Salam ustaz,saya ingin bertanya tentang uslub(cara) sebenar yang dimaksudkan dengan dakwah dengan cara berhikmah ketika kita melihat sesuatu kemungkaran di hadapan mata kita.Adakah berdiam diri dan tidak menegur demi menjaga hati dan perasaan golongan yang melakukan kemungkaran tersebut dikira sebagai tindakan berhikmah?Mohon penjelasan daripada ustaz.Terima Kasih.
JAWAPAN
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini,sebaiknya kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan dakwah yang berhikmah dan apa yang dimaksudkan dengan mengubah @ menghalang kemungkaran.
Hikmah di dalam berdakwah ialah seperti yang telah difirmankan oleh Allah taala di dalam surah al-Nahl ayat 125:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad)dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
Menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi radhiyallahu anhu di dalam Tafsirnya: Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat yang sesuai dengannya.Mengapa perlu bagi kita untuk berhikmah ketika berdakwah?Ini kerana seruan untuk mengikut manhaj Allah taala tidak lain adalah untuk memberikan peringatan kepada orang yang jauh daripada manhaj tersebut. Golongan yang jauh daripada manhaj Allah taala selalunya kamu akan mendapati mereka gemarkan maksiat maka perlu kepada cara yang terbaik untuk kita menegurnya.Ini bagi mengelakkan mereka lari daripada seruan yang kita bawa.( Tafsir Sya’rawi Jilid 13 mukasurat 571)
Manakala mencegah kemungkaran ialah seperti yang disebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim radhiyallahu anhu:
عن أبي سعيد الخدريّ رضى الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول: من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده, فإن لم يستطع فبلسانه , فإن لم يستطع فبقلبه و ذلك أضعف الإيمان
Al-Imam Manawi rahimahullah menerangkan di dalam kitab Faidhul Qadir(saya cuma meringkaskan penerangannya) bahawa yang dimaksudkan dengan tangan ialah kuasanya,manakala lisan pula ialah dengan cara mengingatkannya dengan hukum Allah taala terhadap perkara tersebut, manakala dengan hati ialah dengan cara membencinya dan meletakkan azam di dalam hati bahawa jika dia mampu melakukan dengan kuasa dan teguran maka dia akan lakukan cuma ketika tersebut dia tidak mampu.( Faidhul Qadir jilid 6 mukasurat 169).
Perlu kita fahami dengan jelas, apa yang saya ingin terangkan di sini ialah kaitan antara kedua-dua perkara tersebut iaitu dakwah dengan cara berhikmah dan mencegah kemungkaran di depan mata. Persoalannya,adakah bilamana kita berusaha mencegah kemungkaran tersebut maka ianya dikira tidak berhikmah?
Permasalahannya sekarang, ramai yang terkeliru dan tersilap membuat penilaian terhadap hikmah yang dimaksudkan. Ayat 125 di dalam surah al-Nahl tersebut menerangkan cara bagaimana kita menyeru kepada dakwah untuk mengikut manhaj Allah taala.Manakala hadis baginda sallallahu alaihi wasallam pula menerangkan kepada kita bagaimana sikap kita bilamana berhadapan dengan perkara maksiat. Saya tidak menafikan bahawa terdapat kesepaduan di antara kedua-dua perkara tersebut. Maksudnya jika kita ingin menegur juga maka ianya memerlukan cara yang terbaik. Tetapi, bagaimanakah cara terbaik yang akan kita gunakan?
Adakah berdiam diri dengan tidak menegur atau tidak menunjukkan sebarang reaksi bahawa kita tidak redha dengan maksiat yang dilakukan dihadapan mata kita ,maka ianya dikira sebagai berhikmah?
Islam tidak mengajar kita agar berdiam diri demi menjaga perasaan orang yang melakukan kemungkaran di hadapan kita. Sebaliknya berdiam diri yang disebutkan di dalam hadis tersebut ialah jika terdapat mudharat terhadap diri kita jika kita menegurnya bukan untuk menjaga perasaan orang tersebut.
Syeikh Muhammad Izzuddin al-Bayanuni menyebutkan bahawa sebahagian Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam menyebutkan jika seseorang tersebut melihat kemungkaran di hadapannya tetapi dia tidak mampu menegurnya maka sebutkanlah di dalam hatinya sebanyak 3 kali :
اللهم إن هذا منكر
Perlu diingat, Syarak perlulah di dahulukan berbanding perasaan manusia.Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :
Maksudnya: Sesiapa yang mencari redha Allah taala dengan melakukan perkara yang dibenci manusia maka Allah akan mencukupkannya daripada memerlukan bantuan daripada manusia,manakala sesiapa yang mencari redha manusia dengan melakukan perkara yang dibenci Allah maka Allah akan menyerahkan segala urusannya kepada manusia.
Hikmah yang sebenar ialah dengan cara kita mengejar redha Allah taala bukannya redha manusia.Para ulama menyebutkan:
إن الرضا بالمعصية معصية و إن الرضا بالكفر كفر
Benarlah firman Allah taala di dalam surah Ali Imran ,ketika memuji golongan yang melakukan amar makruf nahi mungkar :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104)
Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru(berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh melakukan kebaikan serta menghalang kemungkaran ,dan mereka yang bersifat sedemikian adalah orang-orang yang berjaya.
Semoga semua dapat mengambil perhatian dan memahaminya dengan baik.Wallallahu a’lam.
1. الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر للشيخ محمد عز الدين البيانوني
2. رياض الصالحين للإمام النووي
3. فيض القدير شرح الجامع الصغير للعلامة محمد عبد الرؤوف المَناوى jilid 6
4. الفتاوي للشيخ عطية صقر jilid 2
5. تفسير للشيخ محمد متولي الشعراويjilid 3
Mohd Nazrul Abd Nasir ,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir,
salam ustaz,
BalasPadamhadith apakah yg menuruh kita sampaikan walau sepotong ayat. harap ustaz dpt jelaskan ... terima kasih
SALAM..hadisnya: Ballighu anni walau aayah..wa haddisu an bani israel wala haraj
BalasPadam