Sabtu, 15 Mei 2010

Persoalan Talak.. Penyelesaiannya

Terima kasih kepada Merpati yang bertanyakan soalan berkenaan dengan talak kepada saya. Saya memohon kepada Allah taala semoga diberikan kefahaman yang benar ketika menjawab persoalan yang dikemukakan.

****

SOALAN PERTAMA

Seorang suami melafazkan talak seperti mengucapkan : Aku ceraikan kau..aku ceraikan kau..aku ceraikan kau..aku ceraikan kau..dan kesemuanya disebutkan di dalam satu majlis..dengan perasaan marah...adakah lafaz lebih daripada 3 kali itu jatuh kepada talak 1 atau 3?

JAWAPAN :

Talak telah terjadi dengan melafazkan lafaz talak secara jelas seperti “Aku Ceraikan Engkau”. Manakala masalah melafazkan talak secara berulang-ulang kali di dalam satu majlis adalah dikira mengikut bilangan lafaz tersebut berdasarkan mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu. Jika seorang suami melafazkan talak secara jelas sebanyak lebih daripada 3 kali maka yang dikira hanyalah tiga sahaja manakala yang selebihnya dianggap sia-sia.

Perasaan marah ketika melafazkan talak tidaklah diambil kira. Ini kerana kebiasaannya, talak akan dilafazkan sememangnya ketika marah.

Seseorang pernah bertanya kepada Saidina Uthman bin Affan radhiyallahu anhu : “ Aku telah mentalakkan isteriku sebanyak 100 kali, bagaimana Ya Amirul Mukminin?” Maka Saidina Uthman radhiyallahu anhu menjawab : “ Tiga talak yang pertama telah mengharamkan hubunganmu dengan isterimu manakala 97 yang selebihnya hanyalah permusuhan di antara dirimu dan isterimu” .

Perkara yang sama pernah ditanyakan kepada Saidina Ali bin Abi Talib radhiyallahu anhu wa alaihi al-salam.

****

SOALAN KEDUA

Apabila suami sedar dan ditanya tentang lafaz tersebut..maka suami mengatakan bahawa dia tidak melafazkan apa-apa lafaz talak pun..jadi adakah jatuh talak tersebut?? dan apabila dibawa permasalahan di hadapan qadi..suami tidak mengaku bahawa dia ada menyebutkan lafaz talak..jadi macamana ye Ustaz?

JAWAPAN

Jika si isteri mendengar dengan jelas bahawa si suami telah mentalakkan dirinya sebanyak 3 kali tetapi si suami tetap mengingkarinya maka pendapat yang diterima adalah pendapat si suami. Maka si suami perlu mengakui di hadapan Qadhi bahawa dia tidak melafazkan cerai dan perlulah bagi si suami untuk bersumpah di hadapan qadhi.

Namun para ulama Syafieyah mengatakan bahawa si isteri yang mendengar perkataan tersebut secara jelas perlulah menjauhkan diri daripada suami sekadar kemampuannya dan tidak membenarkan dirinya disentuh oleh suaminya untuk disetubuhi.

****

SOALAN KETIGA

Isteri ditalak sewaktu hamil..haram hukumnya..tapi apabila dia rujuk kembali..adakah berkurang 1 koata talak suami apabila lahirnya anak itu?

JAWAPAN

Pertamanya : Perlu diperbetulkan, talak ketika seseorang perempuan tersebut di dalam keadaan hamil tidaklah haram. Malah kata para ulama talak kepada seorang perempuan hamil , kanak-kanak serta perempuan yang sudah terlalu tua tidak langsung termasuk di dalam kategori talak sunni atau bid’ie.

Kedua : 1 koata talak suami tetap akan berkurang apabila lahirnya anak tersebut.

****

SOALAN KEEMPAT

Isteri ragu-ragu tentang lafaz suami..selalu sebut lafaz.. “Apakata kita bercerai talak 1?atau..nak ke kita bercerai talak 1?”Adakah jatuh talaknya ustaz?

JAWAPAN

Ini disebutkan oleh para ulama sebagai talak ta’liq. Maka jika si isteri bersetuju dengan mengatakan “ Nak” maka akan jatuhlah talak satu tersebut. Jadi janganlah bermain-main dengan lafaz talak tersebut.

****

SOALAN KELIMA

Di dalam telefon..suami sedang marah..isteri seperti mendengar kata-kata suami seperti menceraikannya..tapi apabila ditanya pada suami ..suami mengatakan bahawa dia tidak melafazkan talak..jadi macamana ustaz?kerana hati si isteri ragu-ragu..

JAWAPAN

Persoalan ini juga berkaitan dengan perbezaan pendapat di antara suami isteri adakah si suami melafazkan talak atau tidak kemudiannya dinafikan oleh si suami.

Para ulama mengatakan bahawa , di dalam permasalahan sebegini pendapat yang diterima adalah pendapat di bahagian suami dan suami tersebut perlulah bersumpah bahawa dia tidak melafazkan talak ketika berbicara di dalam telefon tersebut.

Berkemungkinan si isteri hanya menyangka bahawa ianya terdengar lafaz talak namun hakikatnya adalah sebaliknya. Maka perkahwinan tersebut adalah seperti biasa.

****

SOALAN KEENAM

Suami pernah melafazkan talak..tetapi lupa sudah berapa kali melafazkannya..dihadapan qadi pun masih tidak ingat berapa kali..jadi talak itu jatuh kepada talak berapa?adakah kembali kpd yang sedikit?

JAWAPAN

Berdasarkan persoalan ini, jelas menunjukkan bahawa si suami pernah melafazkan talak tersebut namun selepasnya terlupa bilangan talak yang diucapkan.Maka kata para ulama al-Syafieyah , jika berlaku sedemikian ianya akan dikembalikan kepada bilangan yang paling sedikit. Maksudnya jika si suami keliru sama ada pernah menjatuhkan talak satu atau dua maka diambil kira talak satu tersebut.

Namun wara’ di dalam permasalahan ini adalah lebih baik untuk menjaga agama dan maruahnya. Jika mengikut hukum wara’ maka si suami perlulah mengambil kira yang paling banyak bilangannya.


****


Semoga Merpati dan sahabat-sahabat sekalian dapat mengambil manfaat daripada apa yang disampaikan. Saya berharap agar yang bertanyakan soalan selepas ini dapat menggunakan nama sebenar atau nama manusia. Ini kerana, bilamana saya menulis seolah-olah saya menjawab soalan kepada seekor burung merpati yang comel..hehe.. bergurau.. jangan marah ye merpati.

Rujukan :

المعتمد في الفقه الشافعى 4/135-169 للأستاذ الدكتور محمد الزحيلي

الطلاق للأستاذ الدكتور أحمد الحجي الكردي

حاشية الإمام المحقق إبراهيم الباجوري على فتح القريب المجلد الثاني

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

Khamis, 13 Mei 2010

Ini Manhaj Azhari Sebenar... Jangan Sekadar Mendakwa-Dakwi

Ramai orang pada zaman sekarang suka mendakwa-dakwi itu dan ini bagi membenarkan kelompok dan pegangan rapuh yang mereka dokongi. Lebih melucukan ada dikalangan pihak-pihak ini yang menafikan bahawa mereka adalah termasuk di dalam kelompok tersebut dengan melakukan penafian demi penafian walau semua orang sudah mengetahuinya. Malu mengaku bahawa mereka adalah golongan Wahabi maka mereka meletakkan nama mereka sebagai Salafi. Begitulah kelompok kekeringan manhaj dan pegangan. Tidak tetap pendirian.

Geli hati bilamana ada golongan yang meminta agar saya tidak membenci golongan wahabi dan turut meminta agar saya tidak terlalu membela para ulama Sufi. Saya ingin bertanya , dan saya minta kepada golongan ini untuk menjawab :

“ Boleh Tuan tunjukkan dimanakah perkataan saya yang menunjukkan bahawa saya terlalu membenci wahabi?”

Saya cuma menegur dan memberikan jawapan terhadap kebobrokan pemikiran yang mereka bawa. Mengkritik dan memberikan hujah semata-mata. Jika ini dinilai bahawa saya membenci golongan wahabi maka ini ternyata penilaian yang dangkal dan tidak professional. Jika seorang sahabat mengkritik hasil kerja sahabatnya yang lain, adakah ini bermakna pengkritik tersebut membenci sahabat yang dikritiknya? Hasil kritikan itulah yang menyebabkan seseorang itu akan menjadi lebih maju dan mencari kebenaran . Bukannya menutup mata dan hati daripada menerima kebenaran walaupun sudah disajikan di depan mata. Allahu Allah.

Seperkara lagi , mereka juga sudah berani mengaku bahawa mereka juga mengetahui manhaj al-Azhar al-Syariff. Sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang paling jauh daripada manhaj tersebut. Jika benar mereka mengetahui tentang manhaj tersebut, sekali lagi saya ingin bertanya:

“ Di manakah kamu (yang mendakwa bahawa cukup memahami manhaj al-Azhar al-Syariff) mengambil manhaj tersebut?”

Jangan sekadar mendakwa, tunjukkan bukti di mana dan daripada siapa yang kamu perolehi perkara tersebut?

* * *

Baru-baru ini, setelah tamat pembacaan kitab Hadis 40 al-Imam al-Nawawi rahimahullah oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Muhammad Ibrahim Abd Ba’ith al-Kattani al-Husaini hafizahullah di Rumah Kedah , saya bersama sahabat-sahabat yang hadir pada malam tersebut sempat bersembang-sembang dengan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari ( lihat gambar di atas ) berhampiran kereta beliau. Sambil berbicara , Syaikhuna al-Muhaddis terus menuju ke bahagian belakang kereta beliau lalu mengeluarkan sebuah risalah yang cukup menarik cetakannya lalu menyerahkan risalah tersebut kepada Ust Khairul Abdan , selaku Ketua Badan Ilmiyah Majlis Kebajikan Keluarga Kedah ( MKKK ). Syaikhuna menyampaikan pesanan agar tidak difotostat risalah tersebut. Pihak MKKK bercadang untuk meletakkan risalah tersebut di Maktabah MKKK.

Inilah Risalah karangan Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah Sayyid al-Azhari hafizahullah

Saya membelek-belek helaian demi helaian risalah tersebut. Risalah yang diberi nama :



Dikarang sendiri oleh Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri.

Sudah lama saya menantikan tulisan berkenaan Manhaj al-Azhar al-Syarif daripada sentuhan ulamanya sendiri. Alhamdulillah , kini ianya benar-benar ada di depan mata saya sekarang.

Alhamdulillah, Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullah sendiri memberikan keizinan kepada saya untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu . Semoga Allah taala memberikan kekuatan untuk al-Faqir menterjemahkannya sehingga selesai.

Syaikhuna al-Allamah mengatakan berdasarkan pemerhatian dan penelitian beliau sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di al-Azhar al-Syariff, beliau dapat simpulkan bahawa ciri-ciri utama bagi pembinaan jati diri seorang Azhari adalah terbina daripada 8 ciri serta manhaj utama:

1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka(yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu dengan 1) berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas, 2) mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut, 3) mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain . Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya .

Inilah manhaj yang dipegang dan sepatutnya difahami secara lumat oleh penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Jika perkara sebegini tidak lagi difahami dengan baik, maka janganlah mengaku pandai serta menuduh orang lain berlagak sombong sedangkan hakikat sebenarnya merekalah yang berlagak sombong tersebut.

Semoga semua dapat mengambil manfaat .

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah, Mesir

p/s : Saya cuma menterjemahkan isi penting di dalam risalah tersebut sahaja, bukan keseluruhannya. Terjemahan secara keseluruhannya akan dimasukkan di dalam risalah Syaikhuna nanti bilamana cetakan pelbagai bahasa dikeluarkan.

Selasa, 11 Mei 2010

Beradablah Selagi Diberikan Peluang Oleh Allah taala

Benarlah kata-kata para ulama “ Seseorang tersebut akan menjadi musuh kepada perkara yang tidak diketahuinya”. Hanya kerana tidak mampu memahami kalam para ulama sufi dengan baik maka terus ditohmah dan dicerca malah ditaburkan fitnah bahawa para ulama sufi adalah golongan yang sesat. Tidak dinafikan bahawa sebahagian ucapan para ulama sufi menimbulkan tanda tanya kepada yang membaca dan mendengarnya. Namun , sikap professional yang sebenar jika tidak memahami bukanlah dengan melemparkan tuduhan tetapi bertanya kepada yang memahaminya. Siapakah yang mampu memahami kalam-kalam mereka? Maka jawapannya sudah tentulah golongan yang menceburkan diri di dalam bidangnya.

Layakkah bagi saya yang tidak mendalami ilmu perubatan akan mencerca dan menempelak bilamana saya tidak mampu memahami bahasa yang digunakan oleh para ilmuan di dalam bidang kedoktoran? Adakah disebabkan saya tidak memahaminya maka saya akan mengatakan bahawa ilmu kedoktoran ini adalah sesat lagi menyesatkan? Saya kira, orang gila juga akan mengatakan bahawa golongan yang berpendapat sedemikian adalah lebih gila daripada dirinya.

Pagi ini saya membelek helaian demi helaian kitab Fatawa al-Hadithiyah karangan ulama besar Islam yang bermazhab Syafie , al-Imam al-Allamah al-Muhaddis al-Sufi Syaikhul Islam Ahmad Syihabuddin bin Hajar al-Haitami al-Makki radhiyallahu anhu (909- 974 H). Kitab ini diperakui oleh para ulama mempunyai nilai ilmu yang cukup tinggi. Di dalamnya, al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menjawab segala persoalan yang terkadang kita merasakan ianya agak pelik namun mampu dijawab oleh beliau dengan hujjah ilmiyyah yang cukup mantap.

Antara soalan yang menarik perhatian saya adalah berkenaan tohmahan sebahagian ulama terhadap golongan ulama sufi, serta bagaimanakah keadaan mereka ?

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menjawab bahawa tidaklah sepatutnya bagi seseorang tersebut mengingkari serta meletakkan kebencian kepada para ulama sufi. Ini kerana ianya umpama racun yang mampu membunuh jiwa si pencaci itu sendiri. Ini terbukti dengan perkara-perkara yang disaksikan sendiri oleh umat pada ketika itu berlaku kepada pembenci golongan sufi ini.

Al-Imam Ibn Hajar menceritakan bahawa terdapat seorang ulama yang cukup membenci seorang wali Allah taala .Ulama tersebut bernama Ibn al-Saqqa’ . Sejarah membuktikan bahawa Ibn Saqqa’ kemudiannya mati di dalam keadaan kafir nau’zubillahi min zalik. Ketika Ibn al-Saqqa’ di dalam keadaan nazak, setiap kali orang memalingkan wajahnya ke arah kiblat maka dia akan berpaling membelakanginya. Begitulah seterusnya sehinggalah dia mati di dalam keadaan berpaling wajahnya daripada kiblat. Ibn al- Saqqa’ adalah merupakan seorang yang sangat alim pada zamannya malah seorang yang sangat cerdik serta masyhur. Namun akhirnya dia memeluk agama Kristian.

al-Imam Ibn Hajar juga menceritakan bahawa al-Imam al-Arifin Sultan al-Auliya’ al-Syeikh Abdul Qadir al-Jilani radhiyallahu anhu bersama dua lagi sahabatnya pernah bertandang ke rumah seorang wali Allah taala. Kedua-dua sahabat yang datang bersama al-Imam Abdul Qadir tidak menjaga adab ketika bersama dengan wali Allah tersebut maka mereka tidak mendapat keberkatan di dalam hidup mereka. Namun al-Imam Abdul Qadir al-Jilani cukup menjaga adab maka berkat adab yang ditunjukkan , wali Allah taala tersebut mendoakan agar Allah taala menjadikannya salah seorang wali Allah taala malah mencapai peringkat al-Qutb.

Salah seorang ulama sufi lagi arif billah mengatakan bahawa : “ Sekurang-kurang balasan kepada seseorang yang membenci orang-orang soleh di sisi Allah taala adalah dengan diharamkan bagi mendapatkan keberkatan”.

Kata mereka lagi : “ Dibimbangi golongan sebegini akan mati di dalam keadaan yang tidak baik, semoga Allah taala melindungi kita daripada ketentuan yang tidak baik di akhir kehidupan kelak”.

Para ulama mengatakan bahawa : “ Tidaklah Allah taala mengisyhtiharkan perang kepada sesuatu maksiat melainkan kepada golongan yang memerangi para wali Allah taala serta para pemakan riba. Setiap daripada dua golongan ini sentiasa dibimbangi akan mati di dalam keadaan yang tidak baik . Ini kerana Allah taala tidak akan mengisytiharkan perang melainkan kepada golongan kafir”.

Allahu Allah… Semoga kita semua tidak termasuk di dalam golongan yang membenci para ulama sufi .

INGATAN BERSAMA

Perlu diingatkan bersama, kami yang mempelajari manhaj al-Azhar al-Syariff tidaklah suka mengkafirkan golongan yang berbeza pendapat dengan kami sewenang-wenangnya. Malah para guru kami tidak pernah mengajarkan kepada kami untuk mengkafirkan golongan Salafi aka Wahabi . Golongan wahabi aka salafi ini adalah golongan yang terlalu bersemangat serta tidak mempunyai manhaj yang jelas. Disebabkan itulah mereka terlalu cepat meletakkan hukum itu dan ini kepada manusia umumnya terutama kepada sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka. Golongan ini perlu diberikan tunjuk ajar yang terbaik. Pendekatan bergaduh serta mencaci maki di antara satu sama lain tidaklah dituntut di dalam Islam.

ajarlah anak-anak kita semua beradab dengan para ulama

Semoga semua dapat mengambil manfaat daripada tulisan ringkas saya kali ini. Saya tidaklah menterjemahkan satu persatu fatwa al-Imam Ibn Hajar tersebut. Sekadar berkongsi sedikit sebanyak apa yang terdapat di dalamnya.

Beradablah selagi diberikan peluang oleh Allah taala, bimbang menyesal di kemudian hari.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...