Sabtu, 28 Mac 2009

Mengapa Perlu Belajar Ilmu Tauhid? Bagaimana Memahaminya Dengan Benar?

Kadang-kadang saya terfikir mengapa ramai para pelajar hatta yang belajar di al-Azhar al-Syarif sekalipun, masih “gerun” dan bimbang dengan ilmu tauhid. Saya berbaik sangka dengan mereka-mereka yang berfikiran demikian. Mungkin mereka takut mengatakan sesuatu yang tidak kena@tersalah dalam berbicara tentang ilmu tauhid.

Ya, boleh juga dikatakan mungkin mereka merendah diri tidak mahu menunjukkan ilmu di dada. Jika sebaliknya, mungkin kerana kurang ilmu berkenaan tauhid dan cara menerangkannya maka seseorang itu menjadi takut dan gerun.
Jika telahan saya ini benar, mengapa kita tidak mengambil inisiatif untuk menghilangkan rasa gerun tersebut. Nanti ada pula yang akan memberikan jawapan kepada kita “payah la ustaz ilmu tauhid ni” “pening kepala la nak ingat tauhid ni” dan bermacam-macam lagi alasan yang direka-reka untuk melepaskan diri.

Saya tidak katakan bahawa saya pandai di dalam bidang ini. Memang pada mulanya kita membuka kitab tauhid maka kita akan menjumpai banyak istilah-istilah yang tidak kita fahami. Persoalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah, bagaimanakah caranya kita untuk memahami dengan mudah istilah-istilah ini? Ya, jawapannya hanya satu : PERLU BELAJAR DENGAN GURU YANG BENAR JALANNYA.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa maksud saya dengan perkataan GURU YANG BENAR JALANNYA. Maksud saya ialah seorang ulama yang benar aqidahnya, dan berpegang dengan mazhab. Ahlussunnah Wal Jamaah


Ahlussunnah wal jamaah yang saya maksudkan ialah mazhab Asyai’rah dan al-Maturidiah. Tiada yang selain daripada dua mazhab ini.

Ilmu tauhid bukanlah ilmu yang boleh dicedok atau didapati hanya dengan berjam-jam di dalam maktabah@perpustakaan. Bukan juga di dapati hanya sekadar mendengar rakaman-rakaman pengajian. Bukan juga didapati daripada pembacaan kitab-kitab dan pengkajian tanpa bimbingan seorang guru. Bukan juga diperolehi dengan cara tidur dan bersenang-lenang.

Ianya hanya boleh didapati dengan SATU CARA sahaja iaitu belajar dengan para ulama.
Kalau hanya sekadar membaca dan membuat kajian sendirian tanpa bimbingan para ulama maka natijahnya ialah akan bercampurnya pemikiran-pemikiran songsang yang memalukan bagi seorang penganut Islam. Ianya juga akan mengundang fitnah.

Pembacaan dan belajar dengan golongan yang tersalah inilah yang menyebabkan fahaman Allah taala bertempat, Allah taala istiwa’(duduk) di atas Arasy dan sebagainya tersebar. Mengapa pemikiran-pemikiran sebegini boleh lahir? Jawapannya hanya satu: Kerana faktor-faktor yang telah saya sebutkan sebelum ini.

Disebabkan perkara inilah maka menjadi Fardhu Ain bagi seorang penuntut agama khususnya di Al-Azhar Al-Syarif untuk menimba ilmu ini secara bersungguh-sungguh bagi mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin goyah dengan tersebarnya fahaman yang longgar dan songsang sedemikian.

Kita perlu merasakan bahawa ianya merupakan satu tanggungjawab yang berat. Kalian yang sudah berada di dalam bidang agama ini jika tidak menuntutnya secara bersungguh maka akan dipersoalkan nanti dihadapan yang Maha Agung


Jangan hanya sekadar mengejar sijil semata-mata tetapi ilmunya tidak seberapa. Biarlah pangkat dan anugerah yang kalian dapat itu sebanding dengan ilmu dan penat jerih kalian semasa menuntut Ilmu. Tidakkah kalian bimbang bilamana membaca hadis baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang saya petik daripada kitab 40 hadis kelebihan Ilmu dan Ulama karangan Guru saya yang mulia al-Syeikh al-Allamah Ahmad Fahmi ZamZam hafizahullah

عن عبدالله بن عمرو بن العاصى رضى الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن الله لا يقبض العلمَ انتزاعا ينتزعه من الناس و لكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبقِ عالما اتخذ الناسُ رؤوسا جهّالا فسُئِلُوا, فأفتوا بغير علمٍ فضَلُّوا و أضلوا

أخرجه الشيخان و الترميذى


Maksudnya: Daripada Abdullah Bin Amru bin al-Ash Radhiyallahu 'Anhuma berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia tetapi Allah taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Manusia akan melantik pemimpin mereka dikalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanyakan hukum tentang sesuatu masalah. Maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain".

Tidakkah kalian takut dengan amaran daripada Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam ini. Adakah kita ingin menjadi golongan yang sesat dan menyesatkan. Tentu sekali kita tidak mahu. Maka sama-samalah kita muhasabah diri dan perlu lebih giat menuntut Ilmu. Selagi para ulama masih hidup maka sama-samalah kita menuntut Ilmu dengan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...