Ahad, 3 Mei 2009

IMAM HASSAN AL-BANNA RAHIMAHULLAH DAN PANDANGANNYA TENTANG TASAWUF



Pada hari Jumaat baru-baru ini tanggal 6 Jumadil Awwal 1430 bersamaan 1 Mei 2009,saya bersama Ustaz Hairul Nizam pergi bertandang ke rumah seorang ulama besar Hadis di Mesir iaitu al-Alim al-Allamah Doktor Syeikh Saad Jawish hafizahullah. Saya diberitahu oleh Ustaz Hairul bahawa Syeikh sakit dan kesempatan waktu yang ada kami gunakan untuk melawat ulama besar ini.

Kehadiran kami pada mulanya hanya untuk melawat Fadhilatul al-Syeikh bertukar menjadi majlis ilmu yang sangat kami nanti-nantikan. Syeikh menyuruh Ustaz Hairul untuk membacakan sebahagian hadis yang terdapat di dalam kitab Sunan al-Sughra oleh al-Imam Baihaqi radhiyallahu anhu. Inilah sikap para ulama yang sentiasa dipenuhi masanya dengan ilmu. Bila mengenangkan peristiwa ini, teringat saya kisah yang berlaku kepada al-Imam Abu Yusuf ,Murid kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum (113-182H), ketika di dalam keadaan nazak masih lagi sempat membahaskan tentang ilmu. Sedikitpun waktu tidak dibuang sia-sia begitu sahaja melainkan dipenuhi dengan ilmu dan hikmah. Kisah ini saya petik daripada kitab :

قيمة الزمن عند العلماء

Kitab ini dikarang oleh Syiekh al-Allamah Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Kisah Imam Abu Yusuf ini diceritakan oleh murid beliau al-Imam Qadhi Ibrahim bin al-Jarrah rahimahullah ketika beliau melawat al-Imam yang sedang sakit, tiba-tiba si Imam bertanya pendapat Qadhi Ibrahim tentang satu masalah ilmu. Qadhi Ibrahim terkejut dan mengatakan: Wahai tuan guru, adakah kamu ingin berbincang tentang masalah ilmu dalam keadaan kamu sebegini(sakit yang teruk).Kata Sang Imam : Tidak mengapa, moga-moga dengannya akan sama-sama beroleh faedah(penyelamat di akhirat kelak).

Maka al-Imam Abu Yusuf bertanya: Wahai Ibrahim , manakah yang lebih afdhal ketika melontar Jamrah(ketika haji) sama ada menaiki kenderaan(binatang) atau berjalan?

Maka Qadhi Ibrahim menjawab: Menunggang binatang lebih afdhal. Sang Imam menjawab: Kamu salah memberikan jawapan. Qadhi Ibrahim menjawab lagi: Berjalan lebih afdhal. Maka Sang Imam menjawab: Tetap jawapan kamu salah. Maka kata Qadhi Ibrahim: Berikanlah jawapannya wahai Tuan Guru, moga Allah meredhaimu.

Sang Imam menjawab: Jika kamu ingin berhenti untuk berdoa ketika melontar Jamrah tersebut,maka afdhalnya ,kamu melontar dalam keadaan berjalan. Tetapi jika kamu tidak ingin berdoa ketika itu , maka afdhal bagimu menaiki kenderaan.

Selepas beberapa ketika bersama dengan al-Imam , maka Qadhi Ibrahim pun bangun untuk pulang. Bilamana Qadhi Ibrahim sampai ke muka pintu, maka beliau mendengar al-Imam Abu Yusuf menarik nafas dengan kuat. Bila Qadhi mendapatkan al-Imam, maka didapati Sang Imam yang mulia telah meninggal dunia. Moga Allah merahmati mereka semua. Amin..

Inilah sikap dan peribadi para ulama. Sangat terkesan kami pada malam tersebut dengan sikap dan peribadi Syeikh Saad Jawish Hafizahullah.Moga Allah memanjangkan usiamu wahai syeikh yang kami cintai. Kami masih dahagakan ilmumu.

Saya sempat meminta Syeikh memberikan ijazah umum kitab-kitab hadis yang syeikh perolehi daripada Guru-guru beliau. Alhamdulillah beliau berkenan untuk mengijazahkan kepada saya dengan apa yang beliau perolehi daripada guru-guru beliau. Antara guru-guru Syeikh Saad Jawish ialah Syeikh Yassin al-Fadani , Syeikh Hafiz al-Tijani, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari , Syeikh Zaki Ibrahim dan lain-lain rahimahullah.

Kemudian Syeikh juga menghadiahkan kepada kami majalah Muslim yang dikeluarkan oleh Maahad Sufi ( Asyirah Muhammadiyah). Sebaik sampai di rumah, saya menyelak helaian majalah tersebut. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebuah artikel yang ditulis oleh al-Imam al-Ra’id Syeikh al-Allamah Muhaddis Zaki Ibrahim rahimahullah berkenaan pertentangan yang berlaku di antara Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dan golongan Sufi di Mesir seperti yang diwara-warakan oleh wartawan Majalah Tahrir. Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dikatakan sering mengatakan kepada golongan sufi bahawa jalan yang di bawa oleh ulama sufi adalah salah dan menyeleweng daripada jalan sebenar Islam.

Maka al-Imam Zaki Ibrahim rahimahullah, menulis artikel tersebut menerangkan hakikat sebenar Tasawuf menurut pandangan al-Imam Hasan al-Banna dan al-Ikhwan al-Muslimun. Syeikh Zaki Ibrahim menyebutkan, jika Tasawuf Islami dikatakan bid’ah yang sesat maka Imam al-Banna juga merupakan orang yang sesat dan Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun sejak ditubuhkan sehingga kematian Imam boleh dianggap sesat.

Kata Syeikh Zaki lagi: Imam al-Banna adalah salah satu hasil yang lahir daripada kelompok halaqah Zikir Tariqat Syazuliyah,ditarbiah dengan acuan Tariqat Syazuliyah. Malah beliau membawa manhaj Ikhwan dengan apa yang terkandung di dalam Tariqat Syazuliyah itu sendiri. Ketika majalah pertama al-Ikhwan al-Muslimun diterbitkan dikhususkan satu bahagian di dalamnya untuk Tasawuf yang dikarang sendiri oleh al-Imam Hassan al-Banna.
Kata Syeikh Zaki Ibrahim lagi: “Aku sendiri pernah menghadiri majlis ibadah gologan Sufi bersama al-Imam Hassan al-Banna”. Perkara sebegini diteruskan oleh Imam al-Banna dan perkara tersebut boleh kita dapati sekarang di dalam penulisan-penulisan beliau yang masih kekal seperti Ma’surat , melazimkan kepada ahli gerakan melaksanakan zikir dan wirid dan lain-lain.

Keluarga Imam al-Banna juga terkenal sebagai sebuah keluarga sufi. Bapa beliau sendiri merupakan seorang ulama Hadis yang hebat dan juga Sufi yang masyhur. Saudara kandung beliau juga iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Banna juga merupakan salah seorang penggerak utama Tariqat Syazuliyah.

Saya tidaklah menukilkan satu persatu kalam Syeikh al-Allamah Zaki Ibrahim rahimahullah tentang hakikat ini. Penjelasan sebegini sudah jelas bagi menerangkan bahawa al-Imam al-Banna rahimahullah adalah golongan Sufi yang menjadi penggerak kepada Gerakan Islam terbesar di dunia. Tohmahan yang mengatakan bahawa golongan sufi tidak bergerak menyokong gerakan Islam adalah satu tohmahan yang tidak berasas.

Jika kita menyedari hakikat ini, maka tentu kita dapat berfikir dengan baik. Golongan yang hebat sebegini, hakikatnya dibentuk dengan acuan yang satu. Duduk bersama orang-orang soleh, belajar dengan para ulama dan belajar dengan acuan ahlussunnah yang benar adalah perkara yang tidak boleh tidak mesti dilakukan oleh seorang yang ingin menjadikannya sebagai Ahli Gerakan Islam yang sebenar.

Saya sangat terkilan dengan sebahagian pelajar yang berada di Mesir, yang kononnya ingin mengambil acuan Ikhwan al-Muslimun dan sering menimbulkan kebobrokkan pemikiran dikalangan mahasisiwa al-Azhar dan sahabat-sahabat perubatan, pernah menyebutkan kepada salah seorang teman saya dengan mengatakan bahawa: Ilmu-ilmu yang ada di Mesir ini adalah ilmu yang mentah.Kalau tauhid, fiqh dan sebagainya, di Malaysia pun kita boleh dapatkan perkara tersebut. Kita datang ke Mesir nie sebenarnya nak ambil selain daripada ilmu mentah nie,ada sesuatu yang lebih istimewa iaitu Ilmu Gerakan Ikhwan al-Muslimun.

Saya ingin berpesan kepada golongan yang semangat “tak tentu hala” sebegini(seperti loghat Kedah), agar berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Jangan di sebabkan semangat tanpa ilmu sebegini (yang hanya berpada dengan usrah-usrah yang kononnya lebih baik daripada usrah yang dibawa oleh Persatuan Pelajar disini iaitu PMRAM)menyebabkan kalian hilang arah sebenar datang ke Mesir. Pemikiran-pemikiran songsang akan makin merebak di bumi Malaysia jika pemikiran yang mengatakan “ ilmu di al-Azhar adalah ilmu Mentah” sebegini masih dikekalkan di dalam kesatuan kamu. Saya tidak menjuruskan perkataan saya ini kepada sesiapa. Bak kata pepatah: Siapa yang makan Cili maka dialah yang akan merasa pedasnya.

Ingat, semangat tanpa ilmu tidak mencukupi . Ambillah contoh sebenar Imam al-Banna rahimahullah. Kaji semula Manhaj dan perjuangan asal Imam al-Banna.Moga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah taala.Aminn.

Jumaat, 1 Mei 2009

Laskar Pelangi Mengimbau Kenangan


Semalam sempat saya menonton sebuah filem Indonesia yang sangat baik. Sahabat-sahabat di sini banyak juga memberikan saranan kepada saya agar menonton filem ini. Kata mereka filem ini sangat menarik. Saya terfikir juga, apalah yang menarik sangat tentang filem tersebut. Filem yang bertajuk “Laskar Pelangi” itu telah ditonton berkali-kali oleh beberapa sahabat saya di sini. Sehinggakan sebahagian daripada sahabat saya menamakannya sebuah filem motivasi untuk menghadapi peperiksaan. Bila saya menonton sendirian semalam, barulah saya dapat rasakan apa yang mereka rasakan. Memang amat menyentuh perasaan dan membakar semangat untuk terus belajar.

Filem yang mengisahkan tentang 10 orang pelajar miskin yang belajar di Sekolah Rendah Agama di Belitung, Indonesia bersama tiga orang guru (pada mulanya kemudian tinggal dua orang sahaja yang meneruskan perjuangan)yang sangat bersemangat ini memberikan seribu satu pengajaran kepada sesiapa yang menontonnya dengan baik.

Sekolah ini pada mulanya sudah hendak ditutup kerana kekurangan murid dan kakitangan sekolah. Tetapi kecekalan dan ketabahan guru-guru yang tidak mengenal erti penat lelah benar-benar menghidupkan sekolah tersebut. Sekolah yang berdindingkan papan dan beratapkan zink yang sudah reput, sedikitpun tidak melemahkan semangat mereka semua untuk meneruskan perjuangan.

Saya tidaklah bercadang untuk menceritakan satu persatu tentang perjalanan cerita tersebut, cuma apa yang ingin saya kongsikan bersama dengan para pembaca sekalian ialah berkenaan sikap dan pemikiran kita. Cerita ini sebenarnya ingin menyingkap sikap dan pemikiran sebahagian masyarakat yang realitinya sebegitu. Pada mula-mula sekolah tersebut akan beroperasi, orang ramai mencemuh mengatakan kepada ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sana. Kononnya sekolah agama yang sudah akan roboh tersebut tidak akan memberikan masa depan yang gemilang kepada para pelajarnya. Seolah-olah sekolah lain yang bukan berteraskan agama itu lebih baik dan terjamin masa depannya.

Jika diperhatikan, memang realitinya sebegitu sekarang. Baru-baru ini ketika saya pulang bercuti di Malaysia, sempat saya mengajar di sebuah sekolah agama yang terkenal di Kedah iaitu Sekolah Menengah Islam Darul Ulum(SMIDU) di Pokok Sena. Jika dibandingkan dengan sekolah yang terdapat di dalam Laskar Pelangi tersebut, sekolah ini jauh lebih baik ratusan kali ganda daripada apa yang terdapat di dalam Laskar Pelangi. Pelajarnya juga dua puluh kali lebih ramai daripada jumlah pelajar dalam Laskar Pelangi. Namun yang saya kesalkan, sikap masyarakat di bumi Malaysia yang lebih memandang kepada keduniaan . Malah sekolah-sekolah yang akan mendidik jiwa anak mereka menjadi insan berguna sebegini sering dijadikan pilihan terakhir destinasi pengajian anak-anak mereka. Bilamana tawaran untuk ke sekolah lain yang mereka rasakan baik tidak dapat, maka sekolah sebeginilah yang menjadi tempat terakhir pilihan mereka. Mengapa perlu jadi sebegini? Tepuk dada Tanya Iman kita sendiri.

Saya tertarik dengan kata Pak Harfan (Pengetua Sekolah di dalam Laskar Pelangi), sekolah sebegini perlu diteruskan walaupun muridnya sedikit, kerana ianya bukan dibina atas dasar material, sebaliknya atas dasar Iman. Maka perlu dan wajib untuk diteruskan.

Saya jarang bertemu dengan sekolah agama yang mana para pelajarnya begitu beradab dan menghormati guru mereka sebaik SMIDU. Bukan ingin memuji, tetapi hakikatnya sebegitu. Walau hanya 3 bulan mengajar di sana, namun hati dan perasaan saya sampai sekarang tidak akan dapat melupakan segala kenangan manis di sana. Guru- guru yang begitu dedikasi dipimpin oleh al-Fadhil Ustaz Ayob, walaupun bilangan mereka tidak sampai 25 orang, namun kegigihan dan ketekunan mereka mendidik anak bangsa untuk berjaya, amat- amat saya kagumi. Gaji tidaklah sebesar guru-guru J-QAF dan guru-guru yang mengajar sekolah rendah sekalipun, namun keikhlasan dan ketulusan yang menjadi mahar berharga daripada mereka untuk mendidik anak bangsa. Tidak hairanlah jika pelajarnya begitu menghormati dan menyayangi guru-guru mereka.

Saya tidak pernah belajar di SMIDU, tapi kalau diberikan peluang untuk belajar semula di peringkat menengah,maka SMIDU lah yang akan menjadi pilihan saya. Mungkin yang membaca akan menganggap saya agak berlebihan di dalam memberikan tamsilan. Terus terang saya katakan, ini adalah daripada hati sanubari saya.

Ramai yang tidak menyedari hakikat betapa pentingnya tempat pendidikan sebegini. Tempat sebegini bukan semata-mata sekolah yang di dalamnya belajar ilmu untuk sijil semata-mata, sebaliknya di sini ialah tempat pembinaan jiwa dan rohani untuk disampaikan dan disemaikan kepada masyarakat seluruhnya.

Sepatutnya ibu bapa perlu menyedari perkara sebegini. Pendidikan agama sangat penting. Bukan hanya untuk dunia sahaja malah akhirat juga. Saya terkilan bilamana saya menceritakan tentang SMIDU kepada sebahagian masyarakat mahasisiwa di Mesir tentang masalah yang dihadapi SMIDU kerana kurang pendaftaran, ada yang berkata dengan sinis “sebab kualitinya kurang”. Ingin sahaja saya berkata semula kepada golongan sebegini, “kenapa orang yang begitu berkualiti seperti kamu tidak mahu pulang dan berbakti kepada sekolah seperti itu?”. Permasalahannya sekarang, “ orang-orang yang berkualiti” seperti ini lebih sukakan pekerjaan yang gajinya lebih besar dan lebih enak. Inilah masalah utama “orang-orang berkualiti” seperti ini.


Iya, kalaupun kamu tidak ingin dan tidak langsung terlintas untuk berbakti kepada pusat pengajian seperti ini( kerana gajinya kecil tidak sebanyak kerjaan lain) sekurang-kurangnya berikanlah semangat dan bantuan moral kepada sesiapa yang mengajar di sana. Ini tidak, malah dipandang rendah kepada golongan yang begitu ikhlas mendidik anak bangsa tanpa mengharapkan material seperti kamu. Ya Allah, janganlah kami menjadi orang yang tidak mensyukuri nikmatMu dalam keadaan kami tidak sedar akan perkara tersebut.

Saya cadangkan kepada golongan sebegini, lihat dan ambil perhatian filem yang saya sebutkan ini “Laskar Pelangi”. Tontoni dan teladani dengan baik setiap bait perkataan yang diucapkan mereka. Moga kamu semua dan kita mendapat hidayah dan petunjuk.

Teringat kata-kata Pak Harfan kepada murid-murid titipannya:

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya,bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya

Semoga semua dapat mengambil teladan. SMIDU, kau tetap di dalam ingatanku selamanya.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah,Hayyu 10,
10.35 pagi

Khamis, 30 April 2009

Sambungan Siri Maulid Nabi Sallallahu alaihi wasallam

TOHMAHAN DARIPADA GOLONGAN YANG MENGINGKARI SERTA JAWAPAN TERHADAPNYA

SYUBHAH PERTAMA

Jika seseorang mengatakan: Sesungguhnya sambutan Maulid Nabawi ini merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh golongan Salaf dan ianya juga tidak berlaku pada zaman para sahabat. Maka ini jelas menunjukkan bahawa ianya merupakan suatu perkara bid’ah yang diharamkan serta wajib kita tentangi perkara ini.

JAWAPAN

Tidaklah tepat jika kita berpendapat mengatakan bahawa setiap perkara yang tidak dilakukan pada zaman permulaan Islam maka ianya dianggap bid’ah yang haram. Kalaulah kita boleh meletakkan hukum sedemikian, maka perbuatan Saidina Abu Bakr al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Zaid radhiyallahu'anhum mengumpulkan al-Quran akan dianggap perkara yang haram. Begitu juga dengan perbuatan Saidina Umar radhiyallahu'anhu yang mengumpulkan para sahabat dengan Imam yang satu di dalam menunaikan solat Tarawih. Beliau juga menyebutkan kalam beliau yang masyhur : نعمت البدعة هذه(sebaik-baik bida’ah yang dilakukan adalah perkara ini). Banyak lagi perbuatan yang akan menjadi haram jika hanya semata-mata kita meletakkan setiap perkara yang tidak dilakukan pada zaman permulaan Islam adalah bid’ah yang haram. Antaranya ialah mengumpulkan ilmu-ilmu Islam, membuat tempat untuk beribadah, membina sekolah, hospital, rumah anak-anak yatim, penjara dan lain-lain akan menjadi haram.

Sepatutnya bagi kita melihat kepada dalil-dalil yang diletakkan oleh Syarak. Jika perkara yang ingin kita laksanakan tersebut membawa kepada maslahah yang wajib dilaksanakan maka hukumnya juga adalah wajib, jika ianya haram maka hukumnya juga adalah haram dan begitulah seterusnya. Setiap perkara yang baharu yang ingin dilaksanakan yang berbetulan dengan kaedah yang syarak letakkan dan tidak berniat untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan hukum Allah taala maka ianya merupakan sebahagian daripada agama Islam.

Disebabkan perkara inilah para ulama meletakkan hadis yang dilafazkan oleh baginda sallallahu 'alaihi wasallam iaitu :كل بدعة ضلالة bermaksud menunjukkan kepada bid’ah yang sesat dan salah bukannya kepada semua jenis bid’ah. Ini dikuatkan dengan dalil daripada hadis baginda sallallahu alaihi wasallam :

من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها و اجر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيء

Al-Imam Syafie radhiyallahu anhu menyebutkan :

ما أحدث و خالف كتابا أو سنة أو إجماعا أو أثرا فهو البدعة الضالة و ما أحدث من الخير و لم يخالف شيئاً من ذلك فهو المحمود

Al-Imam Nawawi rahimahullahu taala menyebutkan:

البدعة في الشرع هي إحداث ما لم يكن في عهد الرسول صلى الله عليه و سلم و هي منقسمة إلى حسنة و قبيحة ويدل على ذلك أيضا قول سيدنا عمر رضى الله تعالى عنه السابق: "نعمت البدعة هذه"

SYUBHAH KEDUA

Jika orang yang mengingkari mengatakan:Sesungguhnya sambutan Maulid dilakukan pada Rabi’ul Awwal. Kita sedia maklum bahawa baginda sallallahu alaihi wasallam juga wafat pada bulan ini. Jadi mengapa kita mesti gembira dengan kelahirannya tetapi tidak bersedih dengan kewafatan baginda sallallahu alaihi wasallam?

JAWAPAN

Al-Imam Suyuti rahimahullahu taala menjawab persoalan ini dengan mengatakan: Sesungguhnya kelahiran baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan sebesar-besar nikmat kepada kita, manakala kewafatan baginda sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan sebesar-besar musibah kepada kita. Seperti kita sedia maklum juga, Syarak menggalakkan kita untuk bergembira dengan kelahiran seseorang dan syarak juga menunjukkan kepada kita agar berdiam ketika ditimpa musibah. Syarak juga menggalakkan kepada kita untuk melaksanakan ibadah aqiqah bilamana seorang bayi lahir tetapi syarak tidak mengarahkan kepada kita untuk menyembelih ketika berlakunya kematian. Maka dalil yang dapat kita ambil daripada kaedah yang telah diletakkan oleh syarak adalah sepatutnya kita bergembira dengan kelahiran baginda sallallahu alaihi wasallam bukan menzahirkan kesedihan pada hari tersebut.

SYUBHAH KETIGA

Jika golongan yang mengingkari mengatakan: Sesungguhnya sambutan Maulid ini seolah-olah terlalu mengagungkan baginda sallallahu alaihi wasallam. Sedangkan baginda juga adalah manusia biasa. Malah baginda pernah menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad radiyallahuanhu :

لا تطروني كما أطرت النصارى عيسى بنَ مريم فإنما أنا عبد الله و رسوله

Maksudnya: Janganlah kamu mengagungkan aku sebagaimana golongan Nasrani mengagungkan Isa bin Maryam, sesungguhnya aku hanya seorang Hamba Allah dan RasulNya.

JAWAPAN

Disini penulis ingin memetik jawapan yang diberikan oleh guru kita al-Fadhil al-Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Nadwi al-Maliki hafizahullah :

((Memuji dan menyebut kemuliaan akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam sudah menjadi satu tradisi dan amalan yang dilakukan oleh umat Islam turun temurun sejak daripada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri sampai ke hari ini. Di sepanjang sejarah bermacam-macam jenis pujian dan sanjungan yang telah dirafa’kan keharibaan baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun orang masih belum lagi merasa puas memujinya. Terasa seperti sudah kelu lidah penyair dalam puisi dan syair-syair mereka namun pujian untuk Baginda masih belum dirasa sampai kepada kemuncaknya. Amalan yang seperti ini bukanlah keterlaluan seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak tetapi ia merupakan sebahagian dari luahan perasaan kasih sayang dan rasa cinta yang begitu mendalam sekali terhadap kekasih Allah dan makhluk Allah yang paling sempurna ini. Kerana bagaimana jua pun pujian yang disanjungkan namun pujian itu tidak akan sampai kepada kemuncaknya dan belum dapat menyebutkan segala keistimewaannya yang telah dikurniakan Allah subhanahu wa taala kepada baginda sallallahu alaihi wasallam.

Perkara ini adalah berasaskan kepada fahaman para ulama terhadap pujian Allah subhanahu wa taala terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam dalam surah al-Qalam ayat 4:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: Sesungguhnya engkau wahai Muhammad berada di atas akhlak yang sangat agung.

Jadi Allah subhanahu wa taala Zat Maha Agung lagi Maha Mulia telah memuji ketinggian akhlak baginda sallallahu alaihi wasallam maka sudah tentu pujian Allah taala ini nilainya melebihi sebarang pujian makhluk manusia terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam. Bagaimana pujian makhluk dapat menandingi pujian Allah taala. Ini adalah satu perkara yang tidak mungkin terjadi. Maka sudah pasti kita tidak akan sampai kepada kemuncak pujian yang sepatutnya terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam.

Atas alas an inilah maka al-Imam al-Bushiri rahimahullah menyebut dalam Burdahnya di dalam bait 43 dengan katanya:
دع ما ادّعته النصارى في نبيهم
واحكم بما شئتَ مدحاً فيه واحتكِم

Maksudnya: Tinggalkan cara orang Nasrani dalam menyanjung nabi mereka (Nabi Isa alaihi al-salam), selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji baginda sallallahu alaihi wasallam sesuka hatimu.

Perkataan Imam Bushiri rahimahullah ini bermaksud asalkan engkau jangan melampaui batas dalam memuji baginda sallallahu alaihi wasallam seperti orang Kristian telah melampaui batas memuji Nabi Isa alaihi salam sehingga mengatakannya sebagai tuhan, Maka engkau bebas memuji baginda sallallahu alaihi wasallam dengan apa jua perkataan. Contohnya engkau boleh mengatakan Baginda itu sebaik –baik makhluk, nur yang menyinari alam, penghulu segala nabi dan rasul,makhluk yang paling dikasihi Allah taala, insan yang paling sempurna, hamba yang paling bertaqwa kepada Allah dan sebagainya. Tetapi engkau tidak boleh mengatakan Baginda sallallahu alaihi wasallam itu zat yang berkuasa, memiliki takdir, dapat menghidupkan dan mematikan, pencipta syurga dan neraka dan seterusnya apa jua pujian yang menunjukkan makna ketuhanan maka kita tidak boleh memuji Baginda sallallahu alaihi wasallam sampai ke tahap itu .

Al-Syeikh Abbdul Qadir Isa rahimahullahu taala menjawab juga persoalan ini dengan mengatakan:

((Dalil yang digunakan oleh golongan ini adalah batil dan tidak benar, Ini kerana pujian dan pengagunggan yang dilarang ialah bentuk pengagunggan seperti yang dilakukan oleh golongan Nasrani terhadap nabi Allah Isa alaihi salam. Mereka meletakkan bahawa Nabi Isa alaihi salam anak Allah taala dan menyekutukan Allah taala .

Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah:

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya: dan orang-orang Yahudi berkata: “ Uzair adalah anak Allah .dan orang-orang Nasrani berkata: “ al-Masih ialah anak Allah” Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Firman Allah taala lagi di dalam surah al-Maidah ayat 73:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ

Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang telah berkata : “Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan”

Manakala pujian dan pangagungan yang dilakukan ketika majlis sambutan Maulid tidaklah melebihkan Baginda sallallahu alaihi wasallam sehingga mengeluarkan lebih daripada seorang makhluk.Maka hadis tersebut bukanlah dalil kepada golongan wahabiah.))

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh para ulama tersebut sudah jelas dan tidak perlu diperkotak-katikkan lagi. Penulis menemukan pendapat daripada al-Syeikh Muhammad Abu Thuai’lik berkenaan mengapakah para sahabat tidak menyambut Maulid pada zaman mereka. Beliau mengatakan bahawa ini berkemungkinan kerana para sahabat pada ketika tersebut terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan seperti berjihad, menyusun daulah dengan mengemaskinikan sistem pendidikan, ekonomi dan siasah. Maka perkara ini mungkin menyebabkan mereka tidak sempat melaksanakannya.Ini tidak menafikan mereka berkemungkinan menyambut Maulid tersebut secara persendirian atau bersama keluarga dan bukan dilakukan secara majlis yang gilang-gemilang .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...