Isnin, 27 April 2009

Hukum Jama' Tanpa Sebab

SOALAN

Apakah hukumnya bagi seorang peniaga di pasar malam menjama’kan(menghimpunkan) solatnya atau seorang pekerja yang menjama’kan solatnya kerana melaksanakan mesyuarat?

JAWAPAN

Terima kasih kepada saudara yang bertanya, Islam adalah agama yang tidak akan sesekali membebankan umatnya. Firman Allah taala di dalam surah al-Haj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: Kami tidak menjadikan bagi kamu semua kesusahan di dalam agama ini.

Para ulama meletakkan syarat tertentu bagi melaksanakan solat jama’. Solat jama’ ialah solat yang didirikan dengan menggabungkan di antara dua waktu solat (solat zohor digabungkan dengan solat asar, atau solat maghrib digabungkan dengan solat isya’) dengan syarat-syarat dan sebab- sebab tertentu. Saya tidak ingin membahaskannya secara panjang lebar kerana ianya akan tersasar daripada soalan yang ditanyakan.

Antara sebab yang dibenarkan untuk seseorang mendirikan solat jama’ ialah musafir, hujan @ salji yang terlalu lebat, peperangan dan sakit. Berdasarkan soalan yang ditanyakan kepada saya , jika kita perhatikan maka ianya tidak termasuk di dalam salah satu daripada sebab-sebab tersebut. Maka adakah ianya dibenarkan untuk melakukan jama’?

Jumhur ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah , Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum meletakkan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jama’. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda sallallahu alaihi wasallam lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja baginda sallallahu alaihi wasallam melaksanakan jama’ atau qasar solat.

Sehingga disebutkan oleh Saidina Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu:

ما رأيت النّبيّ صلى الله عليه وسلم صلّى صلاة لغير ميقاتها إلاّ صلاتين جمع بين المغرب والعشاء بجمع » أي بمزدلفة " الحديث

Maksudnya: Tidak pernah aku melihat baginda sallallahu alaihi wasallam melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda sallallahu alaihi wasallam dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jama’ ketika di Muzdalifah.

Perkataan daripada Saidina Ibnu Mas’ud radhiyallahu anhu ini menunjukkan bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam selalu menunaikan solat pada waktunya.

Terdapat sebahagian para ulama membenarkan untuk melakukan solat Jama’ walaupun tanpa sebab. Antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah al-Imam Asyhab (ulama Malikiyah), Ibn Munzir (ulama Syafie), Ibn Sirin, dan Ibn Syabramah radhiyallahu anhum. Tetapi mereka bukanlah meletakkan perkara ini harus secara mutlak .Sebaliknya perkara ini diharuskan jika seseorang tersebut tidaklah menjadikannya adat seharian dan tidak bermudah-mudah melakukannya setiap hari.

Para ulama hadis juga membenarkan perkara ini berdasarkan hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam:

عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam menjama’kan antara zohor dan asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan( tanpa sebab).Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma: Mengapa baginda sallallahu alaihi wasallam melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak ingin menyusahkan umatnya.

Berdasarkan hadis yang kita sebutkan, maka memang terdapat sebahagian ulama berpendapat bahawa jama’ tanpa sebab adalah dibenarkan.Tetapi perlu diingat,beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh seseorang yang ingin melakukan sedemikan.Mereka perlu memastikan perkara-perkara yang kita sebutkan di sini diraikan dan diambil perhatian:

Pertama: Tidak melakukan solat secara Jama’ sebegini secara kerap dan berterusan.Maksudnya cuma melakukannya sekali sekala sahaja (jika terdesak untuk melakukan sedemikan).

Kedua: Mestilah melaksanakan secara Jama’ iaitu solat Zohor 4 rakaat dhimpunkan dengan solat Asar 4 rakaat.Atau solat Maghrib 3 rakaat dihimpunkan dengan solat Isya’ 4 rakaat.Ini bermaksud tidak boleh bagi seseorang tersebut mengqasarkan solatnya iaitu menjadikan solat 4 rakaat menjadi 2 rakaat seperti didirikan ketika musafir.

Jika seseorang yang ingin melaksanakan sedemikan dengan mengikut syarat-syarat tersebut maka tiadalah masalah baginya untuk mengambil dengan pendapat sebahagian ulama ini.Memang agama Islam adalah agama yang mudah, tetapi bukanlah boleh kita bermudah-mudah di dalam semua perkara di dalam Islam.Ini perlulah difahami dengan jelas.Wallahu a’lam.

Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah Jilid 15 mukasurat 193

Mohd Nazrul Abd Nasir,
RumahKedah Hayyu 10
2.16 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.