongan ini.
-anakmurid-