Rabu, 29 Julai 2009

Benarkah al-Imam Abu Hassan Al-Ash'ari rahimahullah kembali kepada Pemahaman Aqidah Salafi(seperti kefahaman Wahabi)??

Semalam saya melayari laman web para ulama Islam dunia.Tertarik dengan penulisan daripada Syeikh Nuh Ha Mim Keller, salah seorang ulama Islam dari United Kingdom.

Beliau menjawab persoalan yang diajukan oleh seseorang berkenaan sejauh mana kebenaran dakwaan golongan Salafi Wahabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu Hassan Ash’ari rahimahullah sebenarnya telah kembali semula kepada pemahaman aqidah seperti yang dipegang oleh golongan Hanabilah Mujassamah (seperti mana yang dipegang oleh Salafi Wahabi sekarang) sebelum beliau wafat. Malah mereka juga mengatakan bahawa al-Imam bermimpi sekali lagi bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam setelah beliau kembali kepada pemahaman aqidah Hanabilah Mujassamah tersebut dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam memuji tindakan beliau dan mengatakan bahawa jalan yang dipilih sekarang adalah benar.

Jawapan Syeikh Nuh Ha Mim Keller ringkas dan padat. Saya akan cuba memberikan isi penting jawapan yang diberikan oleh Fadhilatul Syeikh buat tatapan umum.

Menurut Fadhilatul Syeikh Nuh Ha Mim , dakwaan al-Imam Ash’ari rahimahullah ( wafat 324 H/936 M) kembali kepada pegangan asal Hanabilah Mujassamah sebelum wafat bukanlah satu dakwaan yang baru dicipta pada zaman sekarang. Sebaliknya perkara ini telah dilakukan oleh golongan Hanbali Mujassim sejak dahulu lagi.Al-Imam al-Hafiz Abi al-Qasim Ali Ibn Asakir (wafat 571H) telah mengkaji secara terperinci sejauh mana kebenaran tersebut berdasarkan ilmu sanad (chains of narrators) yang direka oleh golongan tersebut.Hasil kajian yang dilakukan oleh al-Imam al-Hafidz Ibn Asakir rahimahullah jelas menunjukkan bahawa segala dakwaan dan sanad yang dibawa dan dijadikan hujjah oleh golongan Hanbali Mujassim tersebut (yang mendakwa bahawa al-Imam Ash’ari kembali semula kepada Mazhab mereka)ternyata satu penipuan dan dongengan semata-mata.Perkara ini dijelaskan secara terperinci di dalam kitab beliau yang bertajuk Tabyin Kazbi al-Muftari Fima Nusiba ila al-Imam Abu Hassan al-Ash’ari.Kitab ini ada terdapat di pasaran dan kepada sesiapa yang ingin membuat kajian dengan lebih lanjut maka bolehlah merujuk kepada kitab ini.

Kita juga sering mendengar golongan Salafi Wahabi ini mengatakan bahawa sebelum al-Imam Ash’ari rahimahullah wafat beliau ada menulis kitab al-Ibanah an Usuli al-Diyanah.Golongan salafi mendakwa bahawa tulisan ini menjelaskan secara langsung bahawa Imam Ash’ari benar-benar mengikuti manhaj pemikiran yang mereka inginkan.Adakah benar pernyataan ini?
Al-Imam Zahid Kawthari rahimahullah (wafat 1371 H) menjawab persoalan ini dengan mengatakan bahawa :

Kitab Ibanah adalah merupakan antara penulisan pertama al-Imam Ash’ari rahimahullah setelah keluar daripada Mazhab Muktazilah.Penulisan kitab ini juga bertujuan memberikan kesedaran dan menerangkan kebenaran kepada Barbahari (salah seorang yang berfahaman Hanbali Mujassim wafat pada 328 H)berkenaan aqidah Ahlussunnah wal Jamaah.Sesiapa yang mengatakan bahawa kitab ini adalah kitab yang terakhir maka sebenarnya telah melakukan kesilapan.Lebih-lebih lagi setelah berlakunya perubahan demi perubahan daripada kitab asal Ibanah yang dilakukan oleh para pengikut Barbahari terutamanya setelah berlakunya fitnah aqidah di Baghdad pada ketika itu.Para ulama Syafie’ dijatuhkan dan golongan Hanabilah Mujassamah berkuasa dan menjadikan aqidah mereka sebagai pegangan ketika tersebut.(perkara ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Asakir di dalam kitabnya al-Kamal fi al-Tarikh jilid 7 :114)Oleh kerana itulah berlakunya banyak perubahan dan pengkhianatan terhadap kitab al-Imam Ash’ari (Sayf al-Saqil mukasurat 108)."

Hujjah mimpi yang digunakan oleh golongan Salafi Wahabi untuk membenarkan percakapan mereka adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.Ini kerana para ulama bersepakat mengatakan mimpi orang biasa selain para Nabi dan Rasul tidaklah boleh menjadi hujjah.Al-Imam Zahid Kawthari rahimahullah menyebutkan:

Golongan Mujassimah ini yang mereka-reka cerita mimpi tersebut.Mereka tidak dapat membuktikan dengan mencari hujah secara nyata maka mereka pun tidur dan setelah terjaga maka mereka pun mengatakan bahawa sebenarnya Imam Ash’ari bermimpi bertemu Rasulullah dan memuji mazhabnya yang baru(yang didakwa oleh golongan Wahabi).Ini semua dilakukan semata-mata untuk memenuhkan isi kitab mereka dengan hujah-hujah dangkal mereka”

Pelik kan? Golongan wahabi sering mengatakan bahawa ahlussunnah wal-Jamaah Asha’irah dan Maturidiyyah menerima hujah berdasarkan mimpi.Sedangkan hakikat yang berlaku sekarang sudah jelas.Siapa sebenarnya yang suka mereka-reka cerita dan melakukan pembohongan kepada umat Islam lainnya?.Melakukan penyelewengan sejarah dan ilmu adalah kerja-kerja mereka sejak dahulu.Pemuka-pemuka mereka telah wujud sejak sebelum Ibn Taimiyah rahimahullah dilahirkan lagi.

Saya akan menerangkan tentang kitab Ibanah dan menyenaraikan serba sedikit penyelewengan golongan ini terhadap Nas asal kitab Ibanah yang ditulis oleh al-Imam Ash’ari rahimahullah pada tulisan yang akan datang.Doakan moga Allah taala memberikan kelapangan waktu dan kesempatan masa untuk menulis.

Sudah jelas lagi bersuluh golongan Salafi Wahabi ini sebenarnya sejak dahulu lagi seperti cacing kepanasan.Bila hujah tidak dapat dijawab dengan baik dan jelas maka mereka akan menghina dan mencaci maki para ulama yang menolak mereka serta menghina peribadi para ulama tersebut.Inikah sikap kita sebagai seorang pengkaji(konon-kononnya)?

Antara hujah dangkal mereka bagi menolak hujah yang diberikan oleh Syeikh al-Allamah Zaini Dahlan rahimahullah ialah dengan mengatakan bahawa sebenarnya Syeikh Zaini Dahlan suka menghisap rokok. Di sebabkan Syeikh Muhammad Abd Wahab mengharamkan rokok maka Syeikh Zaini Dahlan menulis kitab bagi menolak golongan Wahabi.

Beginikah hujah ilmiyah yang mereka canangkan? Inilah yang kita katakan, sudah bodoh sombong pula.Kebenaran sudah didepan mata, tapi kita hairan golongan ini suka mencari publisiti murahan dengan mengikuti golongan-golongan pinggiran yang tinggi di mata mereka.Moga Allah memberikan rahmat dan hidayah pada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir.

Jumaat, 24 Julai 2009

Isra' Dan Mi'raj ..Satu Pandangan Dan Pengajaran

Sudah lama tidak menulis.Bukan merajuk .Cuma masa yang terlalu mencemburui.Penulisan ilmiyah perlukan masa dan isi yang benar-benar padat.Penulisan melalui blog berbeza dengan penulisan kertas kerja dan kitab. Penulisan di dalam blog perlu ringkas dan padat.Ini kerana ramai orang yang tidak mampu untuk menatap mata secara lama pada skrin computer.Apatah lagi jika tulisan tersebut kecil dan padat.

Sekarang saya lebih banyak menumpukan penulisan melalui kertas kerja dan risalah kecil.InsyaAllah sedikit masa lagi akan terbit himpunan risalah kecil hasil tulisan saya yang membincangkan tajuk-tajuk penting di dalam ilmu Islam.

Seperti yang kita semua sedia maklum, sekarang adalah waktu untuk kita membincangkan berkenaan peristiwa penting yang benar-benar mengemparkan dunia dan isinya,peristiwa yang bisa memisahkan antara haq dan batil, peristiwa yang mampu menentukan mana satukah sahabat ketika susah dan senang dan seribu satu hikmah di sebalik peristiwa tersebut.

Ya , tidak lain dan tidak bukan tentu sekali peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raj. Kita semua sedia maklum, setiap perkara yang dibincangkan di dalam al-quran tentu sekali perkara tersebut amat penting dan perlu diambil perhatian.

Kita hairan, bilamana terdapat segelintir pihak yang seringkali kita tersenyum sinis bila mendengar hujah mereka mengatakan bahawa antara perkara bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah diadakan Majlis memperingati Isra’ dan Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam.Satu sangkaan yang benar-benar dangkal dan kurang memahami manhaj dakwah yang sebenar.

Bagaimana kita boleh katakan bahawa Majlis Memperingati Isra’ dan Mi’raj adalah bid’ah sedangkan ianya dirakamkan oleh Allah taala sendiri di dalam al-Quran.Bukankah al-Quran untuk kita pelajari dan kita ambil iktibar daripadanya?Bukankah ketika ayat Isra tersebut dibacakan tentu ramai akan tertanya-tanya bagaimanakah caranya Baginda sallallahu alaihi wasallam dibawa oleh Allah taala pada malam tersebut dengan masa yang singkat dan cepat? Bukankah Baginda sallallahu alaihi wasallam juga pernah menceritakan peristiwa tersebut kepada para sahabat ridwanullah alaihim ajma’in seperti yang dirakamkan oleh para ulama hadis terkemuka seperti al-Imam Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka?

Bilamana ianya disebutkan , tentu sekali untuk diceritakan dan diambil iktibar oleh generasi mendatang yang semakin lalai dan jauh daripada Allah taala.Maka para ulama Islam mengambil pendekatan perlu diadakan Majlis sebegini untuk memberikan peringatan dan menambahkan kecintaan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Peristiwa ini boleh menjadi serampang dua mata kepada umat Islam.Ianya dapat menjadi peringatan kepada golongan yang lalai dan ianya juga dapat menjadi sebuah kisah yang mampu menambahkan kecintaan dan keimanan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Para ulama Islam membahaskan di dalam kitab-kitab mereka dengan menyebutkan sesiapa yang mengingkari peristiwa Isra’ maka boleh dihukumkan Kafir kepadanya.Manakala yang mengingkari Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam maka sekadar dihukumkan fasiq.

Saya bertanya kepada Syaikhuna al-Allamah al-Adib Dr Fathi Hijazi semasa majlis Isra’ dan Mi’raj semalam berkenaan perkara ini.Apakah sebabnya para ulama membezakan kedua-dua perkara ini di dalam meletakkan hukum sedangkan peristiwa tersebut berlaku pada malam yang sama?

Jawapan yang diberikan oleh Syaikhuna sangat ringkas dan padat. Beliau menjawab :

“ Para ulama Islam cukup berjaga-jaga di dalam meletakkan sesuatu hukum.Golongan yang mengingkari hukum yang jelas di dalam al-Quran maka tentu sekali akan dihukumkan kafir.Ini kerana ayat Isra’ sangat jelas diterangkan oleh Allah taala di dalam ayat pertama surah al-Isra’.Allah taala berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Manakala ayat berkenaan Mi’raj tidaklah diterangkan secara jelas sebaliknya secara Kinayah (sindiran) di dalam surah al-Najm ayat 1-18.Firman Allah taala:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى (1) مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى (2) وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَى (4) عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَى (6) وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَى (7) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى (9) فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى (10) مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى (11) أَفَتُمَارُونَهُ عَلَى مَا يَرَى (12) وَلَقَدْ رَآَهُ نَزْلَةً أُخْرَى (13) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (14) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (15) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (16) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (17) لَقَدْ رَأَى مِنْ آَيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (18


Maksudnya: Demi bintang semasa ia menjunam, - 2. rakan kamu (Nabi Muhammad Yang kamu tuduh Dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan Yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan Yang salah). 3. dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. 4. Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya. 5. wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) Yang amat kuat gagah, - 6. lagi Yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) Dengan rupanya asal, - 7. sedang ia berada di arah Yang tinggi (di langit); 8. kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit Demi sedikit, 9. sehingga menjadilah jarak (di antaranya Dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; 10. lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, Dengan perantaraan malaikat jibril) apa Yang telah diwahyukanNya. 11. hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa Yang dilihatnya. 12. jika demikian, Patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa Yang telah dilihatnya itu? 13. dan Demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, Dalam bentuk rupanya Yang asal) sekali lagi, 14. di sisi "Sidratul-Muntaha"; 15. Yang di sisiNya terletak syurga "Jannatul-Makwa". 16. (Nabi Muhammad melihat Jibril Dalam bentuk rupanya Yang asal pada kali ini ialah) semasa " Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, Yang tidak terhingga. 17. penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan Dengan tepat (akan pemandangan Yang indah di situ Yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. 18. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan Luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

Jawab Syaikhuna lagi: Seolah-olah para ulama Islam ingin mengatakan bahawa ayat Isra’ tidak akan mampu dinafikan kerana dalilnya jelas di dalam al-Quran.Maksudnya jika dinafikan maka boleh dihukumkan kufur. Manakala yang mengingkari Mi’raj Baginda sallallahu alaihi wasallam dianggap orang yang jahil serta perlu untuk kita memperingati mereka dengan menyebutkan kepada mereka agar pergi bertemu para ulama yang benar-benar memahami ayat Allah taala untuk menerangkan kepada mereka.”

Semoga Allah taala memanjangkan umur guru kita yang mulia ini.Amin.

Namun saya punya pandangan sendiri di dalam permasalahan ini.Mengapa Allah taala menjelaskan secara terus berkenaan Isra’ tetapi permasalahan Mi’raj dibiarkan kepada para ulama Islam untuk mengkajinya ?

Bagi saya, ini satu isyarat daripada Allah taala untuk kita sebagai umat Islam memandang berat permasalahan yang berlaku di Palestin sekarang.Seolah-olah Allah taala ingin memberitahu kepada umat Islam melalui perjalanan Baginda sallallahu alaihi wasallam bahawa bumi Palestin ini amat penting di dalam menentukan kesatuan kamu semua.Oleh kerana itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam dikumpulkan bersama dengan semua para Nabi dan Rasul terdahulu. Mereka menunaikan solat secara berjemaah diimamkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.
Ini semua satu isyarat bahawa semuanya perlu berpaksikan kepada Islam. Kesatuan umat amat penting di dalam melaksanakan cita-cita membebaskan Palestin.

Manakala peristiwa Mi’raj tidak diterangkan secara terus seperti ayat Isra’ seolah-olah Allah taala ingin mengatakan kepada seluruh makhlukNya, ini adalah kerjaKu dan kamu semua tidak perlu mencampuri urusanKu.Segalanya yang kamu rasakan mustahil adalah tidak mustahil di sisiKu.

Allah taala ingin memberikan peringatan kepada makhlukNya betapa penting bumi Palestin untuk umat Islam.Ini bukan bumi kebangsaan.Ini bumi yang membezakan Iman dan Batil.

Isra’ adalah perkara ajaib yang Allah taala tunjukkan sebagai peringatan. Manakala Mi’raj adalah perkara ghaib yang wajib diimani.Segalanya mampu dilakukan oleh Sang Pencipta.Jangan sombong dan bongkak dengan apa yang ada.

Bagaimana bumi ini mampu untuk dibebaskan semula? Ya, jawapannya iman dan taqwa yang sebenar-benarnya sahaja yang mampu untuk melunaskan cita-cita murni ini.Jika diperhatikan dengan teliti. Sebelum Baginda sallallahu alaihi wasallam dibawa oleh Allah taala untuk bertemu denganNya , Baginda diminta untuk bersabar di atas segala ujian yang menimpa.Ini jelas disebutkan di dalam surah al-Nahl(ini merupakan ayat terakhir surah al-Nahl sebelum masuk ayat pertama surah al-Isra’):

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ (127) إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ (128

Maksudnya: . dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan. 128. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.

Bilamana kita bersabar maka Allah taala pemilik alam keseluruhannya akan memberikan kepada kita kegembiraan dengan syarat kita perlu meletakkan segalanya dibawah kuasa Allah taala tanpa sedikit pun makhluk punya kuasa untuk melakukan melainkan dengan izinNya jua.
Semoga Allah mengembalikan semula kegemilangan Islam kepada jiwa-jiwa yang benar-benar mengamalkan perintahNya.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir

Rabu, 15 Julai 2009

Pembentangan Kertas Kerja Terjah Isu Bid'ah di Malaysia

Terima kasih diucapkan kepada Badan Anak Negeri Pulau Pinang di atas jemputan kepada al-faqir untuk menyampaikan ceramah berkenaan isu bid'ah. InsyaAllah saya akan menulis semula ringkasan berkenaan permasalahan bid'ah ini buat tatapan umum.

Sungguh saya katakan, isu ini bukanlah isu picisan kerana ramai yang tertipu dengan istilah ini buat menyalahkan manusia lain yang tidak sependapat dengan mereka. Isu ini menjadi besar kerana diperbesarkan oleh golongan salafi jadian yang kononnya ingin berpegang dengan hadis yang benar.. Mereka tertipu dengan diri sendiri dan melakukan penipuan kepada orang lain..

Petang ini juga saya dijemput oleh HEWI Pelajar Melaka Mesir untuk sessi soal jawab agama bersama mereka..Doakan Moga Allah taala memberikan kemudahan dan kelapangan..

[Di sini] juga saya sertakan gambar sepanjang majlis "Terjah Isu Bid'ah di Malaysia "

Wallahu a'lam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...