Rabu, 9 September 2009

Kenapa Suka Buat Perkara Yang diLarang Oleh Islam??

Kenapa suka pilih jalan tak elok macam ini??

Jawapannya : “ Nak buat macamana , dah memang Allah taala letakkan kami macam ni.Kami nak buat macamana?Taqdir bang..”

Inilah jawapan dan perkataan yang sering kita dengar terpacul keluar daripada mulut sesetengah masyarakat bilamana jalan hidup yang mereka pilih ternyata bertentangan dengan jalan yang Islam letakkan.

Mudah dan padat bagi mereka menggunakan jawapan sebegini.Tak perlu salahkan diri sendiri.Sebaliknya salahkan taqdir Allah taala kepada mereka.

Iblis pernah bertanya kepada Allah taala.

“ Ya Allah Ya Tuhanku, bukankah Engkau telah mengetahui bahawa aku akan diciptakan dan aku akan menderhakai perintahMu?”

Allah taala menjawab : “ Tentu sekali Aku mengetahui bahawa engkau akan diciptakan dan akan menderhakai perintahKu”

Iblis menyambung bicara : “ Jika engkau telah mengetahui bahawa aku akan menjadi hamba yang derhaka, mengapa engkau menciptakan aku dan akhirnya memasukkan aku ke dalam nerakaMu??”

Allah taala menjawab : “ Adakah kamu mengetahui bahawa kamu akhirnya akan menderhakai Aku? Kamu mengetahuinya setelah kamu menderhakai aku atau sebelum kamu menderhakai Aku??”

Iblis menjawab : “ Tentu sekali aku mengetahui bahawa aku menderhakaiMu setelah aku melakukan penderhakaan tersebut”

Allah taala menjawab “ Maka aku meletakkan hukuman ke atasMu setelahnya bukan sebelumnya”

Nah, kalau kita bicara dengan masyarakat awam dan sesetengah golongan terpelajar kononnya terkadang terkeluar juga perkataan seperti iblis ini tanpa mereka sedari.

Bila kita jumpa orang tengah berdua-duaan di taman bunga, bila ditanya kenapa suka berdua-duaan sebegini? Haram hukumnya kalau bukan suami isteri.

Terkadang jawapan yang diberikan “ Nak buat macamana , di dalam Lauh Mahfuz lagi Allah dah tulis bahawa kami berdua pada tarikh dan waktu ini akan berdua-duaan.Maka kami mengikut perintah Allah taala hakikatnya”

Orang sebegini perlu ditumbuk sahaja.Bila ditanya kepada kita, kenapa kamu tumbuk saya ?? Maka berikan semula jawapannya “ Nak buat macamana , Dah Allah taala dah letakkan dalam Lauh Mahfuz lagi bahawa saya memang akan tumbuk kamu pada hari dan waktu ini di Taman Bunga ini"

Ramai sangat yang suka sebut jawapan sebegitu.Tanpa sedar mereka hakikatnya telah mengikut sebahagian daripada ajaran Jabariah.Ajaran yang meletakkan bahawa Allah taala memaksa kita melakukan segalanya.Kita hanya diibaratkan seperti bulu burung yang berterbangan di udara yang hanya mengikut gerakan angin.Kalau ditiup ke kiri maka kita akan bergerak ke kiri.Kalau ditiup ke kanan maka kita akan bergerak ke kanan tanpa kehendak dan pilihan.

Golongan Jabariah jika mereka berzina maka mereka akan mengatakan bahawa kami hakikatnya telah diletakkan oleh Allah taala akan berzina pada hari ini.Maka kami Cuma mengikutinya dan menurut perintah Tuhan Kami.Kami hanya diibaratkan sebagai seorang pelakon yang hanya mendapat arahan daripada pengarah.

Jawapan kepada golongan sebegini sangat mudah.Tanyakan semula kepada mereka seperti yang ditanyakan oleh Allah taala kepada Iblis laknatullah.

Golongan sebegini hakikatnya ingin mempertikaikan Allah taala.Menyalahkan taqdir dan mempersoalkan kenapa kami perlu diseksa sedangkan Tuhan sendiri yang menjadikan perbuatan kami ini??.

Tanyakan semula kepada mereka “ Adakah kamu mengetahui sebelum ini bahawa kamu akan menjadi makhluk yang melakukan kejahatan?? Kamu mengetahuinya setelah kamu melakukan kejahatan atau sebelum melakukannya kamu telah melihat di Lauh Mahfuz bahawa pada tarikh dan waktu sekian-sekian kamu akan menjadi seorang yang jahat???”

Hakikatnya kamu hanya mengetahui bahawa kamu akan menjadi Mat Rempit setelah kamu terlibat dalam rempit.Kamu mengetahui bahawa kamu akan berzina dan melacur dengan seseorang setelah kamu melakukan perbuatan tersebut.Setelah kamu melakukan barulah kamu mengetahui bahawa Allah taala telah letakkan bahawa kamu akan melakukan perkara ini pada tarikh dan waktu tertentu.Kenapa tidak menjauhkan perkara sebegini sebelum kamu terlibat??

Kamu banyak buruk sangka dengan Allah taala.Oleh kerana itulah kamu dipersoalkan hasil buruk sangka dengan Tuhanmu sendiri.

Kalau kamu boleh menilik apa yang ada di Lauh Mahfuz,dan di dalamnya tertulis bahawa esok hari tepat jam 3 petang kamu akan berzina.Maka pada keesokkan harinya kamu melakukan perkara tersebut pada waktunya yang ditetapkan.Maka perbuatan zina tersebut bukan lagi dianggap maksiat.Malah dianggap ibadah kepada kamu kerana mentaati apa yang ditulis di Lauh Mahfuz.

Tapi persoalannya “ Kamu tahu ke apa yang ditulis kepada kamu di Lauh Mahfuz ?? Kamu tahu ke esok apa yang akan kamu lakukan??” Kalau tak tahu, amalkan apa yang Allah taala dan RasulNya suruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

Jangan buruk sangka lagi dengan Allah taala.Benarlah Firman Allah taala di dalam sebuah Hadis Qudsi :

أنا عند ظن عبدي بي

Maksudnya : Aku bersama dengan sangkaan hambaKu kepadaKu( jika baik sangkaannya kepadaKu maka aku akan letakkannya di dalam kebaikan , tapi jika sebaliknya maka dia akan memperolehi apa yang dia sangkakan).

Kembalilah semula kepada Akidah yang benar .Aqidah Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asyai’rah dan Maturidiyah.Jangan tanpa sedar kita telah menuruti jalan Jabariah yang dimurka oleh Allah taala.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

Isnin, 7 September 2009

Azhari Perlu Ubah Cara Berfikir..

Semasa saya mula sampai ke pangkuan al-Azhar al-Syarif pada 16 Oktober 2004, antara tempat yang mula saya jejaki adalah Masjid al-Azhar al-Syarif.Perasaan di dalam hati sejak mula menjejakkan kaki ke Bumi Barakah ini memang sudah dipasakkan untuk sebanyak-banyaknya bertalaqqi dengan para ulama di Bumi Kinanah ini.

Alhamdulillah niat dan azam saya ketika sebelum berangkat ke Mesir dimakbulkan Allah taala.Antara kelas pengajian yang saya ikut ketika tersebut adalah pengajian bersama Syeikh Dr Amru Wildani hafizahullah .Beliau mengajar kitab al-Tamhid Fi Takhrij al-Furu’ a’la al-Usul.Kitab yang saya akui sangat susah, tambahan saya baru saja sampai ke Mesir ketika tersebut.Antara guru-guru yang lain yang mengajar ketika tersebut adalah al-Alim Al-Allamah Syeikh Dr Ali Jum’ah hafizahullah , Mufti Mesir.Saya sempat mendengar daripadanya sebahagian kecil kitab Sunan Nasa’ie .Pengajian tersebut dilaksanakan setiap hari pada seawal 7 pagi.Maksudnya selepas solat Subuh maka saya perlu bergegas untuk ke Masjid al-Azhar bagi mengikuti pengajian di sana.

Saya juga sempat membaca sedikit kitab Majmu’ Syarah Muhazzab dengan Syaikhuna al-Allamah Dr Ahmad Hajain hafizahullah.Masih kuat diingatan saya, yang hanya hadir bersama membaca kitab Majmu’ tersebut hanyalah tiga orang, saya dan dua orang lagi kawan berbangsa Arab.Tapi sekarang, Syeikh Ahmad antara yang memiliki murid dan peminatnya sendiri yang cukup ramai dikalangan pelajar Melayu .

Ketika tersebut kelas tidak terlalu banyak seperti sekarang.Maksud saya kelas di masjid al-Azhar sendiri.Kalau ingin belajar lebih maka perlu untuk bertemu dengan Syeikh dan pergi belajar di rumah syeikh sendiri.Malamnya kami belajar kitab Fiqh Syafie bersama Syeikh al-Allamah Sayyid Syaltut hafizahullah.Namun sekarang, kelas pengajian di Masjid al-Azhar terlalu banyak.Sehingga terpaksa untuk saya membahagikan masa dan memilih kelas yang saya benar-benar melaziminya.Malah setelah kenal dan rapat dengan Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, maka saya lebih banyak bertumpu kepada pengajian yang disampaikan oleh beliau.

Satu perkara yang saya dapati ketika mula-mula sampai kesini ialah senario pelajar-pelajar Melayu yang berasal daripada Malaysia khususnya di dalam pengajian berbentuk talaqqi ini sangat mendukacitakan.Lebih banyak bermain dan berjalan-jalan berbanding memenuhkan masa untuk bersama para ulama.Tak hairanlah kalau orang ramai mengkritik keluaran al-Azhar sekarang tidak berkualiti seperti keluaran sebelum ini.


Pelajar wanita Malaysia antara yang paling terkebelakang di dalam masalah Talaqqi di Masjid al-Azhar pada ketika saya mula-mula sampai.Malah tidak keterlaluan saya katakan bahawa tiada langsung pelajar al-Azhar wanita Melayu yang berasal daripada Malaysia di Masjid al-Azhar untuk belajar dan mendengar majlis pengajian.Hanya saya dapati pelajar-pelajar wanita daripada Indonesia sahaja yang sering bertandang ke kelas para ulama di al-Azhar.

Pernah saya terfikir , kenapa mereka tidak langsung datang ke tempat mulia sebegini untuk menadah ilmu???.Malah sedikit wang pun tidak perlu dikeluarkan untuk belajar dengan para ulama di al-Azhar ini.Semuanya percuma.Free off Charge.Teringin untuk mewara-warakan kepada ustazah-ustazah al-Azhar ketika tersebut namun saya tidak punya cara.

Setelah dilantik menjadi kepimpinan di dalam Badan Pengurus PMRAM, maka bermulalah langkah saya mengajak para pelajar ke Masjid al-Azhar al-Syarif untuk menuntut ilmu di sana.Tambahan pula ketika tersebut, al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Hussain sendiri merupakan Presiden PMRAM.Malah beliau sendiri antara tenaga yang banyak membantu di dalam menjayakan misi Talaqqi di Masjid al-Azhar pada ketika tersebut.

Memang sudah diketahui bahawa tugas sebagai kepimpinan yang memegang amanah seluruh anak Malaysia di Bumi Mesir yang hampir 7000 pelajar bukanlah satu tugas yang mudah.Perlu komitmen yang tinggi.Alhamdulillah Ustaz Hairul Nizam selaku Presiden sangat-sangat memahami bahawa saya adalah orang yang akan mendahului kelas pengajian di Masjid al-Azhar berbanding yang lain.Malah beliau juga sebegitu.

Saya teringat pada ketika mula-mula dilantik menjadi Badan Pengurus, ketika sedang berjalan dengan Ustaz Hairul menuju ke Pejabat PMRAM setelah selesai solat Isya’ di Masjid Nur.Beliau bertanya kepada saya:

Macamana Ust Nazrul setakat sekarang menjadi Badan Pengurus?, Waktu pengajian terganggu atau tidak??

Alhamdulillah setakat ini tiada lagi yang terganggu.Cuma kadang-kadang terasa agak berat” saya menjawab.

Ustaz Hairul menyambung percakapannya “ Emm, memang tugas sebagai Badan Pengurus berat, namun sebenarnya tugas sebeginilah yang akan membantu kita untuk lebih mengurus masa.Pengajian sangat penting.Ana sendiri ketika selalu bertalaqqi di Masjid al-Azhar pernah ada orang yang menyindir mengatakan bahawa kita lebih mementingkan diri berbanding persatuan.Ana tanya kembali kepada orang yang mengatakan sedemikian, adakah terdapat istilah belajar untuk diri sendiri? Talaqqi untuk diri sendiri?? Kita akan pulang sebagai jentera penggerak perjuangan Islam.Kalau tidak punya ilmu yang benar-benar mantap, bagaimana untuk kita membantu perjuangan??Sekadar berceramah? Kalau sekadar untuk pandai berceramah tak perlu datang ke sini

Panjang lebar Ustaz Hairul menerangkan kepada saya.Sangkaan saya semakin kuat bahawa persatuan bukanlah menghalang untuk seseorang tersebut belajar dan bertalaqqi.Kepimpinan yang tidak bertalaqqi hanyalah mencipta alasan untuk tidak mahu bertandang ke sana.

Kalau kepimpinan sering bertalaqqi, maka yang tidak menjadi kepimpinan lebih-lebih lagi perlu dan wajib bertalaqqi.Kita di sini banyak buang masa. Tapi semasa balik ke Malaysia berserban besar , berjubah dan bertasbih menipu orang-orang yang benar-benar berbaik sangka dengan kita di sini.Kononnya belajar, hakikatnya yang sering dilakukan hanyalah tidur, makan, dan main.Itu sahaja.Ilmu diambil daripada dada para ulama bukannya daripada helaian kertas semata-mata.

Berbalik kepada pelajar wanita Malaysia di al-Azhar al-Syarif.Dahulunya cukup payah malah tiada langsung ustazah yang belajar di Masjid al-Azhar.Namun sekarang Alhamdulillah, semakin ramai wanita bertudung labuh,bertubuh wanita Asia yang datang memenuhi majlis pengajian di Masjid al-Azhar.Saya tidak mengatakan bahawa saya dan Ustaz Hairul yang merintis perkara ini.Namun kami memohon kepada Allah taala moga pahalanya akan turut mengalir kepada kami.
Gembira sangat bila melihat ustazah-ustazah memenuhi Masjid al-Azhar.Sebelum ini, kelibat ustazah hanya boleh dilihat di kedai-kedai buah, kedai runcit, Khan Khalili( tempat beli barang untuk pulang ke Malaysia) , lapangan terbang antarabangsa dan kawasan-kawasan yang sekitarnya.Bagaimana ustazah-ustazah nak berjuang menegakkan Islam bila pulang kelak??Namun itu dulu, sekarang suasana sudah berubah.

Sebab itu saya sangat pelik jika masih terdapat golongan yang tidak membenarkan untuk ustazah-ustazah pergi belajar.Kalau kelas pengajian pada waktu malam sekalipun apa salahnya jika kita benarkan untuk mereka pergi.Dengan syarat punya pengiring di kalangan ustaz-ustaz.Kalau ke lapangan terbang, kita benarkan pula mereka beramai-ramai pergi dan balik lewat malam.Namun kenapa ke Kelas para Masyaikh kita tidak benarkan??Bukannya pergi bersendiri dan jalan seorang diri.Mentaliti sebegini perlu diubah.Mereka juga akan pulang sebagai jentera pengerak dakwah.Oleh sebab itulah , Syaikhu Syaikhina, Al-Allamah Muhaddis, Musnid al-Dunya Syeikh Yassin al-Fadani rahimahullah sendiri menubuhkan pusat pengajian untuk wanita semata-mata .Tujuannya adalah untuk melahirkan generasi pelapis ulama di kalangan wanita.

Kita bercita-cita nak lahirkan Sayyidah Nafisah kedua, Sayyidatina Aisyah al-Humaira’ radhiyallahu anha yang kedua.Namun jalannya kita sekat.

Kena ingat, pengajian talaqqi sangat berbeza dengan pengajian di bilik kuliyyah Universiti.

Berilah peluang untuk para ustazah belajar dengan para ulama di sini.Sekurang-kurangnya pahala mereka akan mengalir kepada kita dan mereka akan turut doakan kesejahteraan pada kita.Sementara ada generasi wanita Melayu di al-Azhar yang benar-benar bersemangat untuk belajar, maka raikanlah.Jangan sampai kalau pupus langsung generasi sebegini, maka kita akan dipersoalkan kelak di sisi Allah taala.Maka pada waktu itu, alasan tidak berguna lagi.

Kita perlukan generasi berilmu, bukan semangat semata-mata tanpa ilmu di dada.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid Al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

Jumaat, 4 September 2009

Selamat Hari Lahir Mak...

Pagi ini, setelah pulang daripada kelas pengajian bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi al-Hasani hafizahullah , saya terus membuka komputer riba milik saya.Mulanya bercadang untuk menyambung kerja-kerja yang banyak tertangguh.

Tiba-tiba alarm telefon bimbit saya berbunyi mengingatkan saya kepada sesuatu yang tak sepatutnya saya lupakan dan abaikan...

Hari ini adalah hari lahir insan yang paling saya sayangi dan cintai..Insan yang banyak membentuk diri ini menjadi insan yang moga-moga dapat menjadi penyinar kepada agama Allah kelak...

Hari ini adalah hari lahir Ibu saya yang tercinta tanggal 4 September..Mak mesti ingat anak mak sorang nie lupakan hari lahir mak lagi kan?? Nazrul takkan lupakan lagi sampai bila-bila..

Nazrul ingat lagi, dulu masa kecik-kecik kalau buat salah mesti kena cubit dengan mak..Kalau Nazrul buat kacau kat rumah orang, mak mesti panggil senyap-senyap lepas tue cubit Nazrul...Sakittt.. Tapi kalau diingatkan balik, indah rasanya..Kalau boleh sekarang nie nak suruh mak cubit tiap-tiap hari..

Masa sekolah rendah, Nazrul kat asrama di Sekolah Kebangsaan Panglima Awang..Mak selalu datang intip malam-malam tengok Nazrul buat apa kat asrama.. Pernah la sekali tue terkantoi dok buat nakal ngan kawan-kawan...Lepas tue kenalah ceramah ngan ayah dalam kereta...
Tapi tue dulu mak, zaman jahiliyah Nazrul dulu-dulu..Sekarang nie anak Mak insyaAllah dah jadi Ustaz dah pun :)

Kita selalu berjauhan kan?? Sejak sekolah rendah lagi Nazrul dah duduk asrama..Bila lepas UPSR, Nazrul ke SMKA Baling, pun kena duduk asrama..Hujung minggu je dapat jumpa mak dan ayah...Lepas PMR Nazrul ke KISAS pulak..Lagi jauh..Dapat jumpa mak pun sebulan sekali je..sampai la sekarang nie kan?? Nazrul lagi jauh dengan Mak...

Nazrul ingat lagi, masa dapat tawaran ke UIA selepas SPM , Nazrul berkeras taknak masuk UIA..Mak kata Nazrul keras kepala..Nazrul tekad jugak nak masuk tingkatan enam di KISAS..Kalau mak ada di tempat Nazrul waktu tue, mesti mak akan faham kenapa Nazrul nak sangat masuk semula ke KISAS...

Lepas STAM , dengan keputusan cemerlang Nazrul dapat pula tawaran ke UKM dalam jurusan Dakwah..Mak dan ayah berkali-kali telefon Nazrul suruh daftarkan diri ke UKM..Nazrul berkeras jugak nak datang ke Mesir Bumi Barakah ini...

Nazrul harap keputusan Nazrul sekarang tepat..Nazrul harap sangat-sangat mak dan ayah ampunkan Nazrul kalau ada menyakitkan hati mak dan ayah masa tak ikut cakap mak ayah untuk masuk ke UIA dan UKM dulu...Nazrul harap mak berbangga dengan apa yang ada pada Nazrul sekarang...

Nazrul tidaklah sepandai kawan-kawan yang lain..Tapi Nazrul tahu, mak sangat-sangat memahami Nazrul kat sini macamana..

Nazrul ingat sangat-sangat masa Nazrul balik tahun lepas setelah 4 tahun di Mesir..Ramai yang datang ke rumah tanya kenapa lama sangat kat sana?? Soalan macam ini memang membunuh kerana ramai yang takkan faham cara Nazrul belajar kat sini..Tapi Maklah yang akan menyelamatkan Nazrul..Mak cakap " Dia kat sana belajar kat Masjid ja..Katanya yang penting ilmu bukan sijilnya" Memang payah orang ramai nak memahami perkara ini..Ramai lebih memandang kepada sijil dan syahadah semata-mata..Tapi Nazrul bersyukur sangat-sangat Mak taklah berfikir macam tue..

Tapi Mak selalu jugak pesan kat Nazrul, memang ilmu sangat-sangat penting, tapi sijil dan pangkat juga mesti ada kerana ianya wasilah pada zaman sekarang...Nazrul akan usaha sungguh-sungguh dan Nazrul akan berbakti pada mak dan ayah pula lepas nie..

Mak , Nazrul sangat bersyukur dapat ibu sebaik mak..Mak doakan Nazrul dan adik-adik dapat jadi anak Mak yang soleh dan solehah...Moga kami semua akan menjadi harta berharga untuk Mak dan Ayah...

Selamat Hari Lahir untuk Mak...Nazrul sentiasa doakan Mak sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki serta panjang umur...Terus terang Nazrul cakap, waktu menulis ni air mata Nazrul menitis jugak..Cuba untuk tahan tapi tak dapat.. Rindu sangat-sangat kat Mak..




Anakmu Yang Merinduimu,


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut di Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraf,
Kaherah Mesir..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...