Sabtu, 11 April 2009

Sambutan Maulidurrasul.Hukum dan Perbahasan.

Assalamualaikum...Terima kasih kepada yang meminta untuk saya terangkan berkenaan dengan Maulid Nabi Sallallhu alaihi wasallam.Disini saya sertakan jawapannya dan penerangan ringkas berkenaan dengannya.Saya akan menerangkannya mengikut peringkat.Jawapan ini saya ambil daripada risalah ringkas yang saya susun sendiri untuk sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam pada baru-baru ini di Bumi Mesir anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM).Semoga semua dapat mengambil manfaat.

Di antara sebesar-besar nikmat Allah taala yang dianugerahkan kepada seluruh makhluknya di muka bumi ini ialah dengan diutuskan Baginda sallallahu alaihi wasallam.Kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan satu rahmat kepada seluruh alam.Firman Allah subhanahu wa taala di dalam surah al-Anbiya’:


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (107)

Maksudnya: Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad sallallahu alaihi wasallam)melainkan ianya merupakan rahmat kepada seluruh alam.

Diantara cara untuk menunjukkan bahawa kita cinta dan rindukan baginda sallallahu alaihi wasallam ialah dengan kita menyambut hari kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Menurut Doktor Umar Abdullah Kamil ,salah seorang ulama besar bermazhab syafie:

“Sesungguhnya majlis menyambut kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam merupakan salah satu daripada cara-cara pendekatan diri kita kepada Allah subhanahu wa taala.Ini kerana di dalam majlis-majlis sebegini dipenuhi dengan selawat ke atas junjungan besar Muhammad sallallahu alaihi wasallam,berzikir ,membaca al-Quran dan lain-lain jenis ibadat” .

Perbahasan yang ingin kita utarakan di dalam ringkasan kecil ini bukanlah untuk menceritakan secara terperinci berkenaan tarikh kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam dan perkara berkaitan dengannya kerana ianya boleh kita dapatkan di dalam kitab-kitab sirah nabawiyah yang ditulis oleh para ulama terkemuka.Penulis cuma ingin membincang sejauh mana perbahasan para ulama berkaitan keharusan kita menyambut Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Moga-moga penulisan ini dapat memberikan kepada kita gambaran secara ringkas berkenaan sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam ini.Semoga Allah taala menerima penulisan ini sebagai bekalan untuk menujuNya dan sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

BILAKAH BERMULANYA SAMBUTAN MAULID NABI DILAKSANAKAN?

Al-Imam al-Suyuti rahimahullahu taala menyebutkan bahawa sambutan Maulid Nabi ini dimulakan oleh الملك المظفر أبو سعيد كوكبري بن زين الدين على بن بكتكين salah seorang raja yang sangat pemurah dan adil.Beliau juga menukilkan kalam al-Imam Ibn Kathir rahimahullah yang memuji raja tersebut dengan mengatakan bahawa raja tersebut seorang yang sangat adil,alim ,gagah dan beliau melaksanakan Maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal dengan sambutan yang sangat meriah .

ADAKAH KITA WAJIB MENYAMBUTNYA?

Tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang menganggap sambutan Maulid ini sering kita dengari saban tahun. Dikatakan bahawa setiap kali sambutan sebegini disambut pasti berlakunya percampuran di antara lelaki dan wanita dan pelbagai lagi perkara kemungkaran yang berlaku.Mereka juga mengatakan bahawa golongan yang menyambut Maulid ini seolah-olah menganggap ianya seperti sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.Di sini penulis ini menukilkan secara rawak kalam daripada salah seorang ulama besar iaitu al-Syeikh al-Sayyid Abu Hasanain Abdullah al-Husaini al-Makki al-Hasyimi rahimahullah:

"إن يوم مولد سيدنا محمد صلى الله عليه و سلم ليس بعيد و لا نعتبره عيداً لأنه أكبر من العيد و أعظم و أشرف منه.إن العيد لا يعود إلا مرة واحدة في السنة , و أما الاحتفال بمولده صلى الله عليه و سلم و الاعتناءُ بذكره وسيرته يجب أن يكون دائما لا يتقيد بزمان ولا مكان.فمن أطلق عليه اسم العيد فهو جاهل,وهو لا يقع إلا من العوام وهم لا يقصدون به العيد الشرعى المعروف عند الإطلاق,و إنما هذا جرياً على عادة الناس في تعبيرهم عن الفرح و السرور بكل عزيز بقولهم هذا يوم عيد...و قدومكم عيد...و لقائكم عيد .."[1] انتهى بالاختصار


[1] الاحتفال بالمولد النبوي بين المؤيّدين و المعارضين مناقشات و ردود mukasurat 10-11


Maksudnya: Sesungguhnya sambutan Maulidurrasul tersebut bukanlah merupakan satu perayaan dan kami sendiri tidak mengatakan bahawa ianya merupakan hari raya.Ini kerana ianya lebih besar, lebih agung, dan lebih mulia daripada hari raya itu sendiri. Hari Raya tidak akan kita sambut melainkan setahun sekali sahaja.Tetapi Maulidurrasul ini dan mengambil perhatian tentang Baginda sallallahu alaihi wasallam serta sirahnya merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sepenjang masa bukan hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja.Sesiapa yang mengatakan bahawa ianya merupakan hari raya( yang patut disambut setahun sekali sahaja) maka mereka merupakan orang-orang yang jahil.Ini tidak berlaku(menyebutkan bahawa maulidurrasul adalah hari raya) melainkan kepada orang-orang biasa (awam) dan golongan ini tidaklah bermaksud bahawa sambutan ini merupakan hari raya yang dimaksudkan oleh Syarak.Ini tidak lain hanya merupakan adat bagi manusia ,jika hari tersebut hari yang menggembirakan dan menyeronokkan maka mereka menamakan hari tersebut sebagai hari raya.”

Beliau menyebutkan lagi di dalam kitab yang sama:

"و معلوم أنه ليس عندنا في الإسلام إلا عيدان الفطر و الأضحى,لكن يوم المولد أكبر و أعظم من العيد و إن كنّا لا نسميه عيدا,فهو الذي جاء بالأعياد و الأفراح, و من حسناته كل الأيام العظيمة في الإسلام , فلولا مولده صلى الله عليه وسلم ما كانت البعثة ,ولا نزول القرآن ,ولا الإسراء و المعراج ,ولا الهجرة, و لا النصر في بدر , ولا الفتح الأعظم ,لأن كل ذلك متعلق به صلى الله عليه و سلم و بمولده الذي هو أبو تلك الخيرات العظيمة"[1]



[1] الاحتفال بالمولد النبوي بين المؤيّدين و المعارضين مناقشات و ردود mukasurat 11

Maksudnya: Sudah jelas lagi bersuluh,di dalam Islam tiada lagi perayaan yang lain selain dua perayaan iaitu hari raya aidil fitri dan aidil adha.Tetapi hari Maulidurrasul ini merupakan hari yang lebih besar dan agung daripada kesua hari raya tersebut walaupun kita tidak menamakannya sebagai hari raya.Baginda sallallahu alaihi wassalam adalah individu yang membawa kepada kita segala kegembiran tersebut.Kalaulah bukan dengan kelahiran baginda maka tiadalah kebangkitannya sebagai Rasul,tiadalah diturunkan al-Quran,tiadalah isra’dan mi’raj, tiadalah hijrah,tiadalah pertolongan ketika peperangan Badr,dan tiadalah Hari Fathu Makkah(pembukaan kota Makkah).Ini kerana semuanya yang berlaku adalah mempunyai kaitan dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Maka Baginda adalah bapa dan penyebab kepada segala kebaikkan yang kita kecapi.

Pendapat yang disebutkan oleh al-Syeikh Sayyid Abu Hasanain rahimahullah amat jelas dan jitu.Sesiapa yang memahaminya dengan baik pasti akan terbuka hatinya.


APAKAH HUKUM KITA MENYAMBUT MAULID?

Secara jelasnya kita menyebutkan bahawa hukum menyambut Maulid adalah Sunnah.Disini kita akan sebutkan secara terperinci satu persatu dalil yang penulis nukilkan daripada tulisan al-Syeikh Doktor Umar Abdullah Kamil hafizahullah secara ringkas:

Dalil pertama:HARUS BAGI KITA MEMBESARKAN HARI-HARI DAN TEMPAT-TEMPAT KELAHIRAN PARA NABI BERDASARKAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH

Di antaranya ialah:

1. Kita membesarkan hari Jumaat kerana ianya merupakan hari diciptakan Nabi Allah Adam alaihi salam.

2. Saidina Syaddad bin U’wais meriwayatkan:

أمر جبريل عليه السلام النبيَ صلى الله عليه و سلم بصلاة ركعتين ببيت لحم ثم قال له: أتدري أين صليت؟ قال :لا, قال: صليت ببيت لحم حيث وُلد عيسى.


Maksudnya: Saidina Jibril alaihissalam pernah menyuruh baginda Sallallahu alaihi wasallam menunaikan solat dua rakaat di Baitullaham.Kemudian Saidina Jibril alaihissalam bertanya kepada Baginda Sallallahu alaihi wasallam: Tahukah kamu dimanakah kamu bersolat tadi?Maka Baginda menjawab :Aku tidak tahu. Kata Saidina Jibril alaihissalam: Kamu telah menunaikan solat di Baitullaham dimana Saidina Isa alaihissalam dilahirkan.

3. Kesejahteraan dan keselamatan pada hari Nabi-Nabi lain dilahir disebutkan secara jelas di dalam al-Quran.Firman Allah taala di dalam surah Maryam ayat 33 menceritakan kata-kata Nabi Allah Isa alaihissalam:

وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا (33)


Maksudnya: dan segala keselamatan dan kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).

Dalil kedua: KISAH ABU LAHAB MEMBEBASKAN THUWAIBAH AL-ASLAMIYAH KERANA GEMBIRA DENGAN KELAHIRAN BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM

Al-Imam Ibn Kathir rahimahullahu taala menyebutkan di dalam kitab Bidayah wa al-Nihayah:
(( Wanita yang mula-mula menyusukan baginda sallallahu alaihi wasallam ialah Thuwaibah yang merupakan hamba kepada Abu Lahab.Dia dimerdekakan oleh Abu Lahab sebaik sahaja memberitahu tentang kelahiran Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Abu Lahab.))

Al-Imam Suhaili rahimahullahu taala dan para ulama lain menyebutkan di dalam kitab-kitab mereka:

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Lahab menyebutkan kepada saudaranya al-Abbas di dalam mimpi :Sesungguhnya dia dilepaskan daripada seksaan kubur setiap hari Isnin.

Jika Abu Lahab yang dicela oleh Allah taala di dalam al-Quran dikurangkan seksaannya hanya kerana gembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wasallam,apatah lagi kepada golongan mukminin yang gembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam.Pendapat sebegini juga disebutkan oleh al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin al-Jazari rahimahullahu taala di dalam kitabnya:

عرف التعريف بالمولد الشريف

al-Imam al-Hafidz Syamsuddin bin Nasiruddin al-Dimasyki menyebutkan sebuah syair didalam kitabnya:

((مورد الصادي في مولد الهادي))

إذا كان هذا كافرا جاء ذمه

بتبت يداه في الجحيم مخلّدا

أتى أنه في يوم الاثنين دائما

يخفف عنه للسرور بأحمدا

فما الظن بالعبد الذي طول عمره

بأحمد مسرورا ومات موحّدا

Maksudnya: Jika si kafir(Abu Lahab) yang telah dicela dirinya,

Di dalam surah Tabbat(Surah al-Lahab) yang mana akan kekal selamanya di dalam neraka,

Pada setiap hari Isnin Maka Dia akan,

Diringankan daripada Seksaan kerana Gembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wassalam,

Apatah lagi dengan seorang hamba yang sepanjang hidupnya,

Bergembira dengan kelahiran baginda Sallallahu alaihi wasallam(Adakah mereka tidak akan dibebaskan daripada seksaan api neraka?)

Menurut Al-Ustaz Doktor Yusuf Kahttar Muhammad hafizahullah,salah seorang ulama daripada Syria :

((Hadis Abu Lahab dibebaskan daripada seksaan pada hari Isnin kerana gembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam diriwayatkan oleh sebahagian besar para ulama hadis dan sirah.Antaranya ialah al-Imam Abdul Razak San’ani,al-Imam al-Bukhari,al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani,al-Hafidz al-Baihaqi,Imam Ibn Hisyam,al-Imam Suhaili,al-Hafidz Baghawi,al-Imam Ibn Daiba’,al-Imam al-Asyqar, dan al-Imam al-A’miri))

Dalil ketiga: BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM SENDIRI MENYAMBUT HARI KELAHIRANNYA DENGAN BERPUASA PADA HARI ISNIN

Al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam Kitab Sahihnya:

Maksudnya: Diriwayatkan daripada saidina Abu Qatadah radhiyallahu anhu :Sesungguhnya Baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin.Maka Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Ianya merupakan hari aku dilahirkan dan pada hari tersebut juga wahyu mula disampaikan kepadaku.

Ini merupakan dalil yang jelas menunjukkan tentang sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wasallam.Mungkin cara sambutan akan berbeza tetapi maksudnya tetap sama samaada kita berpuasa pada hari tersebut,memberi makan atau berkumpul untuk melaksanakan majlis zikir dan selawat ke atas Junjungan besar sallallahu alaihi wasallam .

Sambutan Maulid bukanlah semata-mata kita bergembira pada hari tersebut.Tetapi pada hari tersebut kita digalakkan untuk mengadakan majlis bagi memperingati sirah perjuangan baginda sallallahu alaihi wasallam dan segala yang berkaitan tentang perjuangan baginda sallallahu alaihi wasallam.Perkara sebegini perlu kerana ianya akan menambahkan lagi kecintaan kita kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dan keimanan kita kepada Allah dan Rasulnya akan semakin kukuh.

Sambutan sebegini juga akan menyegarkan ingatan kita kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dan perkara ini disyariatkan di dalam Islam.Kita dapati di dalam ibadah haji juga terdapat banyak bentuk ibadah di dalamnya yang ianya merupakan cara untuk mengingati peristiwa-peristiwa lepas yang berlaku di sesuatu kawasan tersebut seperti Sa’i di antara Safa dan Marwa ,melontar Jamrah,menyembelih di Mina dan sebagainya merupakan peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku.Ini dilakukan semula sebagai cara untuk memperingati peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut. (bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.