Rabu, 28 Julai 2010

Jemputan Perkahwinan Saya dan Bakal Isteri

Jemputan Sebelah Pengantin Lelaki

Jemputan Sebelah Pengantin Perempuan


Di Kesempatan ini , saya dan bakal isteri saya ingin menjemput semua yang mengenali diri saya dan bakal isteri ke majlis walimah kami pada 12 & 13 September 2010 bersamaan 3 & 4 Syawal 1431 H...

Doakan kami ...


Mohd Nazrul & Ummi Kalsum


Ini Telefon kami berdua jika ada masalah untuk sampai ke rumah kami ye :

Nazrul : 0134819076
Ummi : 0195508178

Selasa, 20 Julai 2010

Catatan Pertama Setelah Tiba Di Bumi Malaysia..

Sudah sebulan lebih saya tidak sempat untuk memasukkan berita baru di dalam laman peribadi saya ini. Banyak perkara yang berlaku sepanjang kepulangan saya ke bumi Malaysia. Beberapa hari setelah sampai di rumah saya di Pedu, saya terus dihubungi oleh al-Fadhil Ustaz Yusainee , pengasas Maahad Tahfiz al-Imam Nawawi (MATIN) Perlis Darul Sunnah. Ya, saya kira Perlis akan benar-benar menjadi Darul Sunnah jika ramai lagi tenaga muda dilahirkan seperti al-Fadhil Ustaz Yusainee, Ustaz Adnin, Ustaz Juzaili Juhan dan lain-lain.

Beliaulah yang menjemput saya untuk menjadi Pemidato Pembukaan bagi Majlis Isra’ dan Mi’raj Bersama Syaikhuna al-Murabbi Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah. Rasa terlalu kerdil bilamana digandingkan dengan Syaikhuna al-Murabbi. Saya merasakan bahawa ini adalah satu penghormatan daripada al-Fadhil Ustaz Yusainee kepada saya untuk berbicara tentang ilmu dihadapan ramai para ulama pada hari tersebut sedangkan masih ramai yang sangat layak untuk berbicara pada hari tersebut.

Ya, mereka tidak mengharapkan apa-apa daripada saya dalam bentuk material. Namun apa yang mereka harapkan hanyalah agar saya bilamana pulang kelak ke bumi Malaysia ini akan terlibat dengan perjuangan Islam di Bumi Malaysia. Moga-moga Allah taala menetapkan saya dan ahli keluarga saya di dalam perjuangan Islam… dulu, kini dan selamanya.

Ust Yusainee sedang memulakan majlis

Generasi pelapis perjuangan memang sangat-sangat diperlukan sekarang. Khususnya yang pulang daripada lepasan Timur Tengah samaada Mesir, Syria, Yaman, Jordan dan lain-lain. Tidak cukup hanya sekadar itu sahaja, namun sepatutnya bagi para penuntut ilmu di Timur Tengah perlu mendalami sedalam-dalamnya ilmu-ilmu Islam secara sebenar. Bukan hanya berpada dengan kuliah di bilik-bilik Universiti dan di bilik-bilik tidur masing-masing.

dari kiri : al-Fadhil Ust Zulkifli al-Syathiri al-Yamani ( Mudir Maahad al-Syathiri Sg Dedap), al-Fadhil Ust Aminuddin ( Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah), al-faqir, al-Allamah Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-banjari al-Makki,al-Fadhil Ust Nasir, dan Tuan Guru Haji Johari

Sedikit ingin saya kongsikan tentang apa yang saya perkatakan pada Majlis bersama Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-banjari hafizahullah. Saya diberikan masa lebih kurang 25 minit untuk berbicara disisi Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah.

Dalam masa tersebut, saya cuma mengulas apa yang tersirat disebalik ayat Allah taala di dalam surah al-Isra’ yang berbunyi :


Perkataan pertama yang disebutkan oleh Allah taala di dalam ayat tersebut adalah Subhana . Seolah-olah Allah taala ingin menyucikan pemikiran sebahagian golongan yang tersalah di dalam memikirkan tentang kebesaran Allah taala dengan mengatakan bahawa Allah berada di langit ketika itu. Sedih bilamana mendengar sebahagian orang menyebutkan bahawa Allah taala di langit berdalilkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Aqidah Allah taala tidak bertempat perlu diterapkan di dalam pemikiran masyarakat.

Ya , Syaikhuna al-Allamah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti hafizahullah pernah mengeluarkan fatwa jika kanak-kanak bertanya kepada ibu bapanya “ Di Mana Allah?” maka dibenarkan untuk menunjukkan ke atas. Ini kerana akal kanak-kanak tidak mampu untuk berfikir jika kita katakan bahawa aqidah sebenar adalah Allah taala tidak memerlukan tempat kerana tempat itu adalah makhluk.

Maksudnya , Syaikhuna Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti ingin menjelaskan secara tidak langsung bahawa golongan yang mengatakan bahawa Allah taala di langit ini maka iman dan akalnya tidak jauh berbeza seperti seorang kanak-kanak sahaja walau mereka telah mempunyai pangkat yang tinggi di dalam pendidikan dunia samada PHDnya atau Sarjananya. Allahu Allah.

Asas aqidah sebegini sangat penting bagi memastikan perjuangan Islam selari dengan neraca yang sebenar. Jika aqidah Allah taala berada di atas Arasy dan berada di langit masih dipegang oleh kelompok ini , maka bagaimana ingin mendapatkan kembali Tanah Palestin yang tercinta? Jika kita kaji dan lihat semula sejarah kejayaan umat Islam didalam pembukaan Tanah Suci Baitul Maqdis maka sudah tentu ianya didasari dengan asas aqidah yang benar.

Sultan Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah, pembuka kota Baitul Maqdis adalah seorang ulama yang berpegang dengan aqidah Islam beraliran al-Asya’ri. Manakala Sultan Muhammad al-Fatih rahimahullah , pembuka kota Kostantinopel pula adalah seorang ulama yang berpegang dengan aqidah Islam beraliran al-Maturidi. Maksudnya , jika ingin menjadi seperti mereka, maka aqidah kita juga seperti mereka.

Inilah aqidah Salafussoleh terdahulu. Aqidah yang berpegang dengan mengatakan bahawa Allah taala tidak bertempat kerana tempat itu adalah makhluk, dan Allah taala juga tidak berada di mana sahaja dengan zatnya. Ini kerana jika kita mengatakan Allah taala di mana-mana sahaja juga tidaklah tepat kerana perkataan “mana-mana” itu sendiri merujuk kepada arah dan tempat. Maka ini juga mustahil bagi Allah taala. Jadi kita beriman bahawa Allah taala wujud tanpa memerlukan kepada tempat. KeagunganNya menyebabkan Dia tidak memerlukan kepada sesiapa.

Asas aqidah sebegini sangat-sangat penting. Alhamdulillah sepanjang sesi perjalanan dakwah saya di Kuala Lumpur, saya lihat masih ramai yang berpegang dengan aqidah beraliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah ini. Alhamdulillah.

Doakan saya semoga dapat menyampaikan pengajian dengan baik dan mudah untuk difahami. Sama-sama kita ingatkan diri kita, kita belajar bukan untuk diri kita sahaja, namun kita belajar untuk membantu perjuangan Islam kelak. Jangan tanya apa yang perjuangan Islam boleh berikan kepada kita jika kita terlibat kelak, namun tanya kepada diri kita sendiri apa yang mampu kita sumbangkan kepada perjuangan itu sendiri.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu di al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Seksyen 8 , Bangi ,
Selangor Darul Ehsan

Rabu, 16 Jun 2010

Doakan Perjalanan Pulang Saya..

Berbaki satu jam setengah lagi sebelum saya berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mesir. Semalam bersamaan 15 Jun 2010 , ramai sahabat yang datang menjenguk diri al-faqir sebelum perpisahan sementara esok hari. Mesej Pesanan Ringkas (SMS) juga banyak saya terima daripada sahabat-sahabat yang mendoakan semoga perjalanan saya selamat sampai ke tanah air tercinta. Pegawai Kebajikan Anak-Anak Kedah Timur Tengah , Tuan Syeikh Yusoff Hj Ahmad aka Abah , juga sanggup datang menjenguk saya sebelum pulang sebentar tadi.

Ucapan terima kasih tidak terhingga sahaja yang mampu saya ucapkan kepada semua sahabat-sahabat terutama kepada sahabat-sahabat seperjuangan barisan kepimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) serta Hewi MKKK yang banyak memberikan semangat dan bantuan kepada saya sepanjang taklifan sebagai Pemangku Yang Dipertua MKKK bagi sesi ini. Maafkan saya jika tidak mampu menjadi qudwah terbaik kepada kalian semua. Saya akan tetap mendoakan agar kalian mampu membawa bahtera MKKK dengan sebaik mungkin walaupun dengan ketiadaan jiwa saya di sini. Namun roh perjuangan saya tetap bersama kalian.

Tidak dilupakan juga kepada seluruh ahli MKKK. Maafkan saya jika ada kesalahan dan keterlanjuran bicara saya sepanjang menjadi ketua kepada kalian semua. Saya gembira dengan sikap kalian yang tidak segan untuk menegur jika saya ada melakukan perkara yang bersalahan dengan perkara yang sepatutnya. Saya mengharapkan agar kalian dapat memberikan bantuan dan sokongan serta dokongan yang sepenuhnya kepada kepimpinan MKKK. Kami tidak akan mampu berdiri tanpa bantuan dan sokongan kalian semua.

Terima kasih juga kepada ahli rumah saya, Along, Ajmal, Hafifi, Faiz, Hasrul, Bro Hafiz, Mad & Faizal ( Tukang Masak Profesional ), Mat Taqi, dan Basyir yang sudi berkongsi susah senang bersama saya sebelum menamatkan zaman bujang ini. Hehe.. Hanya Allah taala sahaja yang mampu membalas jasa kalian.

Tiga hari sebelum pulang saya sudah menerima banyak jemputan makan di rumah sahabat-sahabat. Jazakallah Khairan Jaza’ saya ucapkan kepada kalian di atas kesudian menjamu makan al-faqir ini. Sahabat-sahabat daripada Terengganu , Ust Manan, Ust Salikin, Ust Syukri, Ust Hares, Ust Muzani, Ust Jihad dan sahabat-sahabat pengajian agama dan perubatan yang sudi makan bersama-sama sebelum pulang saya ucapkan jutaan terima kasih. Hanya Allah taala jualah yang mampu membalasnya.

Sempat juga saya menelefon Syaikhuna Murabbi al-Allamah Dr Yusri Rushdi hafizahullah pagi ini bagi memaklumkan bahawa saya akan pulang kurang lebih 2 jam daripada jam tersebut. Alhamdulillah , Syaikhuna mendoakan dan gembira dengan berita saya. Malah saya tidak menyangka bahawa Syaikhuna telah membuat pengumuman di Masjid al-Asyraff baru-baru ini bahawa saya akan pulang ke tanah air. Malah beliau mendoakan sambil diaminkan oleh seluruh hadirin sebelum bermulanya pengajian Khasais al-Kubra karangan al-Imam al-Suyuti rahimahullah. Saya sudah tentu akan merindui pengajian dan bimbangan rohani daripada Syaikhuna Murabbi kelak. Walaupun 3 bulan sahaja saya akan pulang, namun tetap akan dirasakan lama tempoh tersebut kerana banyak kelas pengajian di sini terpaksa saya tangguhkan. Namun para masyaikh saya seperti Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq al-Daqqaq, Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari, Syaikhuna al-Allamah Dr Ahmad Hajain, Syaikhuna al-Allamah Muhammad Mamduh hafizahullah, mendoakan kepulangan saya. Moga keredhaan mereka mengiringi perjalanan pulang saya kelak.

Semalam saya menyempatkan diri untuk bertandang menjenguk cucu kesayangan Baginda sallallahu alaihi wasallam , Saidina Hussain bin Ali alaihima al-salam wa radhiyallahu anhuma. Rasa tidak akan lengkap perjalanan pulang saya jika tidak menjenguk kekasih-kekasih Allah taala ini. Moga-moga Saidina Hussain mengenali diri al-faqir ini dan mendoakan keselamatan al-faqir kelak di bumi Malaysia.

Saya mengharapkan kepada sahabat-sahabat semua agar mendoakan saya dipermudahkan urusan dan dapat menyampaikan ilmu dengan baik di bumi Malaysia kelak.


Saya akan bertolak jam 12.15 tengah hari ( 16/6/10) daripada Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang pada jam 9.30 pagi ( 17/ 6 / 10 ). Tak sabar nak mencium tangan ibu dan ayah tercinta.

InsyaAllah jika diizinkan Allah taala , kita akan bertemu semula. Siiru A’la Barakatillah.

Mohd Nazrul Abdul Nasir,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...