Jumaat, 27 Mac 2009

Secangkir Bicara

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Sebenarnya saya bukanlah pandai sangat di dalam bidang penulisan ini. Masih lagi dalam proses pembelajaran. Alhamdulillah sahabat-sahabat banyak memberikan semangat untuk cuba menulis.

Ada juga di kalangan sahabat yang berbaik sangka dengan saya, menyuruh agar saya juga menulis di dalam blog seperti ini bagi berkongsi sedikit sebanyak apa sahaja yang boleh dikongsi. Maksud saya perkara-perkara yang baik sahaja. Saya teringat sebuah hadis yang disebutkan oleh Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam di dalam kitab الغرائب و الوحدان yang dikarang oleh al-Alim al-Allamah Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullahu Taala(saya sedang dalam proses menterjemahkan kitab ini selepas mendapat keizinan daripada guru saya al-Allamah al-Syeikh Dr Yusri Rusydi al-Hasani al-Syafie).

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

قال النبي صلى الله عليه و سلم : ائت بالمعروف و اجتنب المنكر و انظر ما يعجب أذنك أن يقول لك القوم إذا قمت من عندهم فائته و انظر الذى تكره أن يقول لك القوم إٍذا قمت من عندهم فاجتنبه.

راوه البخاري في الأدب المفرد و البغوي في المعجم و البارودي في معرفة الصحابة عن حرملة بن عبدالله بن أوس ولم يرو غيره.



Maksudnya: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:"Lakukanlah perkara yang makruf(kebaikan) dan jauhkanlah perkara kemungkaran dan perhatikanlah apa yang diperkatakan oleh orang ramai kepadamu(tentang perkara yang baik-baik) jika kamu lakukan perkara tersebut maka laksanakan perkara tersebut. Dan perhatikanlah juga apa-apa perkara yang diperkatakan tentang kamu (perkara yang tidak baik yang dilakukan oleh kamu) jika kamu lakukan perkara tersebut maka tinggalkan perkara tersebut."

Pada suatu hari, Al-Imam Abu Hanifah Radhiyallahu 'Anhu melalui di satu kawasan. Beliau mendengar kanak-kanak yang berada di kawasan tersebut memuji dirinya dengan mengatakan bahawa: "Itulah Abu Hanifah yang terkenal tidak pernah tidur pada waktu malam(sibuk dengan ibadah dan ilmu)". Sejak daripada mendengar pujian tersebut maka al-Imam berterusan melakukan qiamullail.

Saya bukanlah ingin menyamakan sangka baik orang kepada saya sepertimana orang menyangka baik kepada al-Imam Abu Hanifah Radhiyallahu 'Anhu. Siapalah saya jika dibandingkan dengan sang Imam yang sangat hebat, bukan hanya dikenali oleh makhluk dunia tetapi juga oleh makhluk di langit. Saya cuma ingin mengambil contoh daripada hadis baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mulia. Moga Allah Subhanahu Wa Taala mencampakkan keikhlasan di dalam jiwa saya yang serba kekurangan untuk meneruskan kerja baik ini.

Saya ucapkan jutaan terima kasih buat al-Fadhil Ust Najhie Hayazi(Pejuang kecil) yang sudi meluangkan masa memberikan tunjuk ajar kepada saya cara-cara mengendalikan blog ini. Semoga Allah Taala jua yang membalasnya.

Semoga semua sahabat dan sidang pengunjung dapat mengambil faedah daripada segala yang terdapat di dalam blog ini. Segala kekurangan mohon tunjuk ajar daripada semua. Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir
Bilik 102, Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, 10.15 malam
27 Mac 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.