Khamis, 2 April 2009

SOALAN : APAKAH HUKUM BEKERJA DI PASARAYA YANG TERDAPAT PENJUALAN ARAK DI DALAMNYA?


JAWAPAN: Terima kasih kepada Saudara Mokhlis kerana bertanyakan soalan ini kepada saya. Secara umumnya kita mengetahui bahawa jual beli arak adalah haram di dalam Islam.

Saya tidak mahu membincangkan tentang penjualan arak kerana ianya sudah jelas di sisi Islam. Cuma yang menjadi kemusykilannya, bagaimana pula hukum orang yang bekerja di sesebuah tempat yang mana terdapat penjualan arak di tempat tersebut.

Saya terbaca di dalam kitab فتاوى البيت المسلم oleh Guru kami, Mufti Besar Kerajaan Mesir, Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah. Beliau juga ditanya berkenaan dengan perkara ini. Walaupun pertanyaan tersebut bukanlah seperti yang saudara tanyakan kepada saya tetapi maksudnya lebih kurang sama.

Secara ringkasnya, Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah menjawab bahawa dibenarkan untuk bekerja di tempat demikian cuma sebaiknya jauhkan daripada tempat penjualan arak.

Tambahan daripada saya, jika seseorang tersebut dapat mencari pekerjaan yang lain daripada tempat sebegini maka ianya lebih baik. Ini kerana terdapat syubhat di dalam tempat pekerjaan sebegini. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

عن أبي عبدالله النعمان بن بشير رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: إن الحلال بيّن و إن الحرام بيّن و بينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس, فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه و عرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام... الحديث رواه البخاري (50)( 52) و مسلم 2996


Maksudnya: Diriwayatkan oleh Saidina Abu Abdillah al-Nu’man bin Basyir radhiyallahuanhuma : Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, Di antara kedua-duanya(halal dan haram) terdapat perkara yang samar-samar hukumnya(tidak diketahui samaada halal atau haram)yang mana perkara ini tidak diketahui oleh ramai manusia, Barangsiapa yang berjaga-jaga dengan perkara syubhat ini maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya, dan barangsiapa yang terlibat denganya maka dia sebenarnya telah menjerumuskan dirinya kepada perkara yang haram.

Wallahu a’lam ..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.