Sabtu, 18 April 2009

HUKUM TARIAN


Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini memandangkan baru-baru ini terjadi satu insiden yang tak sepatutnya berlaku pada masyarakat mahasisiwa di Bumi Anbiya’.Kes tarian yang dilaksanakan baru-baru ini mengundang pelbagai kontroversi.Golongan yang menegur dianggap tidak pandai menyampaikan dakwah.Manakala yang berada di dalam majlis,bilamana dipersoalkan kenapa tidak mahu keluar daripada majlis bilamana perkara sebegini berlaku?Mereka menjawab dengan perasaan tidak bersalah: “Jika kita keluar di mana cara dakwah kita yang terbaik?”. Saya agak pelik dengan jawapan-jawapan yang bagi saya agak melucukan daripada para pelajar yang kononnya belajar di al-Azhar.Inilah masalahnya jika bersalah, tetap juga ingin mempertahankan kesalahan tersebut.Tidak pernah mahu mengaku bersalah.Ya Allah ampunkanlah dosa kami semua.

Benarlah Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan oleh Abu Syeikh daripada Saidina Mihraz bin Zuhair al-Aslami al-Madani radhiyallahu anhu:

الصمت زين للعالم و ستر للجاهل

Maksudnya: Diam itu merupakan perhiasan bagi orang yang alim, dan ianya juga merupakan penutup bagi orang jahil.

Jika kita memahami hadis ini dengan baik maka tentu kita akan tertawa lucu bila mendengarkan jawapan-jawapan daripada golongan yang ingin menegakkan benang yang basah sebegini.Sebab itulah kita sarankan ,sebaiknya berdiam daripada pandai bercakap mengeluarkan hukum sesuka hati demi mempertahankan diri.Takut-takut kita tergolong dalam golongan yang bodoh sombong.Apa salahnya jika kita memohon keampunan daripada Allah taala di atas kesalahan dan keterlanjuran kita padaNya.Bukan dengan menambahkan lagi kesalahan dan dosa dengan menempelak golongan yang ingin memastikan semua dalam keadaan baik dan harmoni mengikut landasan Syarak.

Saya tidak mahu mengulas isu tersebut dengan panjang lebar.Cuma saya tertarik bila terbaca pendapat salah seorang sahabat kita yang bergelar pelajar al-Azhar menyebutkan “apa salahnya yang menari di depan tersebut hanyalah pelajar-pelajar rendah daripada sekolah Indonesia di Kaherah?Bukannya tarian mereka menghairahkan pun”, dan pelbagai lagi jawapan yang makin lucu jika saya paparkan di sini. Di sini saya akan bahaskan berdasarkan hukum Islam yang disebutkan oleh para ulama berkenaan hukum tarian berdasarkan Syarak.Saya mengharapkan semua dapat menilai dengan baik apa yang akan saya sebutkan disini.

Para ulama membahaskan hukum berkenaan dengan tarian ini secara panjang lebar.Terdapat perbezaan pendapat dikalangan para ulama berkenaan hukum tarian ini tanpa menyebutkan secara terperinci(akan saya sebutkan selepas ini)hukum lelaki dan wanita yang menari.Tarian itu sendiri terdapat perbezaan pendapat (khilaf) di kalangan para ulama.Terdapat 4 mazhab di dalam permasalahan hukum halal dan haram tarian secara umumnya.

Ini perlu diingat ,hukum-hukum yang akan kita bincangkan disini bukanlah tarian yang ditarikan oleh wanita.Tetapi yang ditarikan oleh golongan lelaki.Ini kerana menurut Doktor Abdul Fattah Mahmud Idris ,Pensyarah di Universiti al-Azhar tiada khilaf di kalangan ulama berkenaan dengan hukum wanita menari di hadapan lelaki ajnabi(yang bukan mahramnya) bahawa ianya haram.

Pendapat-pendapat berkenaan adalah seperti berikut:


PENDAPAT PERTAMA

Sebahagian ulama berpendapat tarian adalah harus(melihat kepada syarat-syarat tertentu).Sebahagian ulama bermazhab Syafie seperti al-Imam Fawrani rahimahullah dan lain-lain berpendapat ianya adalah harus secara umumnya.Manakala al-Imam Haramain rahimahullah menerangkan dengan lebih terperinci hukum berkenaan perkara ini.Beliau mengatakan membanyakkan tarian sehingga boleh menjatuhkan maruah maka hukumnya adalah haram jika sebaliknya maka tiadalah mengapa.Al-Imam al-Rafi’e dan Ibn Abi al-Dam rahimahumallah juga berpendapat sedemikian.Sebahagian ulama bermazhab Syafie yang lain berpendapat mengatakan: Jika tarian ini semata-mata untuk bergembira dan berseronok maka hukumnya adalah haram .Jika tarian yang dilakukan oleh golongan lelaki ini tiada niat untuk bergembira sedemikian(seperti tarian perang dan lain-lain) maka hukumnya adalah harus.

PENDAPAT KEDUA

Sebahagian para ulama berpendapat hukum tarian adalah haram secara mutlak.Ini adalah seperti yang dipegang oleh para ulama bermazhab Hanafi,sebahagian ulama bermazhab Syafie,dan Hambali rahimahumullah.Kata al-Imam Ibn Abidin rahimahullah: Jika seseorang tersebut menghalalkan tarian,sebahagian ulama menghukumkan orang tersebut sebagai kafir.Beliau menyebutkan lagi bahawa : Aku telah melihat Fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikhul Islam al-Karmani rahimahullah bahawa golongan yang menghalalkan tarian sebegini adalah kafir.

PENDAPAT KETIGA

Sebahagian ulama di dalam mazhab Syafie dan Jumhur ulama Hambali berpendapat bahawa hukum tarian adalah makruh.

PENDAPAT KEEMPAT

Sebahagian para ulama membezakan hukum tarian bagi golongan Sufi dan lain-lain.Mereka mengatakan bahawa tarian yang dilakukan oleh golongan sufi adalah harus manakala golongan yang selain daripada sufi adalah makruh melakukan tarian.

Ini adalah pendapat para ulama berkenaan perkara ini.Perlu untuk saya tegaskan sekali lagi,ini adalah hukum untuk golongan lelaki sahaja.Bukan wanita.Jika kita menilai dengan baik,tentu kita akan terfikir,jika hukum untuk golongan lelaki pun masih terdapat khilaf yang pelbagai dikalangan para ulama,apatah lagi jika tarian tersebut dilakukan oleh golongan wanita?

Sepanjang kajian yang saya lakukan berdasarkan rujukan daripada kitab-kitab para ulama,tiada pula dibezakan antara tarian kanak-kanak perempuan dengan wanita yang dewasa.Malah para ulama membahaskan pula hukum untuk membuat pusat tarian. Menurut Doktor Abdul Fattah Mahmud Idris hafizahullah jika kita melihat secara terperinci maka hukum berkenaan wanita yang menari adalah haram.Maka jika dibuat pusat untuk latihan tarian bagi wanita juga adalah haram.

Tidak menjadi masalah jika wanita menari sesama wanita.Ini jika kita dapat pastikan bahawa tiada lelaki yang ajnabi melihat mereka.Jika terdapat lelaki yang ajnabi melihat mereka maka hukumnya sudah jelas lagi bersuluh.Sesiapa yang terang mata hatinya tidak perluy lagi diulas berkali-kali tentag perkara ini.

Jika sahabat-sahabat dan sidang pembaca sekalian ingin melihat dengan lebih lanjut.Bolehlah merujuk kepada Fatwa bernombor 619 yang dikeluarkan oleh Darul Ifta al-Misriyyah di dalam kitab al-Fatawa al-Islamiyah .Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Syiekh Abdul Majid Salim rahimahullah pada bulan Ramadhan 1362 hijriyah.Malah kata Syeikh Abdul Majid Salim rahimahullah:Sesiapa yang redha dengan perkara maksiat maka dia juga dikira melakukan perkara maksiat tersebut.

KESIMPULAN

Saya hanya menyediakan sedikit sahaja maklumat berkenaan perkara ini. Selanjutnya sahabat-sahabat boleh mencari sendiri hukum-hukum berkenaan untuk lebih yakin.Kebenaran adalah kebenaran.Jangan disebabkan kita terlibat di dalam perkara tersebut maka kita tetap juga ingin menunjuk jaguh di dalam permasalahan hukum.Jangan sampai kita ditempelak oleh Sang Pencipta kelak hanya kerana kebodohan dan sikap sombong dan ego yang terdapat didalam jiwa sanubari kita maka kita tidak mampu menerima kebenaran.Saya memohon maaf jika terkasar bahasa.Bahasa saya sebegini kerana saya terkilan terdapat masyarakat yang belajar di al-Azhar yang belajar agama Islam tetapi masih redha dengan perkara sebegini.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. موقف الشريعة الإسلامية من الرقص للدكتور عبد الفتاح محمود إدريس cetakan kedua 1998
2. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Dr Wahbah Zuhaili jilid 4 cetakan Darul Fikr
3.Faidhul Qadir oleh al-Imam Manawi rahimahullah jilid 4 cetakan Darul Kutub Ilmiyah

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu 10,
Kaherah,Mesir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.