Khamis, 29 Oktober 2009

“ Apakah Yang Akan Kamu Lakukan Jika Diberi Peluang Sebentar Jua Bersama Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam?”

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Layakkah kiranya diri ini berada walau sebentar di hadapan tubuh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia itu?

Adakah Baginda sallallahu alaihi wasallam akan memandang kepada wajah yang penuh dosa dan noda ini?

Pagi ini, hati al-Faqir sebak bilamana melihat satu siaran televisyen Arab melalui internet. Soalan yang ditanyakan oleh jurubicara rancangan tersebut begitu menggugah jiwa. Soalannya mudah dan ringkas namun jawapannya amat sukar diungkapkan. Soalannya :

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Demi Allah, Tuhan Sekalian Alam, al-Faqir benar-benar rindukan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sewaktu menulis perkara ini. Seseorang tidak malu untuk menungkapkan sayang dan rindunya kepada kekasihnya. Tapi mengapa perlu malu untuk kita mengungkapkan rindu dan sayang kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam? Malah Baginda sallallahu alaihi wasallam lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada alam keseluruhannya.

Ya Rasulallah, Demi Allah, al-Faqir benar-benar cemburu dengan para Sahabatmu yang setiap masa dan ketika menatap wajahmu yang mulia disamping memberikan khidmat kepadamu.


Al-Faqir benar-benar cemburu dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu anhuma yang seringkali berada di sampingmu. Berlapar dan dahaga bersamamu, mengikat perut dengan batu bersamamu, bersusah senang bersamamu. Ingin benar al-Faqir menjadi orang yang mula menghunuskan pedang mempertahankanmu bilamana dirimu dipersenda. Ingin sekali al-Faqir membantu puterimu Saidatina Fatimah al-Zahra’ kekasihmu dan kekasih umat seluruhnya membuang kotoran daripada perut kambing yang diletakkan diatas tengkukmu ketika dikau solat di Kaabah al-Musyarrafah.Ingin sekali al-Faqir memancung kepala lelaki cabul Quraisy yang meletakkan kotoran itu di atas badanmu yang mulia.

Ya Rasulallah, Setiap kali membaca kalammu, al-Faqir membayangkan seolah-olah dirimu sedang berbicara dengan diri yang penuh noda ini.Namun , terkadang al-Faqir terfikir, layakkah mulut kotor ini membaca kalammu yang mulia? Layakkah hati kotor ini menyimpan khazanahmu yang mulia?

Al-Faqir tahu, Dikau mengetahui apa yang al-Faqir rintihkan pada hari ini. Kami hari ini tidak mampu untuk masuk ke maqammu dan meletakkan pipi kami yang hina di atas maqammu yang mulia sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Abu Ayyub al-Ansori radhiyallahu anhu dek kerana terlalu rindukan dirimu Ya Habiballah.

Terlalu banyak yang ingin al-Faqir rintihkan dan maklumkan kepadamu Ya Rasulallah.Namun coretan terlalu ringkas dan hati tidak mampu meluahkan semuanya.

Al-Faqir sangat-sangat berharap sebelum mata ini terpejam rapat moga dapat walau sekejap jua dapat menatap wajahmu . Hanya itu sahajalah yang mampu menenangkan jiwa kosong al-faqir ini sebelum dijemput bertemu Rabbul Jalil.

Moga cinta dan sayangku kepadamu Ya Rasulallah , cinta yang berbalas. Janganlah Dikau palingkan wajahmu yang mulia daripada al-Faqir ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir

Selasa, 27 Oktober 2009

Pengajian Bulughul Maram Di Syubra Sudah Bermula

26 Oktober 2009 - Dauran Shoubra - Pihak DPM [MAQAZ] Shoubra di bawah kelolaan Unit Pengetahuan dan Pendidikan telah menganjurkan kembali kelas pengajian Kitab Hadis, Bulugh Maram yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nazrul bin Abdul Nasir. Kelas pengajian hadis ini telah tertangguh sejak beberapa bulan yang lepas disebabkan fatrah peperiksaan dan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Kelas pengajian yang sekian lama telah dijalankan ini membincangkan tentang hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum hakam. Pembentang juga mensyarahkan hadis-hadis menurut pandangan ulama mazhab yang empat serta permasalahan-permasalahan mengikut keadaan semasa. Pihak DPM mengharapkan agar ahli DPM terus memberikan sokongan terhadap kelas pengajian ini dan kelas-kelas pengajian yang lain. Kelas pengajian ini akan berlansung pada setiap hari Isnin setiap minggu bermula jam 7.30 malam.

Sumber : [ Dewan Perwakilan Mahasiswa Syubra Mesir ]


Video Temuramah al-Faqir dengan Para Masyaikh al-Azhar al-Syariff

Di sini al-Faqir ingin sertakan sedikit temuramah al-faqir bersama para Masyaikh al-Azhar di ruang rehat selepas selesai Majlis Pembacaan Sahih Bukhari anjuran PMRAM tempohari.

Rakaman tersebut boleh dilihat di :

[ Temuramah Bersama Para Ulama al-Azhar al-Syarif ]


al-Faqir memohon maaf disebabkan tidak sempat untuk memasukkan tulisan terbaru. Rakaman ini juga tidak diterjemah. Sesiapa yang pandai berbahasa Arab dan rajin untuk menterjemahkan maka amat-amat dialukan.. :) Syukran Jazilan..

Terima kasih kepada pihak PMC PMRAM di atas rakaman yang diberikan.. dan Kredit untuk laman web KutubSittah PMRAM di atas video yang disediakan..

Tidak dilupakan juga kepada al-Fadhil Ust Zulikhwan al-Syabrawi di atas rakaman tersebut.. :) Semoga Allah taala jua yang membalasnya..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...